Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Februari 2007
ESOK, persidangan Dedahkan Jenayah Perang anjuran Pertubuhan Perdamaian Global Perdana (PGPO) yang bertujuan mengharamkan perang bermula di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Sekali imbas cadangan supaya diharamkan perang adalah sesuatu yang pelik dan mustahil untuk dicapai. Perang yang dilakukan oleh manusia sejak muncul di muka bumi mustahil untuk dihapuskan, justeru langkah bagi mengharamkannya mungkin dianggap sia-sia.
Tetapi apa yang buruk dilakukan oleh manusia tidak mustahil untuk dihapuskan. Contohnya perhambaan.
Dalam tamadun manusia, perhambaan sudah menjadi amalan masyarakat manusia di mana-mana. Tetapi kini ia berjaya dihapuskan.
Ia dapat dilakukan dengan mengharamkan perhambaan dan menganggapnya sebagai jenayah. Apabila diharamkan oleh undang-undang, jika mana-mana pihak melakukan juga, maka ia dianggap telah melakukan jenayah dan perlu dikenakan tindakan.
Mungkin persoalan akan timbul bagaimanakah hendak mengenakan tindakan bagi mana-mana pihak yang melakukan perang? Kerana sudah tentu untuk menguatkuasakan undang-undang mengharamkan perang, akan memerlukan penggunaan kekerasan, iaitu perang.
Perang terpaksa digunakan untuk menghukum mereka yang melakukan jenayah perang.
Tetapi itulah semangat yang ada selepas Perang Dunia Kedua hingga membawa kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Piagam PBB mempunyai semangat untuk menghapuskan perang.
Harapannya ialah keselamatan dunia ini dijamin oleh Majlis Keselamatan PBB dengan lima kuasa besar utama mampu menguatkuasakan keputusan. Maka mereka boleh menghalang perang atau menguat kuasa peraturan mengharamkannya.
Lima kuasa yang menjadi pemenang Perang Dunia Kedua itu, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet, Britain, Perancis dan China. Kerusi China ketika itu dipegang oleh Republik China yang kemudian terpaksa berundur ke Taiwan kerana gagal menundukkan komunis di Tanah Besar. Pihak komunis menubuhkan Republik Rakyat China di Beijing tetapi tidak diiktiraf oleh PBB.
Maka masalah awal yang menghalang usaha mewujudkan perdamaian ialah konflik antara Washington dan Moscow. Kedua-duanya tidak ikhlas hendak mewujudkan perdamaian.
Mereka tidak mengutamakan perdamaian, tetapi sebaliknya meletakkan kepentingan dominasi kuasa mereka lebih daripada keutamaan damai.
Itulah yang terjadi apabila berlaku Perang Korea.
Setelah Jepun berundur dari Korea selepas Perang Dunia Kedua, AS dan Soviet membahagikan Semenanjung Korea kepada dua seperti di Jerman. Pihak Soviet menyokong golongan komunis menubuhkan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) berpusat di Pyongyang. Sementara AS mendukung mereka yang bukan komunis mewujudkan Republik Korea (ROK) berpusat di Seoul.
Pihak komunis mahu menguasai keseluruhan Semenanjung Korea dan melancarkan serangannya ke atas Korea Selatan hingga hampir ke Seoul.
Mereka dibantu oleh Beijing. Maka Washington menggesa PBB menghalang Korea Utara dengan menggunakan kekuatan tentera. Beijing ketika itu bukan anggota PBB dan tidak terikat dengan resolusi badan dunia itu.
Maka PBB bersetuju dan tentera AS di bawah bendera PBB dihantar ke Semenanjung Korea untuk melawan pihak komunis. Mereka berjaya menolak penguasaan komunis sehingga sempadan yang sebelum ini dipersetujui dan seperti apa yang ada pada hari ini.
AS secara rasmi menyebut sebagai Konflik Korea dan bukannya Perang Korea kerana ia tidak mahu dilihat sebagai terbabit dengan perang itu. Hakikatnya ia merupakan perang saudara yang diperkasakan sebagai perang proksi antara AS dan Soviet-China. Bagaimanapun, hakikatnya ia adalah benar-benar suatu peperangan.
Ternyata kemudian cita-cita Piagam PBB untuk menghalang perang musnah. Ini kerana kelima-lima kuasa yang sepatutnya menjamin keselamatan dunia daripada terjerumus kepada perang tetapi mereka sendiri terlibat dengan perang.
Walaupun selepas Perang Dunia Kedua, tidak ada lagi berlaku perang dunia, bagaimana pertembungan antara AS dan Soviet pada hakikatnya adalah perang dunia. Ia merupakan Perang Dunia Ketiga.
Perang Korea adalah sebagai permulaan kepada apa yang boleh disebut sebagai Perang Dunia Ketiga. Kemudian ia diikuti dengan perang proksi di merata-rata tempat, dari Palestin hinggalah ke Amerika Latin. Tetapi paling terkenal ialah penglibatan langsung AS di Vietnam.
Dalam keadaan ini, sudah tentu apa yang diimpikan oleh sidang di San Francisco yang melancarkan Piagam PBB menemui kehampaan.
Kelima-lima kuasa anggota tetap Majlis Keselamatan PBB tidak layak untuk menjadi penguat kuasa kepada tatadamai dunia. AS dan Soviet mempunyai kepentingan sendiri. Begitu juga dengan Britain dan Perancis yang secara langsung terlibat mempertahankan kepentingan mereka melalui peperangan menghalang kemerdekaan.
Walaupun jelas Piagam PBB mengehendaki proses semua penjajah melepaskan tanah-tanah jajahan masing-masing tetapi Britain tetap mahu mempertahankan wilayahnya. Paling hampir bagi Malaysia ialah gagasan Malayan Union. Tetapi ia tidak berhasrat untuk melepaskan tanah-tanah jajahannya dengan mudah. Gerakan kemerdekaan terpaksa berjuang bagi usaha memerdekakan tanah jajahan mereka.
Perancis mengukuhkan tentera penjajahannya di Algeria dan Vietnam. Dalam keadaan mereka dihalang daripada usaha memerdekakan tanah air mereka, maka sudah tentu negara-negara itu terpaksa mencari sokongan dan bantuan dari negara-negara komunis.
Maka terjadilah perang proksi yang mengorbankan banyak peribumi tanah jajahan. Tetapi Perang Vietnam mencetuskan satu revolusi perdamaian pertama dunia. Berpusat di kalangan mahasiswa di AS, ia merebak ke seluruh dunia bukan komunis.
Sementara negara komunis pula memanipulasi keadaan ini serta menggalakkan semangat perdamaian tetapi untuk kepentingan mereka iaitu melemahkan semangat tentera AS di Vietnam.
Akhirnya gerakan memperjuangkan perdamaian ini berjaya menyumbang kepada kekalahan AS di Vietnam. Tetapi peperangan tidak berhenti begitu saja. Walaupun Vietnam aman, tetapi perang berterusan.
Tentera Vietnam tidak berhenti di Saigon yang ditukar namanya kepada Kota Ho Chi Minh, tetapi seolah-olah mabuk darah, ia memasuki Kemboja dan menjatuhkan Khmer Rouge, komunis juga tetapi pro-Beijing.
Di bumi Kemboja yang malang, perang proksi berlaku antara China dan Soviet pula. Bagaimanapun, yang lebih dahsyat dan petanda kemuncak kekejaman komunis ialah pembunuhan ramai yang dahsyat oleh Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.
Kekejaman Khmer Rouge menyumbang kepada kebencian dunia kepada komunisme yang pastinya turut menyumbang kepada kejatuhan Soviet dan semua negara sekutunya.
Kejatuhan rejim komunis di Kremlin, Moscow membuka harapan baru perdamaian di seluruh dunia. Apabila tidak ada pesaingnya, maka AS boleh menghentikan perang proksinya, atau yang dipanggil Perang Dunia Ketiga itu.
Kalau benar Soviet menjadi pengancam keselamatan dunia hingga menyebabkan AS terpaksa bertindak sedemikian rupa, maka tamatnya Perang Dingin itu membuka lembaran baru perdamaian sejagat.
Maka jatuhlah entiti-entiti empayar Soviet, dari Afghanistan hinggalah ke Eropah Timur. Bukan itu saja Yugoslavia yang bukan pro-Moscow tetapi mengamalkan sistem komunis turut tumbang.
Sementara China dan Vietnam mengubah sistemnya. Walaupun Korea Utara dan Cuba terus berpegang pada komunisme tetapi ia tidak lagi menjadi ancaman kepada AS. Itulah yang difikirkan. Malah diharapkan masalah Palestin juga dapat diselesaikan kerana tidak ada lagi soal masuk campur dengan unsur persaingan kuasa besar AS-Soviet.
Pada mulanya itulah yang dilihat akan berlaku. Yasser Arafat bersetuju berundur. Ia membawa kepada rundingan di Camp David dan persetujuan Oslo.
Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dibenarkan kembali dan ditubuhkan pula Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Tetapi Israel tidak mahu berundur atau mematuhi resolusi PBB. AS membiarkan Israel melancarkan peperangan ke atas Palestin dan Lebanon.
Ketiadaan Soviet memberi ruang besar kepada AS untuk bertindak sebagai juara perdamaian. Andai kata, dia memilih untuk menguatkuasakan perdamaian di Palestin, tentu keadaannya berbeza.
Andai kata, Israel mematuhi resolusi PBB dan berundur dari Palestin, tentunya perdamaian dapat diwujudkan di Asia Barat. Tetapi kalaupun Israel tidak mahu mematuhi resolusi PBB, maka tanggungjawab terletak pada AS untuk mendisiplinkannya.
Tetapi AS tidak melakukannya kerana lobi Yahudi di negara itu amat kuat dan mereka mahu memerangi rakyat Palestin.
Maka Orde Dunia Baru yang diisytiharkan oleh George Bush tidak membawa perdamaian, tetapi sebaliknya mengheret dunia kepada peperangan baru, malah boleh dianggap sebagai Perang Dunia Keempat.
Apa yang berlaku di Palestin menjejaskan perasaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin menunjukkan sikap perang AS ke atas umat Islam kerana mendukung Israel untuk terus menekan hak umat Islam. Senjata dibekalkan kepada Israel. Begitu juga dengan bantuan kewangan, malah keseluruhan polisi strategik AS terletak pada Israel.
Sikap perang ini memberi tindak balas dalam bentuk gerakan yang sebelum ini tidak dapat dibayangkan. Gerakan Al-Qaeda dan tentangan Saddam Hussein serta Iran terhadap AS merupakan hasil daripada sikap perang ini.
Maka kemuncaknya ialah peristiwa 11 September, diikuti dengan perang di Afghanistan dan Iraq.
Tindakan pengganas itu adalah jenayah kerana sememangnya dunia mengiktiraf bahawa terorisme iaitu pembunuhan ke atas orang awam adalah jenayah.
Tetapi mengapa ada sekumpulan manusia sanggup bertindak ganas kalau tidak ada puncanya? Apabila dilihat terorisme adalah reaksi kepada peperangan yang dilancarkan oleh mereka yang mempunyai senjata ke atas golongan yang ditindas.
Justeru perang yang dilancarkan oleh Israel ke atas Palestin dan Lebanon adalah jenayah. Sama seperti keganasan. Begitu juga dengan perang oleh AS ke atas Afghanistan dan Iraq.
Kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Iraq sekarang adalah hasil daripada peperangan. Polisi AS yang memiliki senjata nuklear dan membenarkan Israel turut memilikinya adalah suatu tindakan perang. Maka berlaku persaingan senjata baik yang datang dari Iran dan Korea Utara.
Hakikatnya perang akan menambahkan peperangan, bukannya berkurangan.
Dunia perlu kembali kepada semangat Piagam PBB selepas Perang Dunia Kedua. AS dan lima kuasa besar lain mesti jujur untuk menghalang perang.
AS, Rusia, Britain, Perancis dan China bertanggungjawab memelihara keselamatan dunia dengan mengharamkan perang tanpa syarat.
Malangnya mereka mengutamakan apa yang difikirkan sebagai kepentingan nasional masing-masing daripada manusia keseluruhannya. Perang dijadikan alat nasional. Sedangkan hanya dibolehkan jika ia digunakan untuk menghentikan peperangan antara kedua pihak.
Buat masa ini, Rusia, Britain, Perancis dan China tidak terlibat dengan mana-mana peperangan. Cuma AS. Ia perlu menghentikan peperangannya di Iraq dengan mengundurkan diri.p