Adakah Malaysia mencemburui kemajuan Singapura?

Oleh: Zin Mahmud (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 17 Februari 2007


MENTERI Luar Singapura, George Yeo dalam sidang Parlimen Singapura Isnin lalu menyatakan keperluan negaranya memperlahankan pembangunannya bagi mengurangkan tekanan negara-negara jiran.

Ini kerana seperti yang dinyatakan oleh ahli-ahli Parlimennya betapa berlakunya ‘politik cemburu’ kerana kemajuan pesat republik itu meninggalkan negara-negara jirannya.

Adakah kita cemburu? Pada hemat saya, Singapura patut lebih maju daripada apa yang ada pada hari ini. Mereka harus menjadi contoh kepada negara-negara jiran dengan menampilkan pulau itu sebagai sebuah republik dunia pertama.

Bukan saja kita tidak cemburu, malah kita bimbang mereka tidak berupaya untuk mengekalkan tahap kemajuan yang dicapainya. Malaysia tidak mengamalkan ‘politik cemburu’ terhadap jirannya malah dasar yang dipegang ialah prosper thy neighbour iaitu jiran yang makmur akan mendatangkan kesenangan kepada kita.

Kalau Singapura mundur, Malaysia juga menanggung susah. Saya percaya Indonesia juga tidak cemburu terhadap kemajuan Malaysia dan Singapura. Kesenangan negara-negara jiran ini akan memberi tempias kemakmuran kepada semua.

Hakikatnya, Singapura, Malaysia dan Indonesia bergantung di antara satu sama lain. Kesenangan dan kesusahan akan ditanggung bersama.

Tunku Abdul Rahman ketika berhujah mengenai penubuhan Malaysia mempunyai harapan supaya Singapura menjadi New York bagi Malaysia. Apa yang paling dibimbangi oleh Kuala Lumpur pada awal tahun 60-an ialah Singapura jatuh ke tangan komunis, menjadi miskin dan mendatangkan masalah kepada Tanah Melayu ketika itu.

Pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 juga dibuat untuk kebaikan kedua-dua pihak. Bagi Tunku, jika Singapura berasakan bahawa Malaysia menjadi beban untuk kemajuannya, maka lebih baik pulau itu merdeka. Kecekapan dan kebijaksanaan pemimpinnya dapat digunakan untuk memajukan diri sendiri tanpa perlu mengambil kira masalah-masalah yang berkaitan dengan Malaysia.

Pada masa itu, tentu sukar untuk ditelah sama ada langkah itu betul atau tidak. Yang pasti Kuala Lumpur sudah tidak sanggup untuk menanggung kerenah pemimpin-pemimpin Singapura.

Mungkin Malaysia akan jauh lebih maju jika Singapura berada di dalamnya. Tetapi mungkin boleh menjadi sebaliknya dengan kekacauan dan perbalahan kaum yang memusnahkan kedua-dua pihak.

Tetapi ternyata 42 tahun kemudian, gagasan pemisahan antara Malaysia dan Singapura mendatangkan hasil yang baik. Kedua-dua negara mencapai tahap kemajuan yang boleh dibanggakan. Sudah tentu Malaysia tidaklah semaju Singapura kerana kedudukan pulau itu yang sedemikian rupa.

Namun begitu, dengan globalisasi dan kebangkitan China, sementara dalam ASEAN, potensi Indonesia dan Vietnam semakin menyerlah, keperluan hubungan lebih baik antara Singapura dan Malaysia bertambah ketara.

Usaha Singapura untuk aktif dalam China dan Indonesia tidaklah semudah yang disangka. Begitu juga usahanya di Thailand.

Ini kerana Malaysia lebih sesuai bagi Singapura bukan saja kerana jalinan sejarah tetapi sistem pentadbiran yang diwarisi British kepada kedua-dua negara memudahkan hubungan perniagaan.

Maka jika dilihat dalam konteks ASEAN, teras kemajuan rantau ini terletak pada hubungan ekonomi Malaysia-Singapura, dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam sebagai potensi bagi menghadapi kepesatan China-India.

Dalam hal ini, tidak ada soal politik cemburu, tetapi lebih kepada politik sinergi. Kemajuan pesat Singapura akan melimpah ke Johor Selatan dan juga Riau.

Jadi bukanlah soal cemburu terhadap kemajuan Singapura. Tetapi apa yang dikehendaki oleh jiran-jirannya ialah keikhlasan untuk maju bersama dan memahami perasaan dan cara berfikir orang Malaysia dan Indonesia yang tentunya berbeza dengan Singapura.

Kegagalan untuk memahami dan menyesuaikan diri inilah yang menyebabkan Singapura dikeluarkan oleh Tunku dari Malaysia dahulu.

Sejarah mungkin berubah jika Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengambil pendekatan berbeza pada awal-awal penubuhan Malaysia dahulu. Dengan memiliki pendekatan berlainan, Singapura mungkin masih bersama dalam Malaysia dengan kedua-duanya dapat menikmati kemajuan lebih besar.

Pada hari ini, Singapura masih tidak dapat mencapai tahap New York. Ia mungkin berjaya sebagai kota ekonomi dan korporat.

Tetapi New York bukan saja kota ekonomi, bahkan ia merupakan pusat budaya dunia di mana kreativiti seni dan budaya berkembang maju di atas kebebasan berfikir dan bersuara warganya.

Singapura sememangnya berjaya mengelak diri daripada jatuh ke tangan komunis walaupun pada satu masa, majoriti penduduknya boleh dikatakan bersimpati kepada fahaman itu.

Tetapi ciri-ciri pemerintahan komunis ialah mengongkong kebebasan warganya untuk berfikir dan bersuara. Untuk mencapai tahap kemajuan lebih tinggi, rakyat sesebuah negara mestilah dibebaskan daripada kongkongan berfikir dan bersuara.