Sains bukan saja untuk saintis

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 24 Mei 2007


KETIKA mana negara ini komited dalam melaksanakan dasar pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, itu tidak bermakna penggunaan bahasa Melayu dalam sains dihentikan.

Malah pada masa akan datang wacana sains menggunakan bahasa Melayu bertambah penting. Bagaimanakah saintis dan aktivis sains mahu menyebarkan kesedaran sains pada khalayak tanpa menggunakan bahasa Melayu?

Mungkin untuk pengajian bidang sains, bahasa Inggeris mempunyai kelebihan. Tetapi bagi menyebarkan pengetahuan dan kesedaran sains, tentunya ia memerlukan bahasa popular yang dapat difahami di negara ini. Maka bahasa yang sesuai untuk itu adalah bahasa Melayu.

Pada masa ini dan akan datang, masyarakat mesti dididik mengenai sains dengan lebih banyak lagi. Tentunya masyarakat umum di negara ini tidak boleh diasingkan dengan perkembangan sains.

Jika tidak dididik mengenai sains, mereka akan mudah terpengaruh dengan pemikiran karut-marut dan tidak masuk akal.Walaupun pada umumnya rakyat negara ini mempelajari mata pelajaran sains di sekolah, tetapi kefahaman mengenainya mesti dipupuk dan diperkembangkan sepanjang hayat.

Bahasa bagi menjelaskan mengenai sains dan teknologi untuk massa adalah bahasa Melayu. Selama tiga dekad, sains telah berjaya diungkapkan dalam bahasa Melayu sejak ia digunakan dalam pembelajaran sains dan teknologi di universiti-universiti tempatan.

Selama itu, perbendaharaan kata serta penjelasan konsep menggunakan bahasa Melayu telah berjaya dikembangkan baik melalui penterjemahan buku atau diskusi sains dalam bahasa Melayu.

Kekayaan bahasa Melayu sains ini wajar terus dikembangkan dengan menggunakannya dalam usaha menyebar maklumat mengenai sains kepada orang ramai.

Sains bukan untuk saintis semata-mata, yang mungkin memerlukan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan rakan sebidang di luar negara.

Tetapi hakikatnya sains adalah untuk orang ramai yang juga berhak dan perlu untuk mengetahui. Untuk mereka, para saintis dan aktivis sains yang mahu mempopularkan pemikiran sains perlulah menggunakan bahasa Melayu.

Justeru para saintis dan aktivis sains yang mampu berbahasa Melayu harus terus menulis, berkarya dan bersyarah mengenai sains dalam bahasa Melayu.

Bukan saja bahasa Melayu akan diperkayakan dengan kegiatan mengungkapkan sains, tetapi bidang sains yang bersifat universal juga bertambah nilai dengan aktiviti penggunaan pelbagai bahasa.

Majoriti penduduk dunia tidak berbahasa Inggeris. Malah penggunaan internet mempertingkatkan lagi penggunaan bahasa di dunia. Walaupun bahasa Inggeris itu penting tetapi tidak bermakna bahasa lain dipinggirkan.

Sains dalam bahasa Inggeris diakui penting. Tetapi hakikatnya pemahaman orang ramai di Malaysia terhadap sains akan lebih mudah jika ia diungkapkan dalam bahasa kebangsaan.