Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 21 Julai 2007
HELIKOPTER Huey UH-1H milik tentera Filipina dibawa turun dari kapal kargo sebaik tiba di Subic Bay, barat Manila.Pesawat buatan Amerika itu masih digunakan untuk operasi menentang keganasan dan bantuan kemanusiaan.
Pada 29 Januari 1995, penulis yang ketika itu bertugas di Manila menyertai program bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ke Pangasinan dan Baguio. Tun Dr. Mahathir ketika itu dalam rangka lawatan kerja ke Filipina.
Perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut menggunakan helikopter Tentera Udara Filipina (PAF). Penulis dan beberapa orang ahli rombongan menaiki helikopter jenis UH-1 Huey buatan Amerika Syarikat (AS). Huey terkenal sebagai helicopter gunship dan mula digunakan di Vietnam tahun 1963.
Ketika mendaftar diri di lapangan terbang PAF di Pasay City, Manila, atas nasihat beberapa pihak meminta supaya isteri penulis menaiki helikopter yang berasingan. Cadangan tersebut berkait rapat dengan reputasi helikopter Huey milik PAF.
Penulis sebagai bekas anggota tentera, jadi menaiki kapal terbang tentera adalah perkara biasa. Di tahun-tahun 1960-an dan 1970-an penulis sering menaiki Dart Herald, satu-satunya kapal terbang penumpang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berulangalik dari Semenanjung ke Sarawak (sebelum C 130 menyertai TUDM).
Hakikatnya, helikopter Huey menjadi bahan jenaka rakyat Filipina. Usianya ketika itu baru memasuki tiga puluh tahun tetapi mengalami masalah penyelenggaraan dan alat ganti. Rakyat Filipina mempersendakan helikopter tersebut sebagai ‘mayat terbang’.
Ketika itu beberapa buah sahaja yang masih digunakan kerana banyak yang rosak atau terhempas dengan memakan korban yang besar.
Pelbagai pihak menggesa supaya kerajaan negara itu menggantikan Huey dan lain-lain pesawat PAF dengan yang lebih moden. Bagaimanapun, kerajaan Filipina menghadapi masalah kegawatan ekonomi yang serius.
Lantaran itu, apabila berita pembelian MIG 29 oleh Malaysia tersebar luas, ramai yang mencadangkan supaya Filipina membeli kapal terbang tentera buatan Rusia secara perniagaan barter dengan pisang (Filipina merupakan pengeksport pisang yang utama).
Cadangan ini juga menjadi bahan ketawa rakyat Filipina yang memang suka berjenaka.
Pagi itu penulis dan penumpang-penumpang lain mendarat di Pangasinan dengan selamat. Sebagaimana yang diminta, isteri penulis tidak menaiki helikopter yang sama.
Bagaimanapun, kira-kira lima belas minit perjalanan dari Pangasinan ke Baguio, helikopter yang penulis naiki terpaksa berpatah balik ke Pangasinan kerana kerosakan teknikal. Helikopter tersebut berjaya mendarat di Pangasinan, tetapi kami tidak dapat menyertai program di Baguio.
Baru-baru ini penulis terbaca berita tentang arahan supaya perkhidmatan helikopter Huey diberhentikan.
Peristiwa dua belas tahun lalu kembali semula ketika membaca tragedi yang menimpa helikopter Nuri baru-baru ini. Nuri yang pernah penulis naiki awal 1970-an telah berusia hampir 40 tahun. Sejak tahun 1969, Nuri terlibat dalam lapan belas kemalangan yang mengorbankan 95 nyawa.
Sayang sekali ramai pegawai dan anggota TUDM yang terkorban kerana kemalangan yang melibatkan pesawat terhempas dan bukannya dalam peperangan.
Orang ramai sering tertanya-tanya kenapakah pesawat TUDM sering terlibat dalam kemalangan. Ia bukan sahaja melibatkan helikopter malahan pesawat pejuang.
Keputusan Kabinet untuk menggantikan Nuri dengan helikopter yang baru memangnya telah lama ditunggu-tunggu. Malaysia tidak lagi mampu kehilangan pegawai dan anggota yang berpengalaman. Bukan mudah untuk melatih juruterbang dan anggota-anggota teknikal.
Di samping itu ia menimbulkan pelbagai persolan tentang keupayaan Malaysia menghadapi sebarang kemungkinan.