Sekular berasas Islam kukuh

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 29 Julai 2007


KEMENANGAN besar Perdana Menteri Turki. Reccep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya umum Ahad lalu disambut dengan ikrarnya untuk mempertahankan sistem sekular. Jadi siapakah yang menang dalam pilihan raya itu? Islam atau sekularisme?

Ini kerana penentang-penentang Erdogan ialah golongan sekular yang berjaya menghalang calon Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) daripada jawatan presiden April lalu. Kegagalan rakan karib Erdogan, iaitu Menteri Luar Abdullah Gul mendorong Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

Kemenangan 47 peratus AKP mengalahkan golongan sekular terdiri daripada Parti Rakyat Republikan (CHP) dan Parti Gerakan Nasionalis (MHP) disambut gembira oleh golongan gerakan Islam seluruh dunia.

Sementara pihak Barat yang berulang kali mengingatkan dunia bahawa AKP adalah parti berasas Islam memperlihatkan kekecewaan mereka. Lebih-lebih lagi mereka mengharap dan menjangkakan Erdogan, AKP dan golongan Islam akan kecundang memandangkan demonstrasi besar-besaran oleh penyokong sekularisme yang disokong CHP, MHP dan pihak tentera pada April dan Mei sempena tindakan menghalang Gul daripada menjadi presiden.

Mereka mempunyai persepsi bahawa sekularisme sedang mengukuh di dunia Islam di mana golongan Islam sedang melemah, dengan tanda-tanda turut dilihat di Lebanon apabila penyokong bekas Perdana Menteri Rafik Hariri berdemonstrasi menentang Syria dan golongan pro-Syria. Hariri dianggap sekular sementara Syria, golongan pro-Syria yang di dalamnya disertai Hizbullah dipandang sebagai Islamis.

Seterusnya pihak penganalisis Barat melihat betapa politik keganasan berbentuk bunuh diri yang dikaitkan dengan kumpulan Islam mendorong umat Islam menolak fundamentalisme dan menerima sekularisme.

Pandangan ini berlaku kerana penganalisis Barat melihat umat Islam dan juga gerakan Islam sebagai monolitik dan statik. Sedangkan hakikatnya, umat Islam seperti penganut agama lain mempunyai kepelbagain dan dinamik. Justeru mereka melihat Erdogan dan aktivis AKP sebagai gerakan Islam yang berbentuk tahun-tahun 80-an dan 90-an.

Hakikat bahawa AKP mewarisi aktivis dari parti-parti Islam sebelum ini seperti Parti Fazilat, yang menggantikan Parti Kebajikan dan sebelumnya pula adalah Parti Milli Salamat ditekankan dan menganggap cakap- cakap sekular oleh Erdogan hanyalah taktikal dan bukannya idekologikal.

Maka persoalannya adakah Erdogan serta AKP parti sekular atau Islam? Sejak awal penubuhan AKP, Erdogan berikrar mendukung sekularisme dan berazam melaksanakan reformasi demokrasi dan ekonomi serta berusaha membawa Turki ke dalam Kesatuan Eropah (EU). Tetapi kalau Erdogan sekular mengapakah pihak tentera, CHP dan MHP beria-ia menentang AKP? Mereka terus menuduh Erdogan sebagai Islamis tetapi majoriti rakyat sebaliknya memilih Erdogan. Mengapa rakyat Turki memilih AKP? Adakah kerana AKP itu Islamis?

Kepercayaan

Maka tidak dapat dielakkan untuk membaca kemenangan Erdogan sebagai kepercayaan rakyat terhadap AKP. Mereka memilih Erdogan kerana beliau mewakili kedua-dua sisi ciri-ciri Turki iaitu sekularisme dan Islam. Erdogan memilikinya tetapi di atas soal fahaman, mereka melihat kerajaan Erdogan sejak bermula dengan mentadbir bandar raya Istanbul merupakan golongan yang efisien dan efektif. Maka tidak menghairankan bahawa pendukung sekularisme yang kental turut memberi undi kepada AKP.

Tetapi dilihat keseluruhannya, keempat- empat elemen politik di Turki adalah sekular, bukan saja tentera, CHP dan MHP tetapi juga AKP. Apabila Erdogan mengisytiharkan diri dan partinya sekular, beliau bukan berpura-pura atau bertindak sebagai taktik politik membolehkan mereka bertanding. AKP memang sekular. Pada waktu yang sama, AKP sememangnya pro-Islam. Cara hidup aktivisnya adalah seperti orang Islam biasa.

Maknanya fahaman sekularisme juga mempunyai banyak aliran. Kalau di pihak tentera, fahamannya adalah berpegang teguh kepada apa yang diperjuangkan oleh pengasas Republik Turki iaitu Kemal Attaturk. Sekularisme tentera bersifat antiagama, ultranasionalis dan tidak demokratik. Sementara CHP bersifat sosialis dan MHP adalah liberal demokrat.

Sedangkan sekularisme AKP adalah bersandarkan kepada demokrasi, liberal dan Islam. Bagi Erdogan tidak ada percanggahannya antara sekularisme, liberalisme dan demokrasi dengan Islam. Justeru, apa yang dialami oleh AKP adalah keadaan pascafundamentalis iaitu landasan Islam yang menerima perspektif sekularisme, iaitu pemisahan antara agama dengan urusan profesionalisme politik, dan juga menerima ciri-ciri liberalisme dan demokrasi. Sudah tentu nilai Islam yang murni tidak akan menjadi penghalang kepada sebarang cita-cita baik dalam fahaman-fahaman itu.

Sebaliknya sekularisme tradisi Attaturk yang ultranasionalis dan antiagama bukan saja bercanggah dengan Islam tetapi juga semangat liberalisme dan demokrasi. Inilah dinamik perubahan yang dialami oleh gerakan Islam sedunia. Justeru Erdogan dan AKP tetap diterima sebagai sebahagian daripada gerakan Islam walaupun ia mempertahankan sekularisme.

Justeru kemenangan AKP bukan saja mengukuhkan Islam tetapi sekularisme dalam bentuk yang boleh diterima oleh Islam.

Dengan penyertaan lebih 80 peratus daripada pengundi, kemenangan AKP itu adalah jelas dan merupakan undi terbesar pernah diraih oleh mana-mana parti politik sejak 1960. Apabila diterjemahkan kepada kerusi, AKP akan memperoleh 340 kerusi dalam Parlimen yang dianggotai 550 orang.

Bagi Erdogan, pilihan raya itu merupakan ujian demokrasi bagi Turki. Katanya, Turki telah lulus ujian demokrasi. Apa yang disebutkan beliau merujuk kepada pihak tentera. Rakyat menolak penglibatan dan campur tangan tentera dalam politik.

Akhbar Turki turut melahirkan sentimen serupa. Akhbar Hurriyet menyatakan rakyat tidak suka kerajaan yang berkelahi dengan tentera, tetapi mereka menolak campur tangan pihak bersenjata. Maksudnya walaupun rakyat tidak suka AKP bertelagah dengan tentera kerana ia mengganggu keharmonian, dan perkara ini ditunjukkan demonstrasi menyokong sekularisme pada April lalu, tetapi zaman tentera campur tangan dalam politik sudah berakhir.

Sementara akhbar Zaman yang dianggap sederhana berkata: ‘‘Rakyat telah menyatakan suara mereka.’’

Bagi tentera, sekularisme adalah mengelak campur tangan ulama ke dalam politik. Ini kerana dibimbangi agama digunakan untuk kepentingan ulama dan akhirnya mendatangkan keburukan negara. Itulah hasrat awal Attaturk memansuhkan institusi khalifah dan menubuhkan Republik Turki yang menjunjung sekularisme.

Bagaimanapun sekularisme yang ditafsirkan tentera bercanggah dengan demokrasi. Ini kerana campur tangan tentera mengakibatkan kepentingan mereka yang mempunyai senjata disalah guna hingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara. Itu yang berlaku selama ini dan mahu diubah.

Pencalonan Gul untuk presiden adalah usaha AKP untuk meleraikan cengkaman kuasa tentera ke atas politik. Bukan saja ulama yang perlu disisihkan daripada politik, tetapi juga tentera. Maksud sekularisme dalam konteks demokrasi meliputi jaminan bahawa kerajaan tidak dikuasai atau dimonopoli oleh sesuatu golongan kerja hingga kuasa boleh disalahgunakan.

Maksudnya biarlah kuasa datang daripada rakyat tanpa mengira profesion. Justeru sesiapapun wajar dibenarkan menjadi ahli politik, iaitu bukanlah mana-mana institusi profesional seperti ulama, tentera, peguam, ahli akademik atau lain-lain golongan.

Amanah

Dalam Islam, kuasa dianggap sebagai amanah dan yang boleh menilai kejujuran seseorang walaupun tidak secara mutlak masih pada tangan orang ramai atau rakyat. Konsep sekularisme pada asalnya timbul apabila golongan bangsawan Eropah memberontak ke atas penguasaan Pope ke atas urusan pemerintahan di Rom hingga agama digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan golongan paderi. Vatican mengamalkan teokrasi hingga akhirnya dicabar elit bukan agama dalam masyarakat apabila mereka melihat agama disalah guna untuk kuasa.

Sejarah Islam tidak menyaksikan sebarang teokrasi, dan oleh itu konsep sekularisme tidak relevan bagi umat Islam. Namun begitu, kemunculan Attaturk hingga menyebabkan sekularisme menjadi ideologi kental oleh elit tentera di Turki disebabkan antara banyak faktor ialah kebobrokan khalifah di penghujung pemerintahannya.

Khilafah Uthmaniah pada penghujung zamannya, seperti juga maharaja-maharaja besar di bahagian dunia lainnya iaitu Dinasti Ching di China, kerajaan Moghul di India, juga pelbagai raja di Eropah mengamalkan cara hidup dekaden, iaitu bermewah-mewahan dengan istana besar dan memiliki gundik yang ramai menjadi lumrah hingga menggalakkan revolusi daripada rakyat.

Maka sekularisme yang dibawa Attaturk pada zaman itu merupakan reaksi kepada cara pemerintahan khalifah yang sebenarnya tidak menepati kehendak nilai-nilai Islam. Tentunya pentadbiran AKP di bawah Erdogan dalam kerangka Republik Turki berbeza pada zaman khalifah yang dekaden. Erdogan dan partinya diminati rakyat bukan hanya kerana agamanya tetapi keberkesanan pemerintahannya di samping mengambil berat terhadap golongan terpinggir.

Sikap terbuka Erdogan terhadap Eropah merupakan lanjutan dasar Attaturk untuk integrasi Turki dengan Eropah. Attaturk sedar Eropah benua yang maju dan mahu negaranya turut berada dalam keadaan yang serupa. Maka begitu juga dengan Erdogan yang mahukan Turki menyertai EU.

Tetapi Eropah tetap menolak Turki walaupun Attaturk memansuhkan khalifah dan mengamalkan sekularisme. Alasan menolak Turki selama ini ialah soal demokrasi dan layanan tidak adil Ankara terhadap kaum Kurdis dan Armenia. Tetapi setelah Turki mengamalkan demokrasi dan rakyat memilih parti-parti berasal dan berasas Islam, EU tetap menolak dan kali ini mereka menyatakan syak terhadap Erdogan dan AKP yang dikatakan sedang membawa Islam secara tersembunyi di sebalik demokrasi.

Hakikatnya EU, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Perancis menolak Turki kerana agama Islam yang dianuti mereka. Walaupun demokrasi dan sekularisme tidak mengambil kira soal agama, tetapi sikap yang ditunjukkan oleh EU itu adalah sifat fobia terhadap Islam. Mereka gagal untuk bersifat demokratik dan sekular. Sedang demokrasi menjamin kebebasan amalan agama dan sekular tidak mengambil kira soal agama.

Di sudut lain, mungkinkah Eropah masih kecewa dengan kegagalan mereka dalam Perang Galipoli di mana usaha untuk menawan Turki bagi diserahkan kepada Greece telah gagal. Orang yang menggagalkan usaha itu ialah Attaturk. Walaupun pewaris Attaturk membawa Turki menjadi sekutu Barat dengan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), namun sikap tidak mahu menerima negara itu berkekalan.

Akhirnya siapa yang sebenarnya mengamalkan demokrasi dan sekularisme bernilai positif adalah mereka yang menjadi aktivis dalam AKP, sebuah parti berasal dan berasaskan Islam, yang menerima inspirasi daripada perjuangan Beiduzzaman Nursi, seorang yang menentang Attaturk, tetapi pada waktu sama menolak Khalifah Uthmaniah di hujung zamannya.