Berpadalah memperjuangkan hak asasi

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 18 Disember 2005


MISTERI telah terurai tetapi persoalan tidak berjawab apabila pihak yang galak mendedahkan "penderaan'' dalam lokap polis kini kunci mulut dan cuci tangan.

Hari kedua dan ketiga inkuiri awam suruhanjaya bebas baru-baru ini telah menyuraikan dua persoalan utama. Pertama; adakah benar wanita yang diarahkan ketuk-ketampi sambil berbogel itu antara lima warganegara China yang mendakwa dikasari polis sebelum ini? Keduanya, adakah ketuk-ketampi dan bogel dalam lokap polis itu satu penderaan dan menyalahi hak asasi manusia?

Kedua-dua persoalan ini menjadi kunci kepada kontroversi klip video tahanan wanita di Balai Polis Petaling Jaya yang disebarkan kepada umum hingga ke lobi Parlimen. Kontroversi akibat kenyataan demi kenyataan oleh beberapa pihak menggambarkan yang berlaku dalam lokap polis itu satu penderaan kepada warganegara China.

Kerana ada pihak yang begitu galak mengeluarkan kenyataan hingga mengeruhkan hubungan dua hala Malaysia-China, kerajaan terpaksa mewujudkan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat isu ini. Kewujudan suruhanjaya bebas ini membuktikan kerajaan telus dan tidak bias kepada mana-mana kaum.

Hasil daripada inkuiri awam suruhanjaya itu, kontroversi ini sudah tidak kontroversi lagi. Ini kerana wanita dalam kilp video itu bukan warganegara China. Walaupun tidak pernah disebut secara khusus tetapi persepsi dibentuk wanita itu warganegara China. Wanita itu sebenarnya rakyat tempatan keturunan Melayu. Jadi bias kaum yang dibentuk oleh beberapa kenyataan sebelum ini salah sama sekali.

Inkuiri awam juga mendedahkan bahawa ketuk-ketampi antara lima hingga sepuluh kali bukanlah penderaan. Sebaliknya ini adalah amalan biasa untuk memeriksa tahanan wanita dalam kes-kes seperti dadah. Maka jelaslah tidak ada isu yang boleh dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia seperti yang dihebohkan oleh pihak tertentu. Adakah selama ini polis kita melakukan penderaan?

Difahamkan kaedah ketuk-ketampi ini digunakan di banyak negara lain. Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Musa Hassan pula kurang setuju dengan istilah "ketuk-ketampi'' yang mencerminkan tahanan didera. Tahanan bangun dan mencangkung supaya pemeriksaan dapat dijalankan ke atasnya.

Barangkali ada yang bertanya kenapa klip video ini sampai hingga ke lobi Parlimen? Malah yang lebih menimbulkan tanda tanya kenapa semacam ada imuniti kepada individu menjaja klip video yang mengaibkan tahanan wanita itu? Inikah cara pihak tertentu memperjuangkan hak asasi manusia?

Sebab itulah kontroversi ini perlu dibaca dan disorot bukan saja isu hak asasi manusia malah daripada kaca mata politik. Motif politik ternyata lebih terserlah apabila makna "hak asasi manusia'' seolah-olah untuk kaum tertentu tambahan pula dibangkitkan oleh parti tentu saja.

Kalau sebelum ini pihak yang membangkitkan isu ini dilihat seumpama wira, Selasa lalu mereka dilihat dengan imej yang berbeza. Mereka tidak matang berpolitik, hujah tidak mantap, fakta salah dan tidak bertanggungjawab di atas tindakan.

Adakah selepas mencetuskan kontroversi yang menggegarkan negara, pihak ini boleh mengundurkan diri daripada kontroversi ini begitu saja? Mereka mesti bertanggungjawab di atas "perjuangan hak asasi'' yang memalukan negara dan pihak polis.

Mesti ada satu bentuk tindakan supaya pada masa akan datang tidak ada pihak yang sewenang-wenang mencetuskan suasana tegang dalam ataupun luar negara. Ini bukan perkara kecil dan boleh didiamkan begitu saja. Apabila kerajaan terpaksa wujudkan sebuah suruhanjaya bebas bermakna perkara ini serius.

Lihatlah perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu telah menjadi kontroversi besar akibat menyalahgunakan kebebasan bersuara. Ruang kebebasan ini digunakan melampaui yang sewajarnya.

Mungkin yang isunya di sini ialah mengambil gambar tahanan dalam keadaan bogel. Ini isu individu dan pihak atasan polis tentu ada tindakan tertentu di atas perbuatan ini. Tetapi yang jelas ini sama sekali bukan dasar polis negara ini terhadap tahanan terutamanya dari China.

Kontroversi ini juga wajar memberi pengajaran kepada banyak pihak terutama yang terlalu cepat mengeluarkan kenyataan. Mereka perlu lebih berhati-hati. Teliti dahulu hujung pangkal sebelum mengeluarkan kenyataan sama ada menyokong atau sebaliknya. Ini kerana kenyataan daripada persepsi yang keliru tentu akan mengelirukan.

Kenyataan-kenyataan begini akan membentuk persepsi umum yang silap terhadap sesuatu isu. Lihatlah secara logiknya apakah kaitannya tindakan polis menahan dan memeriksa seorang wanita Melayu dengan kemasukan pelancong dari China?

Tetapi apabila persepsi dijuruskan bahawa wanita yang diarah bogel itu warganegara China, maka bertalu-talu kenyataan yang menyentuh kebimbangan menurunnya kemasukan pelancong China.

Satu lagi persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah tindakan polis berdiam diri dan tidak mendedahkan bahawa wanita itu bukan warganegara China. Tentunya polis tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengesahkan bahawa wanita itu adalah rakyat tempatan.

Kalaulah awal-awal lagi identiti warganegara wanita itu didedahkan, tentu tidak ada peluang pihak tertentu untuk menyemarakkan kontroversi hingga sampai ke China. Sikap berdiam diri pihak polis juga membentuk persepsi seolah-olah dakwaan itu benar.

Perjuangan hak asasi manusia kini sudah menjadi lesen untuk tujuan yang lain. Kontroversi tahanan wanita ini boleh dijadikan contoh bagaimana mudahnya benda-benda kecil seperti ketuk-ketampi sengaja dilihat sebagai isu hak asasi manusia.

Kalau benar memperjuangkan isu hak asasi manusia berpada-padalah. Jangan kelihatan melampau kerana ketuk-ketampi bukan bentuk hukuman yang luar biasa di sekolah-sekolah suatu ketika dulu.

Adakah pihak yang menghangatkan kontroversi ini terlalu gopoh atau sengaja menggunakan isu sekecil ketuk-ketampi sebagai modal politik?