Ke arah generasi menguasai bahasa Inggeris

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 24 Disember 2005


Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini merupakan satu mercu tanda bersejarah bagi pendidikan negara ini. Ini kerana buat pertama kali generasi pelajar yang mempelajari mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris diuji dalam satu peperiksaan nasional.

Hasilnya, projek penggunaan bahasa Inggeris dalam mengajar dan belajar Sains dan Matematik pada keseluruhannya telah berjaya.

Sememangnya kenyataan ini menimbulkan petanda-petanda keraguan dalam masyarakat tentang kejayaan program kontroversi yang merupakan cetusan wawasan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan didukung oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam era di mana mudah bagi orang ramai untuk meragui kenyataan-kenyataan rasmi, maka dapat difahami betapa kejayaan projek ini pasti turut dipersoalkan.

-lebih lagi bidang pendidikan di negara ini sudah terlalu dipolitikkan dengan elemen-elemen berbau perkauman, maka kecenderungan adalah untuk mempersoalkan kejayaan program berkenaan.

Hakikat pertama yang perlu diterima ialah pentadbiran pendidikan di negara ini, walau apa pun imejnya adalah berasaskan kepada profesionalisme. Sama ada Kementerian Pelajaran mahupun Kementerian Pangajian Tinggi menjalankan kerja mereka menurut amalan-amalan profesional, daripada guru-guru hinggalah kepada pentadbirnya.

Sebarang kelemahan yang timbul adalah lebih berbentuk kepada pengecualian atau kejadian terpencil, dan bukannya amalan rasmi dalam sistem berkenaan.

Sistem yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada amalan universal bidang pendidikan, dan bukannya berbentuk politik atau usaha untuk menonjolkan kejayaan semata-mata.

Hakikat bahawa bidang pendidikan berada dalam wilayah kesedaran sensitifnya mendorongnya untuk lebih telus dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Begitu juga dengan pelaksanaan projek pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Ia benar-benar menepati sasaran dan tidak ada sebarang kompromi terhadap mutu pencapaian dalam mata pelajaran tersebut. Tolak ansur mungkin berasaskan pada pendekatan yang mengambil kira kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam memahami dan menjawab soalan mata pelajaran itu. Tetapi dari segi kandungan mata pelajaran, mutunya tetap dipertahankan.

Pada hemat saya, secara umum dan purata, pelajar-pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dan memahami Sains dan Matematik dalam bahasa berkenaan.

Masalah besar terletak pada pelajar-pelajar lemah. Mereka ini bukan saja tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda juga gagal dikuasai dengan baik. Malah jika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu, mereka tetap gagal menguasainya.

Umpamanya, jika mereka dapat memahami sedikit saja mata pelajaran Sains dan Matematik ketika diajar dalam bahasa Melayu, maka apabila diajar dalam bahasa Inggeris, mereka langsung tidak dapat memahaminya.

Pelajar-pelajar pintar kurang menghadapi masalah. Mereka dapat menguasai apa saja bahasa. Sama ada bahasa Inggeris atau Arab. Dengan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, mereka lebih beruntung kerana dapat meningkat penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Di universiti kelak, yang pasti dapat dimasukinya, mereka akan mudah akses pada bahan-bahan bacaan bahasa Inggeris. Bukan itu saja, program ini meningkatkan keupayaan mereka ketika mencebur diri dalam dunia kerjaya masing-masing kerana bahasa Inggeris mereka.

Bagi pelajar-pelajar sederhana, mereka mungkin menghadapi masalah. Andai kata Sains dan Matematik menggunakan bahasa ibunda, mungkin mereka dapat menguasainya dengan lebih baik. Tetapi penggunaan bahasa Inggeris membuka peluang mereka untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu, sesuatu yang berguna bagi mereka.

Bagaimanapun, bagi pelajar-pelajar lemah, dunia seolah-olah meminggirkan mereka. Sudahlah masyarakat lebih memihak kepada pelajar-pelajar pintar, mereka terpaksa berlawan dengan psikologi rendah diri untuk hidup. Tambahan pula mereka pasti terperosok dalam lingkungan rakan sebaya yang juga bersahsiah lemah, maka bertambah masalah bagi mereka.

Ibu bapa, guru, majikan, media dan anggota masyarakat tidak mesra kepada golongan berkemampuan pelajaran lemah.

Maka golongan ini bukan saja tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, malah mata pelajaran Sains dan Matematik yang menggunakan bahasa Inggeris berada di luar jangkauan mereka.

Bahasa Inggeris tidak ada guna bagi golongan pelajar lemah ini. Mereka pasti tidak akan menjejak kaki ke universiti. Mereka tidak perlu untuk membaca buku-buku bahasa Inggeris. Mereka juga bukannya minat pun.

Tambahan pula, mereka akan bekerja dalam lapangan kerja yang tidak banyak menggunakan bahasa Inggeris.

Golongan inilah yang perlu diberi perhatian lebih oleh masyarakat termasuk Kementerian Pelajaran. Mungkin ada kalangan dalam golongan ini merupakan mereka yang jenis pelajar lambat atau mekar lewat (slow learners dan late boomers).

Bagi pelajar lemah lepasan PMR tidak ada guna bagi mereka diasak masuk untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang pastinya tidak akan dapat dikuasai oleh mereka. Jalan lain perlu dicari.