Rusia menyumbang semangat multipolar

Oleh: Zin Mahmud (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 14 Disember 2005

Walaupun Rusia hanya berjaya mendapat status pemerhati dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pertama semalam, tetapi kedudukannya lebih mantap di rantau ini apabila Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia pertama berlangsung Selasa lalu.

Rusia yang memohon untuk menjadi anggota EAS adalah rakan dialog ASEAN selama sembilan tahun.

Sebagai pemerhati dalam EAS, sudah cukup bagi negara terbesar dunia itu mengesankan kehadirannya di rantau ini. Sekali gus ia menyumbang pada semangat multipolar yang menjadi aspirasi kepada banyak negara yang tidak bersetuju dengan peranan unipolar Amerika Syarikat (AS).

Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet yang diterajui Rusia, politik global berubah daripada dwipolar kepada unipolar. Semasa Perang Dingin, kedudukan dwipolar dunia ditandai oleh dua kuasa besar iaitu AS dan Soviet.

Tetapi dengan perpecahan Soviet, Rusia tidak mampu lagi menjadi kuasa besar dan ini menyebabkan AS mengamalkan peranan unipolar dengan nama Order Dunia Baru (NWO) di mana ia berani membuat sesuatu inisiatif politik global tanpa perlu mengambil kira bangkangan kepada kuasa pesaingnya. Peristiwa paling besar yang menandakan peranan unipolar AS ialah peperangan yang dilancarkan terhadap Iraq.

Dari situ negara-negara lain mula membimbangi sikap unipolar AS itu dengan menyeru supaya diwujudkan sistem multipolar dalam politik global dunia.

Pendukung-pendukung multipolar ini, termasuk Malaysia menentang peperangan yang dilancarkan oleh AS dan sekutu-sekutunya ke atas Iraq. Negara-negara besar lain yang mendukung amalan multipolar ialah Rusia, Jerman, Perancis, China dan India.

Di kalangan negara ASEAN, ada yang menyokong peperangan AS ke atas Iraq seperti Filipina, Thailand dan Singapura. Sementara negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam menentang tindakan AS itu.

Sementara di kalangan 16 negara yang menjadi anggota EAS, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand dianggap sebagai sekutu AS sementara China dan India mendukung amalan multipolar.

ASEAN secara keseluruhan sejak penubuhannya pada tahun 1967 dianggap sebagai himpunan negara-negara menentang komunis. Ketika itu, Thailand, Indonesia dan Filipina yang menjadi sekutu AS, maka pertubuhan serantau ini dianggap pro-Washington.

Pun begitu, dengan mengisytiharkan gagasan Zon, Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), ASEAN mengambil sikap berkecuali antara Moscow dan Washington bagi mengelak daripada terheret ke dalam peperangan di Indochina.

Setelah kejatuhan Saigon, Vietnam dan Laos menjadi sekutu Soviet. Kemboja di bawah Khmer Rouge merupakan sekutu China sementara Burma (kini Myanmar) mengambil sikap menyendiri dan menutup pintu luar tetapi memiliki hubungan strategik dengan Beijing.

Apabila Vietnam menakluk Kemboja dan menubuhkan kerajaan bonekanya di Phnom Penh, ASEAN memihak kepada Khmer Rouge. Justeru dalam keadaan sedemikian, ASEAN bersifat menentang Moscow.

Kejatuhan Soviet mengubah segala-galanya dan kini ASEAN yang dianggotai oleh 10 negara mengukuhkan hubungannya di antara satu sama lain.

Rusia sudah tidak menjadi ancaman kepada AS tetapi ternyata bahawa di mana-mana pun kehadirannya, bekas kuasa besar itu juga mahukan sistem multipolar di dunia. Maka kehadiran Rusia dalam Sidang ASEAN-Rusia dan EAS sebagai memberi sumbangan kepada aspirasi multipolar.

AS pasti berasa cemburu dengan kehadiran Rusia dalam EAS. China menyatakan kesediaannya menerima Rusia sebagai anggota EAS jika ASEAN menyetujuinya.

Tetapi ASEAN tidak akan terburu-buru menerima Rusia kerana perasaan AS juga patut dipelihara.

Semalam Bernama melaporkan dari Washington betapa Dana Dillon dari Heritage Foundation berkata EAS tidak mungkin berjaya merintis jalan ke arah pembentukan satu pasaran tunggal Asia.

Heritage Foundation yang menyatakan nada cemburu AS ini merupakan agensi pemikir konservatif yang menyumbang kepada fahaman politik Parti Republikan yang berkuasa di AS sekarang.

``Tidak ada sebarang tarikan yang boleh menyatukan mereka. Selepas 30 tahun pun, ASEAN belum menjadi pasaran bersepadu. India dan China (pula) bersaing sesama mereka. China dan Jepun sedang bertelagah. Satu-satu perkara yang mereka bersepakat ialah untuk tidak memasukkan AS dalam sidang kemuncak itu,'' kata pegawai pertubuhan itu.

Malah, menurut Dillon yang sentiasa mengikuti perkembangan di Asia Tenggara, beliau tidak hairan jika EAS kedua tidak akan diadakan.

Washington menolak gagasan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEC) dan memandang Sidang ASEAN+3 dengan penuh curiga. Tetapi EAS yang turut dianggotai oleh sekutunya, Australia meredakan kecemburuannya.