Ikan tongkol dan konsumerisme

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 2 April 2006


KEPALA ikan tongkol kini menjadi ikon baru kesedaran konsumerisme yang berada pada tahap sangat rendah di negara ini. Jangan ketawa dulu, ini adalah tragedi yang melanda pengguna di negara ini yang tidak menggunakan kuasa konsumerisme yang ada. Sebaliknya memberikan kepada pihak lain (kerajaan) bertindak bagi pihaknya.

Minggu lalu selain daripada tragedi kemalangan, pembunuhan dan cerita hiburan yang memagut perhatian, kisah gulai ikan tongkol tidak kurang menariknya. Seorang pelanggan gerai nasi dagang mendakwa dia terpaksa membayar RM45 untuk seketul kepala ikan tongkol.

Tuan punya gerai, Mak Cik Sapiah Mohamad yang berusia 70 tahun mendakwa pelanggan itu menerima harga itu tanpa membantah atau merungut. Maknanya ada persetujuan dalam urusan jual beli itu.

Malangnya pelanggan tadi berjumpa surat khabar untuk membuat bantahan. Baginya harga satu ketul kepala ikan tongkol RM45 terlalu mahal dan tidak masuk akal. Di sinilah isunya yang menunjukkan kesedaran konsumerisme yang rendah dan pengguna yang terlibat tidak menggunakan kuasanya sebagai pengguna.

Saya melihat ada dua perkara yang perlu ditekankan di sini. Pertamanya kenapa pelanggan berkenaan menerima harga yang dianggap terlalu mahal itu?

Dia mempunyai wang, penjual mempunyai barang. Sekiranya sebelah pihak tidak bersetuju dalam soal harga, tidak wajar ada urusan jual beli. Kalau pelanggan ini berbuat begitu, bagi saya dia seorang yang mempunyai kesedaran konsumerisme yang tinggi.

Tetapi dia membayar kemudian datang berjumpa surat khabar. Maknanya dia tidak menggunakan kuasa sebagai pengguna kerana hakikatnya dia tidak berpuas hati dengan harga itu.

Akhirnya Mak Cik Sapiah didenda RM1,000 oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Kesalahannya bukan harga gulai ikan tongkol tetapi tidak ada tanda harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal semasa kenaikan harga minyak berkata, pulaukan peniaga yang menaikkan harga barang. Maknanya dengan kesedaran konsumerisme yang tinggi, gunakanlah kuasa yang ada untuk mendepani situasi kenaikan harga.

Selagi pengguna hanya mengharapkan kerajaan menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan oleh mereka, selama itulah masalah konsumerisme tidak akan selesai. Apakah terlalu sukar untuk tidak membeli sesuatu yang kita merasakan harganya tidak wajar?

Kalau barang-barang keperluan, sekiranya tidak membeli ia akan menjejaskan kehidupan kita, wajarlah diserahkan kepada kerajaan untuk bertindak. Tetapi janganlah memperemehkan penguat kuasa KPDNHEP kerana satu kepala ikan tongkol.

Tetapi inilah yang sering berlaku dalam masyarakat apabila semua yang ada kepentingan dengan pengguna mahu diserahkan kepada pihak lain memberi perlindungannya. Sikap begini tidak menyelesaikan masalah malah semakin meletakkan kesedaran konsumerisme pada tahap paling rendah.

Apabila sesuatu isu menjadi debat terbuka seperti ikan tongkol ini, mahu tidak mahu KPDNHEP terpaksa masuk campur. Kalau tidak nanti dikatakan tidak peka dengan masalah pengguna. Tetapi sebenarnya ini bukan masalah pengguna, ini masalah sikap sebahagian besar pengguna di negara kita.

Perkara kedua ialah mahal atau tidak mahal sebenarnya sangat subjektif. Kalau sekali makan tengah hari di hotel RM100 itu mahal, banyak juga orang yang membelanjakan RM100 untuk sekali makan tengah hari.

Biarlah, kerana tidak semua orang mempunyai kuasa membeli yang sama. Bagi sesetengah orang menganggap makan tengah hari RM100 itu mahal tapi bagi yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi, RM100 adalah murah. Wajarkah murah dan mahal ini pun perlu campur tangan kerajaan? Lagi pun adilkah kita kepada mereka yang ada kuasa membeli yang tinggi?

Tidak ada satu kayu ukur yang mengatakan sesuatu itu mahal atau murah. Yang tahu ukurannya hanya kita sendiri berpandukan kuasa membeli yang kita ada. Kita kena adil kepada orang yang mampu berbelanja lebih untuk menikmati sesuatu yang setimpal dengan harganya.

Maka kerana itu jangan terlalu cepat menuduh gulai ikan tongkol berharga RM45 itu sebagai mahal dan memberikan satu hukuman kepada penjualnya. Mungkin benar harganya RM45 tetapi pelanggan sebelum ini adalah kalangan yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi.

Bagi kita yang menganggap harga itu tidak wajar, mungkin kuasa membeli kita tidak setinggi mereka yang selama ini tidak pernah bising dengan harga itu. Jadi, berlaku adillah kepada Mak Cik Sapiah.

Kalau mampu, semua orang ingin merasa enaknya ikan tongkol harga RM45. Tentu pelanggan Mak Cik Sapiah yang seorang ini pun kalangan yang mempunyai kuasa membeli tinggi. Kalau tidak, tentu dia tidak akan membayarnya. Jadi, apa masalahnya?