Jika Amerika menyerang Iran

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 16 April 2006


JIKA Amerika Syarikat (AS) benar-benar serang Iran, sudah tentu banyak orang yang akan mati dan harta benda musnah serta berlaku kesusahan dan penderitaan.

Apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan akan berlaku di Iran. Tetapi kalau setakat loji saja yang menjadi sasaran, maka mungkin Iran akan mengalami apa yang dilalui oleh Pakistan, iaitu ketika peluru berpandu AS dilancarkan ke atas sasaran. Ada juga yang mati walaupun tidaklah sebanyak jika perang betul berlaku.

Perang amat kejam bukan semata-mata ia membunuh manusia dan merosakkan harta benda, tetapi lebih besar lagi, ia memusnahkan perpustakaan, arkib, muzium, bangunan-bangunan warisan dan tapak-tapak arkeologi yang kesemuanya merupakan khazanah peradaban.

Cuba bayangkan apabila Iran diserang seperti Iraq. Khazanah yang tidak ada tolok bandingnya seperti di Isfahan dan Mashhad akan musnah. Masjid, makam, muzium dan perpustakaan lama yang menyimpan manuskrip-manuskrip Parsi Islam pasti musnah.

Walaupun AS pernah menyatakan bahawa ia tidak akan menjadikan tempat-tempat warisan sebagai sasaran tetapi di Iraq, apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Tidak seperti zaman-zaman silam di mana kemusnahan yang didatangkan oleh senjata adalah terhad, bom dalam apa jua bentuk mampu melenyapkan bahan-bahan warisan dengan begitu saja.

Perkara itulah yang menghairankan dan menjadi ironi terhadap negara-negara Barat. AS dan Britain dalam tamadun mereka amat menghargai khazanah peradaban tetapi sanggup memusnahkan bahan-bahan sejarah itu di Iraq. Malah tentera AS sendiri yang membiarkan Muzium Negara Iraq di Baghdad diceroboh, dicuri dan dirosakkan.

Bulan lalu, kehadiran satu pasukan tentera AS di tapak arkeologi mencetuskan bantahan dari kerajaan Iraq kerana bimbang mereka akan merosakkan peninggalan bersejarah di sana.

Sememangnya pembinaan muzium di banyak negara banyak dikaitkan dengan nasionalisme dan politik tetapi prinsip kesarjanaan peradaban terhadap peninggalan bersejarah mestilah dipertahankan.

Bahan-bahan warisan sesebuah negara, baik dalam bentuk perpustakaan, manuskrip lama, muzium, hasil seni dan artifak merupakan khazanah sejagat milik semua manusia yang perlu dipelihara dan dipertahankan demi masa depan.

Mana-mana negara sebenarnya memegang amanah bagi memelihara bahan warisan nasionalnya bagi pihak seluruh manusia. Kerana bahan-bahan itu khususnya berbentuk tulisan amat berharga bagi peradaban manusia, pada masa ini dan akan datang.

Bagi zaman moden, kesedaran terhadap kepentingan bahan-bahan sejarah ini bermula dari zaman Renaisans diikuti dengan Enlightenment, walaupun kemudian pada masa penjajahan, kegiatan arkeologi dan antikuiti ini berkait sama dengan imperialisme, iaitu dorongan untuk menjajah dan menguasai negara lain.

Renaisans yang bermula di Itali menyaksikan kebangkitan minat terhadap tamadun silam, bukan saja mengenai Rom dan Yunani tetapi juga Islam. Mereka mula mencari balik karya-karya zaman silam untuk dihargai dan ditiru bagi melanjutkan peradaban baru.

Maka tidak menghairankan, Nostradamus, tokoh Renaisans yang dikaitkan dengan ramalan pada masa depan turut membaca manuskrip tulisan Imam al-Ghazali.

Semasa zaman penjajahan, baik yang dilakukan oleh Portugis, Sepanyol, Perancis, Inggeris dan Belanda, mereka menghimpunkan bahan-bahan sejarah untuk kajian walaupun matlamat akhirnya adalah untuk penjajahannya.

Maka daripada tulisan Tom Pires, dunia mengetahui kedudukan Melaka pada zaman kegemilangannya. Begitu juga penjelajah Perancis yang menemui Angkor Wat dan penjelajah Belanda menemui Brobudur. Stamford Raffles pula menghimpun manuskrip-manuskrip Melayu untuk dibawa ke England tetapi musnah apabila kapalnya tenggelam.

Bagaimanapun, minat Napoleon Bonaparte terhadap piramid membuka bidang kajian Egyptologi yang menempatkan arkeologi sebagai bidang penting bagi memahami manusia dan kewujudannya.

Tetapi filem seperti Raiders of the Lost Ark memaparkan betapa pada tahun-tahun 30-an, arkeologi menjadi bidang saingan di antara kuasa-kuasa besar iaitu Inggeris dan Jerman bagi menguasai dunia.

Justeru, di satu pihak dalam tamadun Barat, ada yang berpegang kepada kepentingan bahan-bahan warisan ini; di satu pihak pula, ada yang tidak segan silu memusnahkan bahan-bahan ini dengan mengambil kira bahawa mempertahankan kuasa adalah lebih utama. Sementara ada pula pihak yang minat terhadap bahan warisan, tetapi tujuannya adalah untuk politik semata-mata.

Dalam tradisi Islam, al-Quran mengajak umat Islam memerhati binaan-binaan peninggalan sejarah untuk mendapatkan pengajaran daripada kemusnahan umat-umat terdahulu. Secara tidak langsung, al-Quran mengajar umat Islam untuk memelihara bahan-bahan warisan.

Malah al-Quran sendiri terdiri daripada kisah-kisah silam yang bersifat sejarah untuk diabadikan dalam pemikiran umat.

Kerancakan umat Islam sendiri untuk memelihara warisan berlaku pada zaman Khilafah Abasiah. Para cendekiawannya mengkaji kitab-kitab Yunani, dan sudah tentu mereka menyimpannya dengan banyak. Muncul Baitul Hikmah dan pelbagai perpustakaan serta galeri bagi tujuan kajian.

Kesemuanya ini banyak yang musnah apabila tentera Mongol datang dan menghancurkan Baghdad. Air di Sungai Furat dan Dajlah bertukar menjadi hitam kerana dakwat yang keluar daripada kitab-kitab yang dilempar ke dalam sungai itu.

Tetapi habis kesemuanya. Di tempat-tempat yang terpencil, ada rumah-rumah yang selamat dan kalau mereka menjadi penyimpan kitab-kitab lama, maka ia jadi warisan yang dilanjutkan ke hari ini.

Asas

Dari tempat-tempat yang selamat inilah, umat Islam hari ini mewarisi kitab-kitab ulama zaman silam. Itu pun hanya sekelumit yang dapat diselamatkan. Tetapi yang sedikit itulah menjadi asas kepada pengajian Islam hari ini.

Tradisi intelektualisme Islam zaman silam dengan koleksi kitab-kitab lama itu diwarisi Iran. Ketika dunia masuk ke zaman moden, mereka bebas daripada peperangan dan oleh itu khazanah masih dapat dipertahankan.

Tetapi andai kata AS melakukan serangan ke atas Iran seperti mereka lakukan ke atas Iraq, maka pastinya khazanah ini musnah. Mereka musnah akibat bukan saja bom-bom AS tetapi juga peperangan saudara yang berlanjutan selepas itu.

Peperangan mesti merosakkan khazanah warisan. Itulah yang berlaku di Afghanistan. Universiti Kabul yang menempatkan buku- buku lama turut termusnah. Lebih-lebih lagi pada zaman Taliban yang tidak menghargai buku dan bahan sejarah. Patung Buddha di Bamiyan turut diletupkan.

Kini suasana perang masih menyelubungi Afghanistan dan bahan-bahan warisan di situ tidak selamat.

Dua wilayah Islam lain yang turut mengalami kemusnahan bahan-bahan warisan ialah Bosnia-Herzegovina dan Palestin. Dalam perang Balkan, pihak Serb dengan sengaja menghalakan meriam mereka ke atas Perpustakaan Sarajevo yang mengandungi manuskrip tidak ternilai harganya yang diwarisi pada zaman Uthmaniah. Semuanya musnah. Apa yang dilakukan oleh Slobodan Milosevic bukan saja pelenyapan etnik tetapi juga pemusnahan peradaban di Bosnia-Herzegovina.

Palestin pula, yang merupakan bumi nabi-nabi seperti juga Iraq dan Mesir secara bersistematik dan berterusan sedang dirosakkan oleh Israel dari segi warisannya. Walaupun Israel yang dianggap sebagai entiti Barat yang berfikiran maju, tetapi dalam hal arkeologi, ia tidak objektif tetapi sebaliknya sedang melakukan pengyahudian di bumi Palestin.

Segala warisan sebenar Palestin dimusnahkan, baik berupa artifak-artifak mahupun tapak-tapak arkeologi. Zionis mahu menghilangkan ciri-ciri Palestin dan digantikan dengan kesan Yahudi, walaupun ia palsu.

Di satu pihak, bangsa Yahudi terkenal dengan intelektualnya tetapi pada satu pihak lain, mereka bersikap pelampau hingga menegetepikan kesarjanaan objektif.

AS juga mempunyai ciri-ciri begitu. Pada satu pihak, mereka amat mengagung karya- karya tamadun Barat tetapi dalam Perang Dunia Kedua, secara sistematik, mereka telah memusnahkan banyak khazanah, perpustakaan dan warisan Eropah ketika menjatuhkan bom di benua itu. Bandar Dusseldorff yang antik turut musnah sedangkan perbuatan itu tidak perlu. Nazi di ambang kejatuhan dan pemusnahan tidak perlu berlaku.

Begitu juga dengan pengeboman nuklear ke atas Hiroshima dan Nagasaki. Amat besar kemusnahan dilakukan, bukan saja terhadap manusia dan harta benda, tetapi khazanah dan warisan.

Serupa juga dengan serangan ke atas Iraq. Ia suatu yang tidak perlu. Kalau dilakukan juga, tidak perlulah muzium dan perpustakaan menjadi sasaran.

Walaupun Saddam Hussein adalah seorang diktator kejam tetapi dalam melindungi khazanah warisan, beliau memberi peruntukan besar. Tidak seperti negaranegara kaya minyak yang lain, Saddam memelihara banyak tempat bersejarah termasuk Babylon. Malah masjid dan makam Syiah juga memperoleh peruntukan. Beliau juga membina galeri seni lukis.

Tunduk

Tetapi mungkin AS mahu mengurangkan warisan Iraq dan digantikan dengan imej- imej budaya Amerika. Sekutu Inggeris- Amerika pernah melakukan perkara yang sama ke atas Jerman dan Jepun.

Begitu juga dengan sikapnya terhadap Iran. Mereka tidak dapat menerima Iran yang merdeka dan mahu membangun senjata nuklear sendiri. AS mahu Iran tunduk padanya.

Tamadun Iran jauh lebih lama daripada AS. Bangunan-bangunan purba di Iran lebih tinggi nilai sejarah dan warisannya berbanding mana-mana binaan di AS. Malah mercu-mercu tanda AS di Washington tidaklah begitu bersejarah dan hanya berupa barang tiruan kepada seni bina Eropah.

Perang mesti ditentang habis-habisan. Sejarah manusia penuh dengan peperangan. Bayangkan kalau Mongol tidak menyerang Baghdad, mungkin khazanah kitab yang berganda-ganda jumlahnya dapat diselamat- kan dan keadaan peradaban manusia hari ini tentunya berbeza.

Juga bayangkan kalau Jerman tidak dibom hingga lumat semasa Perang Dunia Kedua, banyak khazanah manuskrip yang dapat diselamatkan. Kajian daripadanya mampu mengubah perjalanan tamadun.

Jika perang Balkan tidak meletus, manuskrip Bosnia-Herzegovina bertulisan Arab dapat diselamatkan. Sejarah rantau itu juga berubah. Begitu juga di Iraq dan Afghanistan.

Tetapi manusia mempunyai sifat sukakan perang dan membunuh sesama sendiri. Masalah tidak mahu diselesaikan di meja rundingan. Sedangkan senjata yang dicipta semakin canggih. Bom nuklear yang dimiliki oleh banyak negara di dunia boleh menghapuskan bumi dan isinya sekali.

Tetapi manusia bukannya berdimensi satu. Presiden Iran, Mahmud Ahmedinejad bertegas mahu membina loji nuklear untuk kegunaan keamanan. Tetapi sudah tentu, Presiden George W. Bush tidak mempercayainya.

Presiden terdahulu Iran, Mohamad Khatami adalah bekas Ketua Pustakawan Negara. Beliau tidak cenderung untuk membangun senjata nuklear.

Isteri Bush, Laura adalah bekas pustakawan dan masih aktif memperjuangkan dan mengunjungi perpustakaan terkenal di seluruh dunia.

Washington memperuntukkan sejumlah wang membantu gerakan pembangkang Iran, antaranya propembaharuan yang pernah menjadikan Khatami calon mereka.

Mungkin serangan AS ke atas Iran dapat dielakkan.