Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 2 Julai 2006
KOREA Utara mendapat layanan lebih baik dari Amerika Syarikat (AS) berbanding Iran walaupun negara itu terang-terang mengakui mampu menghasilkan senjata nuklear. Iran hanya mahu menggunakan tenaga nuklear untuk keamanan.
AS tidak berselindung untuk melancarkan peperangan ke atas Iran jika Teheran meneruskan program nuklear. Tetapi Korea Utara yang terang-terang mahu menguji peluru berpandunya, Taepodong-2 berkemampuan membawa senjata nuklear diberi tekanan secara diplomatik melalui China dan Jepun.
Ada tiga faktor geopolitik yang membezakan Korea Utara dengan Iran berhubung senjata nuklear. Ia juga mencerminkan kedudukan rantau masing-masing, perbezaan masalah Asia Barat dan Asia Timur.
Pertamanya, Asia Barat adalah rantau perang. Medan pertempuran Israel-Palestin dan Iraq menjadi perhatian AS lebih tertumpu pada Iran berbanding dengan Korea Utara.
Tetapi Asia Timur walaupun menghadapi pelbagai isu belum selesai seperti Taiwan dan Korea Utara sendiri merupakan rantau yang bukan saja aman, tetapi sedang berkembang pesat.
Kedua, Korea Utara ada pelindungnya iaitu China. Tetapi Iran tidak mempunyai sesiapa. Walaupun Rusia ada waktu-waktunya menampilkan diri sebagai pembela tetapi apalah negara bekas kuasa besar itu dengan China.
Berkuasa
Beijing adalah kuasa yang sedang meningkat maju dengan pesat. Tambahan pula hubungan Beijing-Pyongyang masih mempunyai latar belakang ideologi yang kuat. Republik Rakyat China dan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) masih mempunyai pertalian fahaman melalui hubungan antara Parti Komunis China dan Parti pekerja Korea yang berkuasa.
Sedangkan hubungan Republik Islam Iran dan Persekutuan Rusia tidak mempunyai sebarang hubungan di luar politik antara dua negara berdaulat. Ditambah pula, Moscow tidak sepesat berkembang dan bertambah pengaruh berbanding Beijing.
Faktor ketiga ialah sifat Islam yang ada pada Iran. Apabila Islam dikaitkan dengan keganasan melalui rangkaian Al-Qaeda, maka cabaran dari Teheran dilihat lebih membimbangkan. Sedangkan Korea Utara mewakili fahaman komunisme yang telah basi dan ketinggalan zaman.
Walaupun dari segi gerakan kiri dalam erti kata yang luas meliputi demokrasi sosial, dan fahaman anti globalisasi, maka kelihatan terdapat kebangkitan sejagat, iaitu daripada pengaruh Maois di Nepal hinggalah kepada parti-parti kiri yang menang di Amerika Latin.
Sememangnya kedua-dua fahaman ini, Islam dan kiri merupakan pencabar serta pesaing kepada Barat. Tetapi fokus usaha penundukan Barat adalah kepada golongan yang berasaskan kepada agama.
Tetapi ini tidaklah bermakna dunia boleh dilihat daripada tiga fahaman yang bertentangan iaitu antara Barat, Islam dan kiri. Dalam Barat juga mempunyai pertentangannya sendiri, iaitu di dalamnya juga ada aliran kiri. Umpamanya parti-parti kiri di Eropah yang memenangi beberapa kerajaan di sana adalah sebahagian daripada Barat, tetapi mereka menolak fahaman neo-konservatif yang kini mencorak dunia melalui Bush.
Begitu juga wajah Islam juga beraneka. Mereka tidak boleh dipandang dalam bentuk Iran atau Al-Qaeda semata-mata. Keduaduanya, Al-Qaeda dan Teheran adalah bertentangan. Begitu juga dengan Hamas dan Somalia.
Maka Korea Utara juga tidak dipandang sebagai mewakili negara-negara komunis yang kini hanya tinggal empat: China, Vietnam, Cuba dan Laos.
Apa yang Korea Utara lakukan dan sokongan jelas dari China perlu dilihat dengan imbangan kepada apa yang dilakukan oleh Jepun dan AS.
Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi menziarah makam pahlawan tentera yang menandakan pengiktirafannya kepada pejuang Perang Dunia Kedua. Sesuatu yang tidak boleh diterima oleh Korea, baik Selatan mahupun Utara dan China.
Walaupun ia simbolik tetapi bibit-bibit kebimbangan adalah terhadap Jepun dan lebih jauh lagi ialah AS.
Banyak pihak menyuarakan pandangan supaya China dan Jepun melupakan perkara-perkara lalu seperti yang dilakukan oleh Jerman dan Perancis hingga berjaya mewujudkan Kesatuan Eropah (EU). Bagi pendukung gagasan Asia Timur, mereka juga mengharapkan persefahaman China-Jepun supaya rantau ini lebih mudah berkembang.
Justeru, kalau hendak dibuat perbandingan adalah lebih baik menyamakan atau membezakan antara Eropah Barat dan Asia Timur. Negara Axis di Eropah semasa Perang Dunia Kedua ialah Jerman. Negara inilah terbahagi dua. Percaturan semasa perang Dingin adalah antara AS dan Kesatuan Soviet yang menguasai Jerman Timur.
Kini Eropah Barat tidak menanggung sebarang konflik. Sebaliknya di Asia Timur, yang berpecah dua bukannya Jepun sebagai negara Axis tetapi Korea. Bila mengambil kira adanya Taiwan, China juga berpecah dua.
Kecurigaan terus wujud di Asia Timur tetapi sudah hilang di Eropah Barat. Perbezaan ini bertambah jelas dengan tindak-tanduk Jerman melakukan banyak perkara bagi memulihkan keyakinan negara-negara yang pernah diserang dan diduduki.
Antaranya ialah memberi kedudukan istimewa kepada Yahudi melalui peringatan terhadap mangsa Holocaust serta sokongan kepada penubuhan Israel.
Walaupun hakikatnya mereka yang menjadi mangsa Nazi bukan saja Yahudi tetapi keistimewaan kaum itu ketara sebagai penebusan ‘dosa’ negara Jerman.
Mangsa
Untuk berapa lama Jerman terbahagi dua dengan banyak wilayahnya terlepas kepada Poland selepas kekalahannya itu. Hanya selepas kejatuhan Soviet barulah Jerman dapat bersatu kembali. Tetapi wilayah yang terlepas ke Poland hilang selamanya.
Perkara seumpama ini tidak berlaku di Asia Timur. Yang menjadi mangsa paling besar Perang Dunia Kedua di Asia ialah bangsa Korea dan China. Tetapi ketika mana Jepun dapat bangkit semula selepas perang, bukan saja sebagai negara bersatu tetapi juga negara maju.
Tidak seperti Jerman, Jepun tidak terbahagi. Sebaliknya yang terus terbahagi ialah Korea dan China. Malah setelah komunisme dunia tumbang, China dan Korea Utara kekal menjadi komunis.
Jelas dalam Perang Dingin, AS menjadikan Eropah barat sebagai benteng kepada sebarang kemaraan komunis Soviet. Sementara Jepun dan Korea Selatan pula dijadikan benteng kepada sebarang kemaraan komunis China.
Setelah kejatuhan Soviet, AS sudah tidak menghadapi sebarang cabaran dari Eropah. Tetapi China tetap merupakan cabaran, malah dengan perubahan sistem ekonomi negara itu, China bertambah terserlah sebagai pencabar AS.
Justeru isu Korea Utara dan nuklear berkait rapat dengan persaingan AS-China. Selagi China tidak berasa selamat apabila berdepan dengan AS yang berada di Korea Selatan, Jepun dan Taiwan, maka Korea Utara akan menjadi perisai China.
Dengan kejatuhan Soviet, AS bertindak mendapatkan tapak di Asia Tengah untuk seolah-olah mengepung China.
Bukan saja AS secara tidak langsung menggalakkan perjuangan pemisahan Tibet dan Xinjiang, tetapi turut mendapatkan pangkalan negara-negara di Asia Tengah.
Kemasukan AS ke Afghanistan membolehkannya mendapatkan tapak berharga di Asia Tengah. Dari situ ia melebarkan pengaruh ke negara-negara bekas Soviet seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan.
Tetapi China tidak duduk diam. Dalam hal ini ia mempunyai kepentingan sama dengan Rusia yang bimbang terhadap kehadiran AS. Maka pada 15 Jun lalu, negara-negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang dianggotai oleh Rusia, China, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan bersidang. SCO dinamakan oleh pemerhati sebagai NATO Timur, seolah-olah satu pakatan bagi menghalang pengaruh AS.
Justeru melihat susunan-susunan strategik geopolitik dapat ditimbangkan bahawa dasar dan pendekatan yang dilakukan oleh AS terhadap Korea Utara dan Iran bukan aras prinsip keselamatan dunia daripada ancaman senjata nuklear.
Prinsip-prinsip itu hanyalah alasan yang dikemukakan dalam hujah-hujah diplomatik. Tetapi akhirnya apa yang diambil kira ialah pertimbangan imbangan kuasa dalam bentuk strategik geopolitik.
Dari Rusia ke China, meliputi Asia Tengah, ia seolah-olah menampilkan pewujudan semula blok Timur merangkaikan pakatan Moscow-Beijing. Mereka ini tidak akan membiarkan Iran dikuasai AS.
Tetapi tidak seperti Korea Utara, Iran merupakan negara penting bagi AS atas dua sebab yang umum sedar: minyak dan keselamatan Israel.
Entiti Zionis ini pula boleh dilihat sebagai satu cagaran bagi menjamin keamanan di Eropah. Maknanya keamanan di Eropah wujud kerana penebusan ‘dosa’ Jerman melalui kewujudan Israel.
Makanya masalah Eropah dan segala peperangan serta kekacauan selama ini berpindah ke Asia Barat melalui kewujudan Israel di atas bumi Palestin.
Harga yang perlu dibayar oleh kewujudan Israel ialah penderitaan rakyat dan negara Palestin.
Maka di sinilah kunci masalahnya. Akibat kegagalan polisi AS dan Eropah terhadap Palestin, harga yang dibayar adalah berupa kewujudan gerakan serangan berani mati; bermula dengan Hizbullah di Lebanon, melarat ke Hamas di Palestin dan menjangkau ke Afghanistan dan akhirnya membawa kepada peristiwa 11 September, di bumi AS.
Akhirnya Iraq menjadi medan pertempuran antara AS dan Al-Qaeda.
Iraq merupakan negara pertama di mana askar Jepun selepas Perang Dunia kedua ditempatkan. Tentu tindakan itu mengundang pandangan serong oleh China dan orang Korea.
Maknanya Jepun sanggup mematuhi kehendak AS dengan mengetepikan sensitiviti China dan Korea sedangkan kedua-dua bangsa ini menjadi mangsa teruk negara matahari terbit itu.
Menderita
Di Eropah, AS tidak akan membenarkan Jerman atau sesiapa yang menyinggungkan perasaan bangsa Yahudi kerana mereka adalah mangsa paling teruk menanggung kezaliman Nazi.
Dalam pada itu Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad mengingatkan bahawa generasi sekarang tidak wajar menanggung dosa generasi orang sebelumnya.
Tidak patut anak-anak Jerman hari ini dipersalahkan kerana perbuatan datuk nenek mereka.
Bagaimanapun, keadaan di Palestin semakin meruncing. Rakyatnya memilih Hamas untuk menjadi parti pemerintah dan Israel melakukan serangan ke atas pertubuhan yang dianggap pengganas.
Ketika Asia Timur bertambah makmur walaupun penderitaan rakyat Korea Utara tidak kelihatan penghujungnya, Asia Barat khususnya rakyat Palestin dan Iraq mengalami zaman susah yang dahsyat.
Sememangnya rantau negara-negara Teluk khususnya Dubai yang terkenal sedang pesat membangun dan menjadi pusat pembangunan baru Asia Barat.
Jadi di satu pihak, Asia Timur sedang berkembang kecuali Korea Utara. Di pihak lagi satu pula, Asia Barat terus menderita kecuali negara-negara Teluk.
Nasib rakyat Korea Utara amat bergantung dengan keputusan yang dibuat di washington, Beijing dan Pyongyang. Begitu juga dengan nasib negara-negara Asia Barat bergantung pada keputusan di Washington, Teheran dan Tel Aviv.
Andai kata, pemimpin-pemimpin di ibu- ibu negara itu memberikan perhatian tertentu kepada rakyat negara-negara itu, keadaan mungkin lebih baik bagi Korea Utara dan Palestin.
Layanan AS berbeza antara Iran dan Korea Utara dan sewajarnya pemimpin-pemimpin ini perlu lebih bertanggungjawab pada nasib berjuta-juta manusia yang bergantung kepada keputusan mereka.