Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Januari 2006
ADA orang berkata, menjadi orang politik tidak boleh pantas kecewa dan kecil hati. Malah tidak boleh patah hati dengan segala macam rintangan yang ditempuh di sepanjang laluan politik untuk menuju ke puncak. Kecewa bermakna kegagalan. Musuh politik sentiasa mencari jalan membuatkan pihak yang satu lagi kecewa dan bosan.
Orang politik juga sentiasa mencuba sekalipun bagi khalayak umum mereka tidak punya harapan untuk berjaya dalam sesuatu perebutan. Demi yang kian jugalah yang dilakukan oleh bekas presiden Peru, Alberto Fujimori yang disingkirkan dan melarikan diri ke Jepun atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan jenayah.
Fujimori yang berdarah Jepun dan dilahirkan di Peru itu mempunyai impian politik yang hebat. Disingkirkan daripada menjadi orang nombor satu Peru tidak mematahkan impian untuk kembali berkuasa di negara tersebut. Sekalipun Fujimori sendiri yang "meletakkan'' jawatan dan terus lari ke Jepun, itu adalah penyingkiran. Kerana itu sesetengah pihak melihat impiannya untuk kembali kepada kedudukan dulu adalah tidak masuk akal.
Ini kerana Fujimori dikehendaki oleh pihak berkuasa Peru atas tuduhan rasuah, melanggar hak asasi manusia dan membunuh. Beliau melarikan diri ke Jepun, negara nenek moyangnya. Dalam pelarian, Fujimori tetap mempunyai penyokong yang tidak kurang hebatnya di Peru. Dari Jepun beliau menyusun strategi untuk bertanding pilihan raya presiden yang akan diadakan April depan.
Tuduhan
Beliau tidak boleh pulang ke Peru kerana mempunyai 21 tuduhan jenayah daripada rasuah hinggalah kepada penubuhan skuad pembunuh untuk menghapuskan musuh-musuh politiknya. Tuduhan itu sangat berat dan sekiranya didapati bersalah Fujimori boleh dipenjara hingga 30 tahun.
Orang lain barangkali tidak berani untuk menghampiri Peru lagi. Tetapi Fujimori mempunyai strategi dengan menggunakan negara jiran yang tidak sehaluan dengan Peru iaitu Chile.
Malah ketegangan baru antara kedua-dua negara itu tidak memungkinkan Chile memberikan ekstradisi kepada Peru untuk membawa balik Fujimori. Sehari sebelum Fujimori ditahan di Santiago, Chile membatalkan rundingan perdagangan bilateral dengan Peru.
Sebelum ini empat warga Peru yang mempunyai hubungan dengan Fujimori ditahan di Chile juga tidak diberikan ekstradisi untuk dibicarakan di Peru. Ini memperlihatkan Chile tidak mudah menyerahkan Fujimori kepada Peru.
Fujimori tidak pernah kecewa untuk kembali berkuasa dan memegang tonggak politik Peru. Kerana itu beliau merancang membuat come back pada pilihan raya presiden April depan. Sebagai langkah awal Fujimori telah melawat Chile. Dengan sebuah pesawat peribadi, beliau terbang ke Santiago, Chile. Nasib tidak baik, beliau ditahan oleh pihak berkuasa Chile dan Peru memohon ekstradisi pada 3 Januari lalu untuk membawa Fujimori pulang ke Peru untuk dibicarakan.
Fujimori yakin beliau tidak akan dilepaskan dengan mudah oleh Chile untuk dibicarakan di Peru. Hubungan tegang antara Chile dan Peru memberikan kelebihan kepada Fujimori untuk terus ditahan di Chile.
Dalam penamaan calon presiden pada 6 Januari lalu, pihak berkuasa Peru menghalang pencalonan Fujimori untuk bertanding bagi kerusi presiden yang pernah didudukinya suatu ketika dulu. Menerusi anak perempuannya, Keiko, hadir di National Electoral Court di Lima atas nama bapanya sebagai calon presiden.
Bagaimanapun pencalonan Fujimori tidak diterima. Harapan untuk memberi saingan kepada calon-calon yang sebenarnya tidak mengatasi pengaruh beliau tidak kesampaian. Bagaimana pun pengaruh bekas presiden itu di Peru masih hebat. Para penyokong Fujimori telah membuat tunjuk perasaan membantah langkah pihak berkuasa menghalang Fujimori daripada turut bertanding.
Kehadiran Keiko bersama-sama ribuan penyokong menggusarkan calon-calon lain yang kebanyakannya musuh politik Fujimori. Pengaruh hebat bekas presiden itu tidak boleh dihapuskan dalam masa lima tahun ketiadaannya di negara itu.
Kali ini barangkali hasrat Fujimori tidak tercapai untuk bertanding dan seterusnya kembali berkuasa di negara itu. Apa lagi beliau meghadapi banyak tuduhan salah guna kuasa.
Hanya inilah satu-satunya cara untuk menghalang kebangkitan semula Fujimori di Peru. Beliau seorang yang hebat dan rakyat melihat jasa-jasa yang ditinggalkan sekalipun rakyat juga tahu strategi politik beliau bukan saja sangat licik malah rejimnya sangat ganas. Dalam kata lain pengaruhnya membolehkan beliau merampas kerusi presiden sekiranya tidak dihalang sejak awal.
Melihat kepada tunjuk perasan yang menggegarkan Lima beberapa hari lalu, para penganalisis politik yakin Fujimori akan memberikan saingan sengit sekiranya beliau berpeluang bertanding. Tetapi sekiranya laluannya terus dihalang, penyokong-penyokong Fujimori tidak akan berdiam diri. Bagi kerajaan, ini satu yang sangat bahaya kerana membuka jalan supaya penjenayah politik kembali berkuasa.
Selepas lima tahun melepaskan jawatan, Fujimori ternyata seorang tokoh politik Peru yang hebat legasinya. Ketokohan dalam kepimpinan dan pelan pembangunan negara terserlah. Semasa Peru di tangan Fujimori, dunia memandang sepi kepada negara ini dan tidak yakin berjaya menarik banyak pelabur luar. Tetapi Peru menjadi sebaliknya apabila berada di tangan Fujimori.
"Orang Peru nostalgia kepada seseorang seperti Fujimori,'' demikian kata Pengarah Institut Pertahanan dan Perundangan, Ernesto de la Jara. "Fujimori memang seorang yang korup. Beliau juga pembunuh dan perompak. Tetapi sekurang-kurangnya beliau juga membina laluan untuk kita.''
Fujimori menduduki kerusi presiden Peru pada 28 Julai 1990 hingga 17 November 2000. Beliau merupakan orang pertama dari Asia Timur yang menjadi pemimpin tertinggi di negara Amerika Latin. Cara Fujimori meletakkan jawatan juga memperlihatkan peribadi seorang strategis. Pada 2000 Fujimori menghadiri persidangan APEC ang diadakan di Brunei. Selepas persidangan itu beliau terus ke Jepun dan meletakkan jawatan semasa di Jepun. Surat peletakan jawatan itu hantar menerusi faksimile menerusi Kedutaan Peru di Tokyo.
Semasa Fujimori menjadi presiden, Peru berada dalam ancaman pengganas, inflasi yang teruk, ketiadaan kemudahan pendidikan, kesihatan untuk rakyat. Cabaran beliau sangat hebat antara tumpuan kepada pembangunan dan juga kestabilan politik akibat daripada kekacauan yang dilakukan oleh pengganas antaranya pengganas fahaman Maoist, Sendero Luminoso atau SL dan Pergerakan Revolusi Tupac Amaru (MRTA).
Fujimori berjaya mematahkan pengaruh pergerakan revolusi malah akan diingat dalam sejarah apabila berjaya menyelamatkan 400 diplomat yang ditahan di kediaman Duta Jepun di Peru pada 17 Disember 1996. Mereka ditahan oleh 14 anggota MRTA.
Kempen
Sekalipun pihak ahli kongres menghalang Fujimori daripada turut bertanding jawatan presiden tetapi penyokong-penyokong menganggap tindakan itu melanggar perlembagaan. Maka mereka menaruh harapan Juri Pilihan raya Kebangsaan Peru (JNE) yang lebih kredibiliti membuat kata putus sama ada menerima kemasukan Fujimori atau sebaliknya. Kerana itulah penyokong-penyokong Fujimori tidak mempedulikan halangan kongres dan mereka terus berkempen untuk Fujimori.
Menghalang Fujimori bertanding tentunya bukan saja kerana 21 tuduhan yang dihadapi oleh bekas presiden itu. Kalau disebabkan rasuah dan salah guna kuasa, presiden Alejandro Toledo juga apa kurangnya? Toledo berdepan dengan tuduhan rasuah tetapi kelebihannya beliau memegang kuasa sedangkan Fujimori memburu kuasa.
Selalunya pemimpin buangan adalah yang hebat. Kerana hebat dan berpengaruh mereka dibuang. Inilah halangan yang akan dihadapi oleh Fujimori untuk mengambil semula kuasanya di Peru.