Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 22 Januari 2006
KEMENANGAN Michele Bachelet sebagai Presiden Chile dialu-alukan di seluruh dunia sebagai satu lagi petanda bahawa manusia sejagat sedang dalam proses memilih kaum wanita sebagai pemimpin politik mereka.
Tanda-tanda dunia sedang menerima kepimpinan wanita diperkukuhkan bukan saja oleh kemenangan Bachelet tetapi juga oleh Ellen Johnson Sirloif yang menang pilihan raya Liberia pada hari yang sama.
Tetapi dari sudut politik, kemenangan Bachelet memberi erti lebih besar terhadap ideologinya. Kemenangan beliau mengukuhkan kedudukan aliran kiri di benua Amerika Latin yang turut menyaksikan sebuah lagi negara iaitu Bolivia yang memilih calon Movimiento al Socialismo, Evo Morales sebagai presiden.
Kemenangan Morales menunjukkan bahawa apa yang gagal dicapai oleh Che Guevara melalui revolusi bersenjata dapat diraih melalui jalan damai demokrasi.
Fenomena gerakan kiri di Amerika Latin dalam era pasca Perang Dingin bermula dengan kemenangan pemimpin kiri, Hugo Chavez bagi jawatan presiden Venezuela. Ini diikuti oleh Luico Gutierez dari Ecuador dan Luiz Inacio Lula la Silva, pemimpin Parti Pekerja di Brazil pada tahun 2002.
Dalam tahun 2004, calon sosialis Nestor Kirchner memenangi jawatan presiden Argentina. Tahun lalu, Tabare Ramon Vazquez Rosas menang pilihan raya Uruguay. Langkah pertama beliau ialah memulihkan hubungan negaranya dengan Cuba. Calon berikutnya yang dijangka akan menambah jalan kiri Amerika Latin ialah Manuel Laor Obrador, Datuk Bandar sosialis Mexico City yang bercita-cita hendak mencabar presiden negaranya.
Namun begitu, parti Bachelet, Parti Sosialis Chile telah memerintah negaranya dalam satu kerajaan campuran kiri-tengah lebih awal lagi iaitu pada tahun 1990 selepas kejatuhan kediktatoran Jeneral Augusto Pinochet.
Semasa kediktatoran Pinochet, Bachelet turut menjadi mangsa. Pada tahun 1975, beliau ditahan, diseksa dan dibuang ke Australia. Pada tahun 1982, beliau layak menjadi doktor bedah dan pada tahun 1995, Bachelet dilantik sebagai jawatankuasa Pusat Parti Sosialis.
Kerajaan kiri Chile pimpinan Ricado Lagos melantik beliau sebagai Menteri Kesihatan pada tahun 2000. Walaupun aliran kiri, Lagos memilih polisi pasaran bebas dan ia menjadikan Chile antara negara memiliki ekonomi paling kuat di benua itu. Pada tahun 2002, beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Dalam ucapan kemenangannya, beliau akan meneruskan polisi Lagos yang dianggap sebagai berjaya dan tidak akan melakukan perubahan radikal.
Kaedah kiri terbaik adalah apa yang ditawarkan oleh parti-parti sosialis yang menang pilihan raya secara demokratik dan mengamalkan polisi ekonomi pasaran bebas dan terbuka. Apa yang rakyat mahukan mungkin nilai kesaksamaan dan keadilan dalam peluang ekonomi di negara masing-masing.
Sementara sistem demokrasi pula akan memastikan kerajaan-kerajaan kiri ini benar-benar memenuhi aspirasi rakyat dan tidak terikat pada ideologi yang tidak berpijak pada bumi nyata. Kemenangan parti-parti kiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Amerika Latin mendapat petunjuk daripada kejayaan Parti Sosialis Chile.
Fenomena politik ini kini tercermin dengan kemenangan Jose Miguel Insulza sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS) dengan mengalahkan calon yang disokong oleh Presiden George W. Bush.
Negara-negara Amerika Latin dengan jelas menolak polisi serantau yang semata-mata untuk memenuhi kepentingan AS. Sebaliknya mereka mencorak cara tersendiri, yang lain daripada kehendak AS.
Untuk itu, Brazil, disokong oleh Argentina dan Venezuela, ketiga-tiga diperintah oleh presiden kiri telah menubuhkan Komuniti Negara-negara Amerika Selatan.
Bagaimanapun, benua ini masih terkebelakang dan menghadapi cabaran ekonomi yang sangat besar. Fahaman kiri menjadi popular kerana desakan ekonomi yang mewujudkan banyak rakyat terpinggir daripada arus pembangunan. Ia ditambah pula dengan penguasaan golongan elit dalam politik dan ekonomi negara yang mewujudkan jurang perbezaan sangat jauh.
Era demokrasi yang menjadi pemangkin kepada kemenangan parti-parti sosialis ini merupakan permulaan bagi aspirasi rakyat diserlahkan melalui parti yang memerintah.
Kedudukan pribumi yang ketinggalan jauh menjadikan keadaan lebih rumit di benua ini. Sejak pendaratan Christopher Columbus dari Sepanyol di Cuba, penduduk pribumi mengalami penaklukan dan penjajahan. Pendatang dari Sepanyol dan Portugis yang menetap di benua ini kemudiannya menolak pemerintahan Sepanyol dan perang pembebasan dilancarkan.
Walaupun Amerika Latin merdeka daripada penjajahnya, iaitu Sepanyol dan Portugis tetapi mereka tidak putus hubungan budaya. Kini mereka tidak bermusuhan dengan Sepanyol atau Portugis, kedua-duanya pernah diperintah oleh diktator tentera dan kini dipimpin oleh presiden sosialis.
Sebaliknya perseteruan Amerika Latin dengan AS adalah sambungan kepada konflik antara Sepanyol dengan Britain dari segi sudut agama. Sepanyol mewakili Katolik yang berkepimpinan Pope, sementara Britain dianggap pengkhianat apabila rajanya membentuk mazhab Anglican. Apabila AS merdeka daripada Britain, ia mewakili dunia Protestan untuk menentang Katolik Sepanyol.
Penentangan AS ke atas Sepanyol di benua Amerika Latin dianggap sebagai peperangan pembebasan dengan memperkenalkan Doktrin Monroe yang menyatakan bahawa Hemisfera Barat iaitu benua Amerika, baik Utara, mahupun Selatan adalah bebas daripada pengaruh Eropah.
Justeru, Sepanyol dan Portugis wajar melepaskan tanah-tanah jajahannya. Kekaguman negara-negara baru Amerika Latin terhadap AS terlihat daripada Chile yang benderanya seakan-akan kuasa besar itu. Tetapi AS juga tidak terlepas daripada budaya Latino. Ini kerana California, New Mexico, Texas dan Florida pernah menjadi sebahagian daripada Amerika Latin.
Di kalangan aktivis kiri AS sendiri, terdapat yang menjadi penyokong Amerika Latin. Che Guevara menjadi ikon dunia adalah atas pengaruh warga AS sendiri. Penulis terkemuka AS, Ernest Hemingway juga pendukung Amerika Latin. Bachelet sendiri mendapat pengaruh daripada gerakan kiri tahun 60-an di AS. Kebangkitan pelajar menentang perang Vietnam dan lirik lagu penyanyi AS, Joan Baez dan Bob Dylan membentuk idealisme beliau.
Idealisme pelajar 60-an yang memberi inspirasi kepada anak-anak muda terpelajar di seluruh dunia datangnya dari AS. Kini generasi itulah yang sampai kepada puncak kekuasaan di negara masing-masing.
Apa yang berlaku di Amerika Latin hari ini adalah cermin kepada AS sendiri. Kedua-duanya akan saling mempengaruhi. Negara-negara Amerika Latin mahu bebas dan makmur setanding dengan AS sendiri.
Kalau pada zaman Perang Dingin, Washington bimbang terhadap pengaruh Moscow di belakang dapurnya. Tetapi faktor itu sudah tidak timbul. Demokrasi dilaksanakan di benua itu.
Washington pula perlu menerima aspirasi penduduk benua itu, yang mahukan keadilan dan kesejahteraan ekonomi, di samping kedaulatan politik. Sistem dua aliran yang terdapat di Eropah sedikit demi sedikit mula menjadi budaya politik di benua itu.