Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 30 Januari 2006
Di kalangan intelektual politik di Amerika Syarikat (AS), termasuk yang berada di Harvard, khususnya daripada kalangan aliran konservatif yang berfikir untuk parti Republican, terdapat gambaran bahawa Islam merupakan agama antidemokrasi.
Malah mereka mengategorikan Islam politik (political Islam) sebagai aliran pelampau kanan, digolongkan bersama dengan fasisme yang tidak boleh hidup dalam dunia demokrasi.
Hujah mereka mudah. Di seluruh dunia Islam, dari Maghribi hingga ke Malaysia, tidak ada demokrasi sistem dua parti.
Hakikat bahawa banyak negara Islam melaksanakan proses pilihan raya dipandang serong dengan mengutarakan pelbagai hujah bahawa apa yang berlaku bukanlah demokrasi sebenar.
Malah Malaysia yang mengamalkan demokrasi sejak negara mencapai kemerdekaan tidak begitu dibanggakan Barat. Maka diutarakan betapa negara ini memiliki pelbagai peraturan dan undang-undang yang bagi mereka menghalang pewujudan demokrasi sebenar.
Indonesia yang mempunyai pilihan raya langsung bagi pemilihan presiden juga tidak begitu dihargai barat, kerana sistem di Indonesia tidak memperlihatkan bentuk dua parti, pembangkang dan kerajaan.
Apatah lagi dengan Iran. Penolakan taraf sah bagi banyak calon presiden dalam pilihan rayanya menyebabkan sistem di Republik Islam itu dipandang tidak demokratik.
Turki, sebuah negara sekular sekutu AS yang mengamalkan sistem pilihan raya juga dianggap belum benar-benar demokratik kerana pengaruh besar tentera dan soal hak asasi Kurdis hingga ia menjadi alasan bagi Kesatuan Eropah (EU) menolak hasrat Ankara menjadi anggotanya.
Bagi golongan intelektual Barat ini, negara Islam yang benar-benar demokratik adalah Afghanistan dan Iraq kerana kedua-duanya berada di bawah pemantauan mereka dalam melaksanakan proses pilihan raya.
Maka tidak hairanlah seringkali apabila timbul isu palestin, maka sokongan diberi kepada Israel kerana ia dianggap satu-satunya entiti demokratik di Asia barat, kerana sifat Israel yang demokratik, maka wajib AS dan Barat mempertahankan. Israel dilihat sebagai kubu demokrasi.
Sebaliknya Palestin yang dipandang sebagai salah sebuah entiti Arab tidak berupaya mengamalkan sistem demokrasi. Jika Palestin dibenarkan wujud sebagai negara merdeka, ia tidak akan menjadi demokratik kerana sistemnya mengikuti apa yang berlaku di lain-lain negara Arab khususnya Mesir, Syria dan Iraq zaman Saddam Hussein.
Lebih-lebih lagi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Al-Fatah sebagai organisasi utama tidak mengamalkan sistem demokrasi dan mempunyai fahaman seperti lain-lain negara radikal Arab yang mendapat ilham daripada nasionalisme Gamal Nasser di Mesir.
Demokrasi
Allahyarham Yasser Arafat yang menjadi pemimpin Palestin begitu lama dikategorikan sama dengan diktator Arab lain pada zamannya seperti Gamal Nasser, Hafez Assad (Syria), Saddam Hussein, Muammar Gaddafi (Libya) dan Jaafar Numeiri (Sudan).
Maka hujahnya, dunia tidak patut menyokong Palestin kerana ia tidak demokratik.
Apabila sebuah negara Arab yang pernah nyaris-nyaris menjadi sebahagian daripada Perancis iaitu Algeria memperkenalkan demokrasi melalui langkah awal mengadakan pilihan raya bandaran, hipokrasi Barat terhadap demokrasi jelas terbayang.
Dalam pilihan raya itu, parti berhaluan Islam, Barisan Penyelamat Islam (FIS) menang dan rejim tentera Algiers ketika itu bertindak menghalang pengiktirafannya.
Barat menyokong tindakan Algiers menghalang demokrasi. Ini kerana Barat tidak dapat menerima kemenangan FIS. Hujahnya ialah walaupun rakyat Algeria menyokong FIS tetapi pemilihannya mesti ditolak kerana parti itu dikatakan akan menamatkan demokrasi di Algeria.
Tetapi hakikat bahawa rejim tentera Algiers yang tidak demokratik kerana membatalkan pilihan raya itu tidak diambil kira dengan sewajarnya.
Senario ini berulang dengan kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin baru-baru ini. AS tidak mahu mengiktiraf kemenangan Hamas walaupun secara demokrasi dengan jelas rakyat memilih pertubuhan itu.
AS dan Israel hanya mahu berunding dengan Fatah walaupun majoriti rakyat tidak memilih mereka. Demokrasi apa yang diinginkan Barat kalau tidak hipokrasi? Jika rakyat Palestin memilih Fatah, maka barulah demokrasi di Palestin diterima. Sedangkan hakikat demokrasi adalah mengiktiraf pilihan rakyat.
Hujah pertama AS dan Israel dalam menolak kemenangan Hamas ialah parti itu tidak mengiktiraf Israel, malah mahu menghancurkannya.
Tetapi hakikat bahawa negara Palestin sudah lama dihancurkan oleh rejim tel Aviv atas sokongan AS tidak diambil kira. Hamas baru berhasrat memusnahkan Israel tetapi rejim Tel Aviv telah lama menghancurkan Palestin.
Sementara rejim Tel Aviv sejak penubuhannya tidak pernah mahu mengiktiraf negara Palestin. Bagaimana Hamas mahu mengiktiraf Israel yang tidak pernah mengiktiraf Palestin?
Hujah kedua AS dan Israel ialah Hamas merupakan pertubuhan pengganas. Sedangkan Parti Buruh atau Parti Likud yang secara bergantian menang pilihan raya Israel tidak perlu menjadi pengganas kerana keganasan dilakukan oleh tentera Israel.
Hamas perlu dilihat dalam dua bentuk. Pertama, sebagai badan politik yang menyertai pilihan raya dan membentuk kerajaan. Kedua, sayap bersenjata yang melakukan tindakan ketenteraan. Sebagai negara, Israel mampu memiliki angkatan tenteranya. Tetapi dalam keadaan sedang berjuang, sudah tentu Hamas memerlukan sayap bersenjatanya untuk mempertahankan negara.
Maka tidak hairanlah jika Fatah melakukan bantahan terhadap kemenangan Hamas itu secara kekerasan dengan menceroboh Parlimen. Tindakan mereka pasti akan disokong oleh AS dan Israel. Ia menunjukkan demokrasi hipokrasi Barat.