Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 19 Februari 2006
Empat hari menutup mulut dan menyembunyikan diri daripada wartawan. Empat hari juga dibiarkan dunia tertanyatanya tentang insiden "tertembak" semasa berburu di sebuah ladang di Texas baru-baru ini.
Sebenarnya empat hari terlalu lama bagi personaliti yang sentiasa dikejar oleh lensa kamera wartawan menyembunyikan diri atau mengunci mulutnya.
Pengacara program bual bicara popular, David Letterman mempersenda dengan berkata, “Selamat Hari Valentine. Berita baik. Berita baik hari ini... hingga setakat ini Dick Cheney tidak menembak sesiapa.”
Begitulah David Letterman mempersendakan orang kanan Presiden Bush, Dick Cheney. Cheney adalah Naib Presiden AS dan merupakan perancang penting dalam serangan AS ke atas Iraq.
Kata Letterman lagi, “Dick Cheney dan rakannya berburu di Texas. Dia tertembak rakannya. Mereka hilang.Dilaporkan mereka sedang bersembunyi di kawasan pergunungan berhampiran Pakistan.’’
Tidak cukup dengan Letterman yang sangat sinikal dan melukakan itu, Cheney juga menjadi sasaran pengacara Jay Leno dalam program The Tonight Show. Program yang disiarkan di NBC ini antara lain Jay Leno berkata, “Sekarang insiden ini dilihat dari aspek humor, tapi ia juga satu isu serius. Ibu dan bapa yang menonton program ini, jangan membenarkan anak-anak anda pergi berburu dengan Naib Presiden.’’
Kebebasan
Mungkin ada yang menganggap perlakuan Letterman dan Jay Leno itu sebagai kurang ajar kerana mempersendakan pemimpin negara. Tetapi mungkin ada pula yang berkata, kebebasan “media’’ yang diberikan kepada kedua-dua personaliti televisyen itu jarang wujud di negara lain di luar AS.
Tetapi isunya rakyat AS sendiri sudah mulai menyampah dengan Cheney yang banyak berbohong hingga mendorong Presiden Bush menyerang Iraq.
Akhirnya Cheney bersuara juga sekalipun cuba memperemehkan isu “tertembak’’ itu sebagai tidak ada apa-apa.
Dalam laporan khas yang disiarkan menerusi Fox News, temu bual eksklusif dengan Cheney telah mencatat rating penonton sebanyak 2.1 juta orang. Sementara Nielsen Media Research mengeluarkan statistik bahawa 513,000 penonton berusia antara 25 hingga 54 tahun.
Insiden tertembak semasa berburu bukanlah luar biasa. Tetapi apabila yang menembak itu seorang Naib Presiden AS yang perangainya tidak disenangi rakyat, insiden ini memalitkan lumpur kepada Rumah Putih.
Tambahan pula kelihatan ada pihak yang mahu melindungi Cheney sekali gus memberi petunjuk ada sesuatu yang hendak disembunyikan daripada umum. Sebagai orang berkuasa, Cheney menggunakan kuasa untuk berdiam diri dan menganggap insiden itu suatu yang kecil. Tambahan pula mangsa, Harry Whittington seorang peguam yang berusia 78 tahun hanya cedera.
Daripada celuparnya mulut Letterman yang membuat jenaka mengenai Cheney, ini satu petunjuk kebencian rakyat terhadap Cheney. Keadaan menjadi bertambah hangat apabila Cheney enggan memohon maaf di atas kejadian tersebut.
Ini sama dengan sikap Cheney yang enggan mengakui kegagalannya yang beria-ia menuduh Iraq memiliki senjata nuklear. Sebagai orang kanan Bush, Cheney sememangnya layak dipercayai.
Tapi pada masa yang sama dia telah mencetuskan kontroversi yang bukan kecil. Misalnya hingga kini Bush masih gagal menemui loji senjata nuklear Iraq sekalipun telah memberikan kemusnahan kemanusiaan dan harta benda.
Cheney adalah manusia yang selalu dihinggapi kontroversi. Bayangkan insiden tertembak rakan ini pun menjadi isu besar dan rata-rata menjurus kepada keburukan Cheney sendiri.
Belumpun reda isu kebocoran rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) kepada pihak media, Cheney dilanda kontroversi lagi. Kerana itu apa saja yang melibatkan Cheney akan memberi masalah kepada Rumah Putih.
Bush dilihat dibayangi Cheney yang dianggap sebagai orang yang mampu membantu Bush dalam pentadbiran negara. Bagaimanapun banyak yang dilakukan jarang berhasil dan menyumbang kepada penghormatan rakyat kepada Bush.
Hiburan
Cheney adalah satu-satunya pemimpin yang menyokong kebebasan yang luas kepada soal pengintipan. Dia menggunakan alasan untuk memerangi keganasan dan mendesak supaya dibolehkan mengintip negara lain.
Banyak penganalisis politik percaya kontroversi terbaru ini akan lenyap begitu saja. Cheney semacam diberi perlindungan, kerana itu dia berjaya menyembunyikan diri selama empat hari daripada pihak media.
Kepada kalangan pemburu, insiden Cheney tertembak rakan ini menjadi isu besar. Ini kerana mereka tidak dapat membayangkan bagaimana insiden itu berlaku. Sangat luar biasa untuk mempercayainya.
Sebenarnya apakah yang terlalu besar daripada insiden tertembak ini hingga memaksa Cheney mengarahkan tuan punya ladang menutup mulut?
Adakah di sebalik “kemalangan" ini ada perkara-perkara lain yang cuba disembunyikan daripada umum?
Jangan lupa Cheney juga antara pemimpin AS yang lantang mengerahkan bala tentera dan CIA menjejaki Osama Bin Ladin. Tetapi sampai kini Osama masih belum berjaya ditangkap.
Lalu tepat sangatlah apabila Letterman buat lawak mengenai Cheney, “Kita masih gagal mendapatkan Osama Bin Ladin tetapi kita mendapat peguam yang berusia 78 tahun.’’
Demikianlah hinanya seorang pemimpin kanan AS yang menjadi bahan lawak dan dipersembahkan di televisyen sebagai hiburan rakyat jelata.
Maka kita boleh bertanya, di manakah kuasa yang ada kepada seorang Naib Presiden apabila orang biasa seperti Letterman dan Jay Leno tanpa rasa gerun kepadanya?