Jalan selamat untuk Iran

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 5 Februari 2006


TERDAPAT dua senario ekstrem daripada ketegangan yang berlaku antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) pada waktu ini. Pertama, Iran beralah dan menghentikan program nuklearnya.

Kedua, AS melakukan serangan dan memusnahkan loji nuklear.

Kedua-dua senario ini berakhir dengan kemusnahan loji nuklear Iran.

Tetapi proses dan kesannya akan berbeza Andai kata, Iran beralah, mesti ada sebabnya. Sama ada ia beralah kerana tidak tahan dengan tekanan AS, ataupun mendapat habuan daripada apa yang dikehendaki daripada Barat.

Itu dari sudut luar. Dalam negeri, politik dalaman negara itu juga perlu diperhitungkan. Mesti terdapat perkembangan dalam negeri yang mendorong presidennya, Mahmoud Ahmadinejad melakukan sesuatu tindakan dan polisi.

Walaupun beliau seorang presiden tetapi dalam apa jua tindakan, beliau terpaksa bergantung kepada sokongan politik dalam negara. Baik daripada ulama yang berpengaruh, tentera, dan rakyat seluruhnya.

Dari segi ideologi, Mahmoud yang disifatkan oleh media Barat sebagai fundamentalis garis keras mempunyai pendirian jelas, iaitu mempertahankan hak Iran memiliki senjata bagi mempertahankan diri. Tetapi sikap ini sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan ideologi fundamentalis garis keras Islam.

Sikap mempertahankan hak mempersenjatakan diri adalah universal yang dimiliki oleh semua kerajaan berdaulat. Bukan saja Iran. Ia dipegang juga oleh Korea Utara, China, malah AS. Untuk menyatakan bahawa pendirian Mahmoud itu adalah kerana ideologi juga kurang tepat.

Apabila disebut fundamentalis bermaksud, segala dasar negara hendak diasaskan kepada fahaman yang berlandaskan agama, melalui tafsiran yang disepakati oleh komuniti berkenaan.

Justeru, adakah usaha membangunkan nuklear merupakan sebahagian daripada fahaman fundamentalis Islam? Mahmoud sendiri dalam satu ucapannya menyatakan bahawa Islam tidak membenarkan penggunaan senjata nuklear kerana ia memusnahkan manusia yang tidak bersalah, haiwan dan harta benda. Islam melarangnya.

Maka beliau menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Iran berhubung loji nuklear adalah untuk keperluan tenaga.

Tetapi pastinya, AS tidak mempercayainya. Ini kerana pertama, dalam politik antarabangsa, taktik dan strategi akan mengatasi apa saja ideologi, walaupun begitu muluk. Manusia menggunakan hujah agama dan ideologi untuk matlamat politik - ia berlaku dalam sejarah dan sudah menjadi sebahagian daripada tingkah laku manusia.

Di pihak Iran pula, Mahmoud dan pihak berkuasa di Iran faham, bahawa AS mempercayai apa yang dikatakan oleh Iran.

Apa yang berlaku pada Iran dan AS ialah persaingan diplomatik dengan meletakkan keutamaan pada kepentingan negara masing-masing melalui cara tarik tali yang mereka pilih.

Justeru, kalau hendak disebut bahawa ideologi yang dipegang oleh Mahmoud dalam soal ini adalah nasionalisme Iran yang berasaskan pada kaedah keras warisan daripada Revolusi Islam Iran tahun 1979 seperti digariskan oleh Allahyarham Ayatollah Khomeini.

Maka cara Iran menghadapi AS perlu dilihat dalam konteks hubungannya dengan kuasa besar itu dari zaman Shah Reza Pahlavi hingga membawa kepada revolusi tersebut. Iran tidak seperti negara lain yang boleh menerima AS kerana Washington sendiri melayan Teheran berbeza.

Dari sudut lain, pertembungan AS dengan Iran adalah seperti buku dengan ruas.

Kalau Republik Islam Iran lahir daripada revolusi, maka begitu juga dengan AS yang ditubuhkan pada tahun 1776.

AS adalah sebuah negara fundamentalis juga, lebih-lebih lagi yang memerintah negara itu adalah Parti Republican di mana George W. Bush merupakan daripada kalangan mereka.

Fundamentalisme ideologi Amerika juga mempunyai landasan agama, iaitu Kristian Protestan kemudian ia bercampur dengan sekularisme, liberalisme, konservatisme membentuk satu fahaman tersendiri yang mahu diterapkan ke seluruh dunia.

Di atas fahaman humanisme, ideologi Amerika ini juga tidak membenarkan pembunuhan ramai melalui bom. Kalau Bush menentang pengguguran janin, atas nama agama, maka sudah tentu beliau juga tidak dapat menerima sebarang pembunuhan yang melibatkan orang awam tidak bersalah.

Itu seharusnya menjadi fahaman politik Amerika. Maka wajarlah bagi kuasa besar itu menghalang mana-mana pihak untuk memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Washington menceroboh Iraq kerana WMD. Usaha kerasnya menghalang pembangunan nuklear di Iran dan Korea Utara adalah atas sebab ini.

Tetapi dunia tidak dapat mempercayai perkara ini. Fahaman kemanusiaan diatasi oleh keperluan politik. AS adalah negara yang pertama membangun bom nuklear. Ia juga yang satu-satunya menggunakannya hingga musnah Hiroshima dan Nagasaki.

Banyak pihak dalam AS yang menyesali perbuatan berkenaan tetapi fahaman arus perdana di negara itu menerimanya. Senjata nuklear hanya wajar dimiliki oleh negara yang boleh dikawalnya. Maka AS, Israel dan sekutu-sekutunya dibenarkan memilikinya kerana mereka adalah sahabat Washington dan dapat dipercayai.

Tetapi Iran tidak dapat dipercayai, maka Bush menegaskan dalam ucapan negaranya, State of the Union address Selasa lalu bahawa dunia tidak dapat menerima bahawa Iran patut memiliki senjata nuklear. Siapakah dunia? Apabila disebut dunia, ia bermaksud AS kerana Washington menganggap diri mereka sebagai ketua.

Mungkin banyak negara yang menerima AS sebagai ketua dunia. Tetapi tidak Iran. Bukan saja sebagai Republik Islam, Teheran tidak akan mengiktiraf lain-lain kuasa mengatasinya, walaupun ia sebenarnya lemah tetapi dalam sejarah bangsa Parsi, mereka tidak mengiktiraf kekuasaan tamadun lain ke atas mereka.

Dari segi sejarah budaya, bangsa Parsi menentang Yunani, Rom, Arab dan Mongol. Walaupun mereka lemah dan pernah dikalahkan tetapi bangsa Parsi tidak mahu tunduk pada sesiapa.

Mungkin keberanian Mahmoud ada sebabnya. Terdapat penganalisis yang menyebut kemungkinan punca keberanian ini adalah kesedarannya bahawa AS berada dalam kedudukan lemah. Dengan masalah di Iraq, Washington dianggap tidak berupaya untuk melakukan serangan baru.

Keberanian Mahmoud bukan sangat diperlihatkan melalui sikapnya berhubung isu nuklear ini tetapi juga kenyataan-kenyataan beliau mengenai Israel dan Yahudi.

Kenyataannya bahawa Israel patut dimusnahkan dan diwujudkan di Eropah, serta menafikan berlakunya Holocaust menyentak sensitiviti Barat - baik di kalangan rejim Tel Aviv mahupun di AS dan Eropah.

Ada penganalisis melihat bahawa kenyataan itu menunjukkan bahawa Mahmoud kurang matang. Tetapi apa saja tindakan beliau, ia tidak dilakukan sendirian, mestinya beliau mendapat dukungan daripada kuasa-kuasa politik di negara itu.

Malah beliau dapat dilihat sebagai sengaja menimbulkan kemarahan Barat. Maka Barat pun faham, mereka juga menunjukkan kemarahan. Mungkinkah kenyataan beliau ini mendorong kepada sikap keras AS terhadapnya?

Dalam banyak-banyak aliran politik di AS, Bush mewakili garis keras. Fahamannya, neo-konservatisme yang mendorong kepada pelancaran perang ke atas Afghanistan dan Iraq bukanlah dipegang oleh Bush sebagai seorang Presiden. Beliau hanya mewakili suatu kumpulan kolektif yang bersifat fundamentalis terhadap pegangan ini.

Sudah tentu pelbagai pakar dan pemikir politik AS membuat kajian tentang Mahmoud dan kenyataan-kenyataannya itu. Perlu diingat bahawa proses politik dan diplomasi AS khususnya mengenai Asia Barat mempunyai pelbagai lapisan dimensi. Di permukaan, yang kelihatan hanya politik, ekonomi dan ketenteraan. Tetapi di sebaliknya terdapat perisikan, agensi pemikir dan faktor budaya.

Ada pertimbangan bahawa Mahmoud bertindak sedemikian bukan kerana melihat AS lemah, sebaliknya ia menunjukkan kedudukan Presiden itu, serta rejim agama di Teheran dalam kedudukan goyah. Maka bermain politik dengan AS akan membawa penyatuan serta sokongan rakyat Iran kepada Mahmoud.

Sememangnya Mahmoud menang pilihan raya presiden Iran tahun lalu dengan sokongan besar rakyatnya. Kemenangannya mengejutkan AS kerana mereka berkira bahawa rakyat Iran sudah jemu dengan rejim agama.

Kalau seseorang berjalan di Teheran dan berjaya berbual dengan sesiapa yang bercakap bahasa Inggeris, umumnya mereka menyokong reformis dan menolak rejim fundamentalis. Iran sedang berpecah. Di bandar, golongan elit dan intelektual menentang rejim agama. Golongan luar bandar dan susah memilih Mahmoud.

AS faham keadaan ini dan mereka melihat Mahmoud lemah. Maka Bush tanpa teragak-agak menyatakan bahawa AS mahu rakyat Iran hidup bebas.

Dari segi budaya, rakyat Iran mempunyai hubungan lebih rapat dengan AS berbanding dengan lain-lain bangsa di Asia Barat.

Shah Iran telah membentuk asas budaya di mana rakyat Iran meletakkan kekaguman dan kecenderungan terhadap AS.

Walaupun rakyat Iran menyokong Khomeini semasa revolusi dahulu, generasi baru sudah muncul dan mereka juga mahu mengecapi nikmat budaya moden yang dicipta oleh Amerika. Maka semasa kemunculan gerakan reformis, sudah timbul kata-kata bahawa revolusi kedua sedang berlaku.

Dalam keadaan ini, Bush berani menyatakan bahawa rakyat Iran menyebelahinya dan bukannya Mahmoud. Jika melihat sudut ini, maka yang lemah bukannya Bush tetapi Mahmoud.

Sama ada Bush atau Mahmoud yang lemah, wajar juga dikaitkan dengan apa yang berlaku di Iraq.

Kalau Bush melihat rakyat Iran menyebelahinya, maka pandangan itu jugalah yang dilemparkan kepada rakyat Iraq.

Bagi Washington, Iraq menjadi contoh penting kepada Iran. Dalam perang yang sedang berlaku sekarang, golongan Syiah, yang semazhab dengan Iran berada di pihak AS.

Buat masa ini pula, perbicaraan Saddam Hussein sedang berlangsung dan Teheran berada di pihak AS kerana bekas diktator itu merupakan musuh kuat Republik Islam.

Tetapi Iran seolah-olah sedang melalui proses yang sama dengan Iraq dalam konfrontasi dengan AS. Ia dikaitkan dengan WMD dan sekali lagi berhubung pula dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Tanda-tanda usaha perubahan rejim sudah disebut oleh Bush melalui hasrat kuasa besar itu mahu rakyat Iran bebas.

Adakah AS akan menceroboh Iran sepert yang dilakukannya ke atas Iraq? Jawapannya tidak.

Washington mahu menjatuhkan Republik Islam tetapi bukan melalui tentera luar. Kenyataan ini pernah dikeluarkan lama dahulu.

Kalau berlaku pun serangan untuk memusnahkan loji nuklear, ia boleh dilakukan oleh Israel, tidak perlu AS. Israel mempunyai sebab untuk memusnahkan loji itu kerana ia mengancam keselamatannya. Lagipun kenyataan Mahmoud hanya mengukuhkan hujah rejim Tel Aviv.

Maka serangan seperti yang pernah dilakukan ke atas Ossirak di Iraq pada tahun 1982 boleh dilakukan semula.

AS mahu perubahan berlaku di Iran, tetapi dari dalam. Mahmoud seolah-olah memberi mesej kepada Bush bahawa jika AS menyerang Iran, apa yang dihadapi tenteranya akan lebih dahsyat daripada apa yang berlaku di Iraq.

Tentera revolusi Iran, Basiji lebih tersusun daripada penentang-penentang AS di Iraq yang dikaitkan dengan Al-Qaeda itu.

Sebaliknya mungkinkah serangan AS ke atas Pakistan pula, walaupun tidak menepati sasaran dan membunuh orang awam adalah semata-mata sebagai mesej kepada Mahmoud?

Timbul satu persoalan, adakah apa yang dihadapi oleh Iran kini mempunyai kaitan dengan kemenangan Hamas di Palestin dan penyiaran kartun menghina Nabi di Eropah? Atau ia hanya kebetulan.