Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 7 Februari 2006
Sudah seolah-olah diterima umum bahawa masa depan dunia berada pada China memandangkan ia merupakan negara paling pesat membangun dan memiliki penduduk paling banyak.
Hakikat bahawa Republik Rakyat China mencapai pertumbuhan tertinggi di dunia dan menguasai pelbagai bidang pasaran meletakkannya sebagai bakal kuasa baru dunia yang akan memaksa semua negara lain menyesuaikan diri dengannya.
Setiap tahun, terdapat laporan betapa China menguasai sesuatu industri dan mengalahkan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah.
Kekuatan ekonomi China yang sedang pesat berkembang itu dikukuhkan dengan pengaruh politiknya semakin besar dan imejnya dalam bentuk-bentuk lain seperti penerokaan angkasa lepas.
AS dilihat mempunyai kebimbangan terhadap kebangkitan China ini dan pelbagai usaha dilakukan oleh kuasa besar itu supaya kekuatan negara itu tidak akan menyainginya.
Terbaru ialah apabila Washington mengambil berat terhadap perbelanjaan ketenteraan China supaya tidak menjadi besar dan boleh mencetuskan perlumbaan senjata di rantau Asia Timur.
Kepesatan perkembangan China ini juga membawa kepada peningkatan kedudukan pengaruh budayanya, lebih-lebih lagi bahasanya yang ditampilkan sebagai yang paling banyak digunakan oleh manusia.
Kebimbangan dan kekaguman terhadap kebangkitan China ini mengingatkan kembali suasana yang serupa ketika Barat memerhatikan kepesatan ekonomi Jepun pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Malah mereka mula bimbang bahawa Jepun akan muncul sebagai kuasa dunia baru di kalangan negara-negara demokratik dan mengamalkan pasaran bebas.
Kini Jepun tidak lagi dibimbangi akan mengatasi Barat. Negara itu sudah lama membeku dan kebimbangan yang muncul pada tahun-tahun 60-an dan 70-an yang walaupun diluahkan dalam banyak buku ternyata hanya andaian.
Kini kebangkitan Jepun sebagai kuasa besar baru mengamcam AS dan Eropah sudah tidak lagi timbul. Yang ada sekarang ialah China.
Dalam menghadapi kebangkitan China, Washington kelihatan mencari negara-negara lain untuk dijadikan pengimbang. Calon jelas bagi tujuan ini ialah Jepun. Secara politik, kedudukan Jepun sebagai pengimbang China mudah diperkirakan tetapi kaedah yang sama tidak boleh dilakukan bila dikaitkan tentang ekonomi.
Pertumbuhan ekonomi China amat pesat dan Jepun tidak akan dapat menandinginya. China yang mempunyai penduduk paling banyak di dunia dan sistem politik berasaskan komunisme di negara itu menjanjikan kestabilan yang lebih ampuh daripada Jepun.
Bagaimanapun, pada tahun lalu mula timbul tentang kemungkinan India boleh mengisi peranan penting sebagai pengimbang kepada China. Pertumbuhan ekonomi India sejak tahun-tahun kebelakangan ini juga menkagumkan, walaupun tidak sepesat China.
Maka gagasan yang dikemukakan oleh pemikir-pemikir strategik antarabangsa yang berpusat di AS pada tahun lalu mula menyebut tentang kebangkitan ekonomi China-India.
Maka apabila diambil kira paduan ekonomi antara China dan India, maka gabungan kerjasama ini akan kelihatan lebih besar.
Gagasan pertumbuhan China-India ini juga menjadi isu utama dalam Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung di Davos, Switzerland hujung bulan lalu.
Bagaimanapun, antara China dan India, para peserta forum itu masih meletakkan China sebagai tenaga utama bagi masa depan dunia.
Langkah menggabungkan China dengan India dalam pertumbuhannya mempunyai petanda bahawa terdapat usaha untuk mengurangkan kepentingan Beijing dengan mengimbangkannya melalui New Delhi.
Memang terdapat tanda-tanda bahawa washington menjalin hubungan lebih erat dengan New Delhi berbanding sebelumnya. Secara tradisinya Washington lebih rapat dengan Islamabad kerana new Delhi mempunyai hubungan tradisi dengan Moscow.
Juga ditimbulkan betapa India lebih mudah berhubung dengan AS berbanding Beijing.
Ini kerana India adalah sebuah negara demokrasi, tidak seperti China. Ataupun Pakistan yang mempunyai tradisi pengaruh tentera dalam politik.
India pula sejak mencapai kemerdekaan mengamalkan sistem pasaran, walaupun menerima campur tangan kerajaan melalui polisi sosialis Parti Kongres pada pentadbiran awal Jawaharlal Nehru.
Pengaruh
Dari segi pentadbiran, India seperti AS mewarisi sistem British kerana kedua-duanya adalah bekas tanah jajahan Inggeris. Paling penting ialah penguasaan bahasa Inggeris oleh rakyat India dan ini memudahkan negara itu menerima pengaruh AS dan Barat secara terbuka. Ini mempercepatkan kemasukan India dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Walaupun China mempunyai penduduk paling banyak di dunia dan menjadikan Mandarin sebagai bahasa paling banyak digunakan manusia tetapi ia tidak mampu mencabar kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa global dan internasional.
Harus diterima bahawa bahasa Inggeris lebih mudah dipelajari daripada Mandarin oleh orang bukan China. Sistem karakter China menyukarkan pembelajarannya berbanding aksara Rumi yang menjadikan bahasa Inggeris lebih fleksibel dan mudah dikuasai.
Maka AS dan dunia Barat boleh menemukan kemesraan di India berbanding dengan China. Dengan dukungan AS dan Eropah, India mampu menjadi kuasa utama mengatasi China.
Kebebasan, keterbukaan dan keanjalan di India membuatkanya lebih mampu berdepan dengan perubahan sejagat berban ding dengan China yang masih terbelenggu dengan ideologi komunis walaupun pada berbentuk politik, dan tidak ekonomi.
India juga memiliki parti komunis yang berpengaruh di kerajaan pusat dan negeri seperti di Bengal dan Kerala. Tetapi mereka mengambil bahagian dalam proses demokrasi sejak India mencapai kemerdekaan.
Asia Timur dan dunia keseluruhannya akan bermanfaat daripada pertumbuhan pesat China dan India, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya digandingkan.
Buat masa ini China sememangnya jauh ke depan daripada India dari segi pertumbuhan ekonominya.
Tetapi sebagai kuasa besar yang utama, India yang mempunyai budaya lebih terbuka mempunyai peluang lebih besar dan mudah diterima oleh dunia.
Mungkin apa yang dibimbangi Barat terhadap kebangkitan China hanya imaginasi seperti mana perspektif mereka terhadap Jepun sebelum ini.
Sebaliknya India mampu muncul sebagai kuasa ekonomi lebih mantap dan dapat diterima oleh masyarakat dunia.
Apa yang diperlukan oleh India adalah kestabilan dalam proses demokrasi dan hubungannya dengan negara-negara jiran. Kejayaan untuk damai antara India dan Pakistan merupakan kunci kepada kestabilan ini. Sudah tentu ia menuntut perubahan minda antara rakyat kedua negara.
Di sinilah cabaran utama kedua negara itu, dan ia memerlukan dorongan dan dukungan AS dan Eropah.