Hubungan istimewa Saudi-Malaysia

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 1 Februari 2006


Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu Islam mempunyai pandangan istimewa terhadap Arab Saudi. Kedudukan negara itu di mana terletaknya Masjidilharam menjadikannya demikian.

Tetapi dari segi politik pun, Arab Saudi memainkan peranan penting dalam dunia Islam. Bukan saja pejabat sekretariat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) terletak di Jeddah tetapi negara itu memainkan peranan besar dalam usaha penubuhannya.

Negara Arab Saudi yang ditubuhkan setelah kejatuhan Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul menjadikannya sebagai pewaris kepada kepimpinan dunia Islam secara tidak rasmi.

Sejarah dunia kontemporari telah mencatatkan peranan besar Almarhum Almalik Faisal Abdul Aziz dalam usaha menyatukan umat Islam melalui penubuhan OIC setelah Masjidil Aqsa dibakar pada tahun 1969.

Baginda juga berjaya menggerakkan senjata minyak melalui embargonya selepas Perang Ramadan pada tahun 1973 yang meningkatkan popularitinya dan negara Arab Saudi di kalangan umat Islam.

Tetapi usaha besar kerajaan Arab Saudi meningkatkan kemudahan dan pembangunan Masjidilharam dan Masjid Nabawi amat dihargai umat Islam termasuk rakyat Malaysia.

Maka apabila dalam minggu ini, ibu negara Kuala Lumpur yang menyambut Hari Wilayah Persekutuan hari ini turut dihiasi dengan bendera-bendera Arab Saudi, yang berwarna hijau dan terterakan kalimah ``Tauhid: Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah'', ia mendatangkan suasana istimewa bagi ibu kota itu.

Bendera paling istimewa di dunia itu menghiasi jalan-jalan raya Kuala Lumpur sebagai sempena kunjungan rasmi Raja Arab Saudi, Almalik Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

Bertambah indah ialah apabila negara sedang menyambut Maal Hijrah sempena Awal Muharam sebagai memperingati hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah.

Ini merupakan kunjungan rasmi kedua raja Arab Saudi ke Malaysia dalam sejarah kedua-dua negara. Lawatan rasmi pertama dilakukan oleh Almalik Faisal 36 tahun lalu apabila baginda menerima undangan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Bermakna

Kunjungan ini amat bermakna bagi Malaysia kerana ia adalah lawatan rasmi baginda ke negara Islam yang pertama sejak ditabalkan menjadi raja keenam Arab Saudi pada 1 Ogos lalu.

Dua negara yang telah baginda lawati sebagai raja sebelum ini ialah China dan India.

Lawatan baginda ke Malaysia sebelum ini ialah ketika menghadiri Sidang Kemuncak OIC pada Oktober 2003 selaku Tengku Mahkota.

Keistimewaan ini juga jelas apabila kebarangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Ternyata hubungan antara dunia Melayu dan dunia Arab bukan saja meliputi dimensi agama tetapi juga darah keturunan.

Bagi orang Melayu, dunia Arab khususnya kota-kota tradisi seperti Mekah, Madinah, Jeddah dan Kaherah sudah tidak asing lagi. Sementara kota-kota Arab baru seperti Amman, Riyadh dan Dubai semakin bertambah penting bagi rakyat Malaysia.

Bagi orang Arab pula, Malaysia sudah mula menjelma sebagai destinasi kunjungan pelancong yang bertambah penting.

Kedua-dua dunia Arab dan dunia Melayu meliputi ruang geografi yang luas dan strategik. Dunia Arab terbentang luas dari Maghribi hingga ke Yemen sementara dunia Melayu meliputi kepulauan Asia Tenggara.

Hubungan kedua dunia ini bermula dengan kehadiran saudagar-saudagar Arab yang sampai ke Asia Tenggara untuk berdagang.

Melaka pada abad ke-16 menjadi hab kepada jalinan dunia Arab dan dunia Melayu.

Kapal dagang dari Basrah (kini di Iraq) belayar sampai ke Melaka dan terus ke Maluku, kini di Indonesia.

Pengislaman alam Melayu membawa tamadun Arab ke dunia sebelah ini, bertapak di Aceh, ia tersebar luas meliputi dunia Melayu, termasuk pulau Jawa sehingga ke Mindanao dan Maluku.

Maka Aceh dan Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah yang menggambarkan tentang hubungan erat antara dua dunia ini.

Hubungan budaya, politik dan ekonomi yang terjalin antara dunia Arab dan dunia Melayu musnah dengan kedatangan penjajah Barat. Kini yang tinggal hanyalah hubungan agama.

Justeru, aktiviti OIC dan usaha meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua dunia khususnya antara Malaysia dan Arab Saudi menjadi usaha tapak demi tapak untuk memperbaiki kedudukan hubungan dua rantau ini.

Namun dalam zaman moden ini, Arab Saudi menjadi antara negara dunia paling penting kerana kehadiran minyak yang banyak di situ. Bukan saja di Arab Saudi tetapi juga di negara-negara Arab yang lain, khususnya di kawasan Teluk Parsi.

Sementara di Asia Tenggara, minyak juga memainkan peranan penting dalam memberikan kemakmuran kepada umat Islam. Baik di Brunei, Malaysia mahupun Indonesia.

Tetapi pada masa depan apabila keperluan tenaga akan berpindah ke biodiesel yang berasaskan minyak sawit, negara-negara di Asia Tenggara akan menjadi bertambah penting dan strategik dalam arena ekonomi dan politik antarabangsa.