Kraf kukuhkan jati diri

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 27 Februari 2006


Hari ini ialah Hari Kraf Kebangsaan keempat yang mana Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi bukan saja merasmikannya tetapi juga melancarkan Pusat Rekaan Kraf.

Beliau juga merasmikan bangunan baru Kraftangan Malaysia yang berada di kawasan Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, Kuala Lumpur yang terletak tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas, KLCC.

Sesungguhnya Kompleks Kraf ini adalah mercu tanda nasional penting di kawasan tiga segi emas Kuala Lumpur yang padat dengan bangunan-bangunan korporat tempatan dan antarabangsa.

Tanpa Kompleks Kraf Kuala Lumpur ini, kawasan yang berimej internasional itu akan ketiadaan ciri-ciri nasional yang bersifat mencerminkan jati diri negara. Tetapi kompleks itu sekurang-kurangnya bukan saja menjadi tarikan pelancong yang berada di kawasan tiga segi emas Kuala Lumpur itu tetapi juga ia mempunyai peranan nasional yang wajib di ibu negara.

Sememangnya nilai tanah di kawasan segi tiga emas itu tinggi dan jika tidak dipertahankan, bangunan-bangunan yang berbentuk kepentingan nasional akan tersungkur atas desakan tuntutan komersial.

Berhampiran dengan Kompleks Kraf itu terdapat Restoran Melayu yang menawarkan makanan-makanan tradisional Melayu. Menurut gagasan awal dahulu, sebuah hotel yang bercirikan nasional dengan berteraskan budaya Melayu pernah dirancangkan di kawasan itu.

Justeru, sebuah hotel nasional yang bercirikan budaya Melayu akan menjadi mercu tanda istimewa di tengah hotel-hotel lain yang bersifat dan memaparkan reka bentuk dalaman global yang berasaskan Barat. Di sebelah Menara Berkembar Petronas misalnya, terdapat sebuah hotel berprestij yang merupakan sebahagian daripada rangkaian global bercirikan motif Mandarin.

Justeru, jika wujudnya hotel bermotifkan budaya nasional ini akan melengkapkan dua institusi budaya di tiga segi emas itu iaitu Kompleks Kraf dan Restoran Melayu untuk menjadikannya mercu tanda jati diri negara.

Tidak lama dahulu, Perbadanan Kemajuan Kemajuan Kraftangan Malaysia sendiri pernah menyediakan reka bentuk hiasan dalaman bercirikan Melayu untuk hotel-hotel. Ia meliputi reka bentuk dalaman bilik membabitkan katil, almari, hiasan dinding dan kraf-kraf hiasan.

Kraftangan, makanan tradisional dan reka bentuk hiasan dalaman merupakan komponen penting ekspresi jati diri seperti yang boleh diserlahkan dalam bentuk bangunan Kompleks Kraf, Restoran Melayu dan hotel nasional yang pernah dicadangkan itu.

Hari Kraf Kebangsaan 2006 menampilkan aktiviti Ekspo Kraf seperti Jualan Kraf, Galeri Pakaian Rasmi, Pameran Rumah Kraf, Pameran Warisan Kraf Songket, Pameran Pakaian Tekstil Kraf Asia Pasifik, Pameran Produk Kraf Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Pameran Institut Kraf Negara, Perjumpaan Pembeli, Demonstrasi dan Interaktif Kraf serta Persembahan Kebudayaan dan Kesenian.

Sememangnya pandangan umum tentang pembangunan kraf tangan adalah semata-mata berbentuk ekonomi dengan bertujuan membantu penghasil-penghasilnya di kampung-kampung. Selain itu sasarannya juga adalah kepada pembeli antarabangsa, baik berupa pelancong atau dieksport ke luar negara.

Di banyak negara luar, usaha kraf sudah mencapai tahap maju hingga hasil-hasilnya menjadi pendapatan besar bagi pengeluar di desa-desa di samping popularitinya menjadi barang eksport yang lumayan.

Umpamanya kraf tangan dari Jepun, China, Indonesia, Thailand, Filipina dan India mendapat pasaran besar di negara-negara Barat.

Tetapi, walaupun soal komersial dan pengeksportan kraf adalah penting tetapi tidak kurang penting adalah dimensi kraf sebagai jati diri bangsa.

Apabila melihat kraf tangan sebagai salah satu elemen penting jati diri bangsa, maka sasaran penggunaannya adalah penduduk tempatan.

Terdapat banyak elemen yang boleh dikaitkan dengan jati diri bangsa. Penggunaannya mengukuhkan jati diri seseorang. Umpamanya penggunaan bahasa kebangsaan adalah salah satu jati diri bangsa. Agama juga adalah sebahagian daripada jati diri bangsa.

Tetapi budaya dan cara hidup juga menunjukkan jati diri bangsa seseorang. Umpamanya dengan mendengar lagu-lagu tradisi atau menonton teater tempatan adalah juga amalan untuk meneguhkan jati diri sendiri.

Karya seni, umpamanya dalam bentuk muzik, tarian dan sastera adalah ekspresi jati diri bangsa. Di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, bangunan-bangunan seperti Istana Budaya, Balai Seni Lukis Negara dan Perpustakaan Negara yang menyimpan manuskrip-manuskrip Melayu menjadi institusi yang melambangkan jati diri negara.

Tetapi ekspresi jati diri ini tidak hanya berbentuk institusi nasional tetapi juga perlu diamalkan dalam kehidupan seharian seseorang yang berbudaya.

Maknanya, seseorang yang berjati diri ini bukan saja gemar berbusana tradisi seperti batik dan songket tetapi juga dalam kehidupan sehariannya, menampilkan hidup berbudi bahasa dan bersopan santun.

Mereka juga bukan saja cenderong menikmati makanan tradisi tetapi dari segi intelektual mampu membaca dan menggarap ketinggian seni sastera Melayu termasuk puisi seperti pantun.

Maka bukan itu saja, dari segi reka bentuk, kecenderongan mereka adalah menerapkan seni bina dan hiasan dalaman tradisi Melayu. Maka bagi mereka yang berpeluang, sudah tentu rumah yang dibina mereka akan bercirikan seni bina rumah melayu. Landskap halaman mereka adalah juga bercirikan Melayu, dan bukannya Bali, apatah lagi Inggeris.

Maka di dalam rumah, hiasan-hiasan mereka bukan semata-mata gambar-gambar peribadi dan keluarga seperti lazim yang dilakukan di rumah-rumah Barat, tetapi tidak kurang penting adalah terdapatnya seni khat dan hasil-hasil kraf tangan seperti keris dan seumpamanya.

Apa yang hendak ditekankan di sini ialah kraf tangan bukan sekadar hiasan dalam rumah tetapi ia adalah lebih daripada itu. Kehadiran kraf tangan nasional merupakan ekspresi jati diri bangsa.

Jika kesedaran untuk memiliki jati diri sendiri, maka industri kraf tangan negara akan bertambah berkembang. Tetapi dukungan masyarakat ini bukan semata-mata berbentuk komersial dan industri tetapi lebih penting lagi ialah ia turut menyemarakkan lagi aktiviti seni kraf hingga dapat berkembang dalam bentuk yang lebih indah dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan tamadun bangsa.