JPA, Mara patut kaji dasar biasiswa

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 23 Mac 2006


Kegagalan peminjam membayar balik pinjaman biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjadi isu negara. Kedua-dua agensi tersebut terpaksa mengambil tindakan tegas untuk mendapatkan semula wang pinjaman.

Ini termasuklah tindakan Mara menutup pintu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada anak-anak peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Sungguhpun begitu, dalam keghairahan mengambil tindakan-tindakan tersebut, agensi-agensi kerajaan janganlah pula lupa tanggungjawab terhadap rakyat. Termasuklah kegagalan berpuluh ribu graduan mendapat pekerjaan.

Tidak dapat dinafikan kegagalan membayar balik pinjaman ini juga ada kaitan dengan pekerjaan dan gaji bulanan. Sebagai contoh seorang pelajar meminjam RM200,000. Kadar bayar balik bulanan lebih daripada RM500. Jangka masa bayar balik pinjaman hampir-hampir 30 tahun.

Sering kali setelah menolak bayaran balik pinjaman pelajaran, pinjaman kereta, sewa rumah, belanja sekolah anak-anak dan lain-lain, mungkin tidak ada yang tinggal.

Memang benar masalah berbangkit ekoran daripada bayaran balik pinjaman ini bukan masalah pihak yang memberi pinjaman. Tetapi, dibimbangi masalah kewangan peminjam boleh menggalakkan budaya rasuah.

Mungkin JPA dan Mara dapat mencari jalan menyelesaikan masalah ini dengan saksama. Umpamanya memberi diskaun kepada semua peminjam. Sementara tempoh bayaran balik dipendekkan antara 36-72 bulan (bergantung kepada jumlah pinjaman).

Menjangkau

Dari segi ekonomi, cara ini adalah lebih menguntungkan dibandingkan dengan peraturan sekarang yang jangka masa bayaran balik menjangkau hampir-hampir 30 tahun. Paling penting ia dapat mengurangkan beban peminjam dan untuk mengelak daripada ketidakmampuan peminjam membayar balik.

Pelajaran merupakan isu paling emosional di kalangan orang Melayu. Tambahan pula ia salah satu komponen penting bagi memastikan kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Perlu disedari bahawa ramai pelajar terpaksa meminjam kerana kemiskinan ibu bapa. Mereka juga terpaksa meminjam kerana jumlah biasiswa kerajaan semakin berkurangan.

Di samping itu, timbul pula rungutan tentang anak-anak orang berada dan berkedudukan tinggi yang juga diberi biasiswa. Tujuan asal biasiswa adalah untuk membantu anak-anak orang miskin.

Sebagaimana dimaklumi pengangguran dan tidak mendapat gaji yang setimpal merupakan antara faktor graduan gagal membayar balik pinjaman. Pihak-pihak berwajib juga harus melihat beberapa aspek khususnya kekurangan pekerjaan di sektor awam, kegagalan graduan-graduan Melayu berkhidmat di sektor swasta, dasar-dasar serta kurikulum universiti tempatan.

Malang sekali hingga ada syarikat-syarikat bumiputera yang tidak berminat memberi pekerjaan kepada graduan-graduan Melayu kononnya atas soal untung rugi dan kelemahan bahasa Inggeris.

Selain daripada itu, JPA, Mara dan agensi lain sepatutnya mengkaji semula beberapa dasar biasiswanya bertujuan menjimatkan belanja. Khususnya penghantaran pelajar-pelajar ke universiti-universiti luar negara yang mahal yurannya termasuk yang dikenali sebagai 10 universiti terbaik.

Di Amerika Syarikat (AS) bukan universiti yang menjadi faktor utama tetapi sekolah atau fakulti.

Ekoran daripada dasar ke universiti terbaik ini, jumlah pelajar yang sepatutnya mendapat biasiswa dikurangkan.

Begitu juga dengan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang dikira membazir. Ini termasuklah mendiami bangunan-bangunan yang berasingan dengan bangunan kedutaan. Sepatutnya semua agensi kerajaan di luar negara tinggal di bawah satu bumbung dengan pihak kedutaan.

Begitu juga dengan peraturan-peraturan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan para pelajar di luar negara yang antaranya dikira telah ketinggalan zaman.

Akhir sekali bagaimana pula dengan tindakan-tindakan Mara terhadap peminjam-peminjam lain selain daripada pinjaman pelajaran.

Sebagai anak kampung, saya berpendapat memberi biasiswa dan pinjaman kepada anak-anak orang kampung dan miskin merupakan satu amanah yang perlu diteruskan.