Perkemaskan pengangkutan awam

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 5 Mac 2006


PENARIKAN balik subsidi harga minyak 30 sen seliter baru-baru ini wajar menjadi titik mula untuk mencari alternatif mengurangkan penggunaan bahan api berkenaan. Semua pihak wajar realistik bahawa harga minyak tetap akan naik. Kalaupun bukan sekarang tetapi ia tetap akan berlaku pada masa depan.

Malah wajar juga memikirkan sewaras mungkin bahawa bukan selamanya kerajaan mampu menanggung subsidi minyak. Maka apabila sampai masanya sama ada kita mahu atau tidak, untuk menggunakan minyak terpaksa juga kita membayar sekalipun harganya tinggi.

Sebenarnya yang berlaku baru-baru ini bukanlah kenaikan tetapi menarik balik 30 sen seliter subsidi yang selama ini diberikan kepada pengguna. Maka ini adalah satu isyarat supaya semua pihak membuat persiapan meminimumkan penggunaan minyak tanpa menjejaskan kehidupan seharian.

Adalah suatu yang mustahil untuk mengekalkan harga minyak misalnya pada kadar tahun ini. Maknanya perlu ada alternatif supaya kehidupan dapat diteruskan tanpa menanggung kos melampau daripada kenaikan harga minyak.

Golongan yang paling terasa sekali dengan penarikan subsidi 30 sen seliter ini ialah pengguna kenderaan persendirian, pengusaha pengangkutan awam dan pengusaha industri. Salah satu alternatif mengurangkan beban kos minyak ialah memaksimumkan penggunaan pengangkutan awam.

Mengikut statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kenderaan motosikal yang didaftarkan sebanyak 7,088,051 (427,255 sepanjang tahun 2005), kereta sebanyak 6,473,261 (537,900 tahun 2005) dan kenderaan awam sebanyak 136,500 (9,981 tahun 2005).

Kita boleh saja menganggap jumlah kereta yang begitu besar disebabkan oleh kempen dan strategi pemasaran yang sangat berjaya. Ada kereta boleh dimiliki tanpa bayaran pendahuluan.

Tetapi pada masa yang sama kita juga tidak boleh menolak sama sekali faktor orang ramai memerlukan kereta sebagai pengangkutan kerana kelemahan sistem pengangkutan awam.

Kerana itu kerajaan perlu melihat kepentingan menaik taraf sistem pengangkutan awam untuk mengurangkan aliran kenderaan persendirian terutama di bandar-bandar besar. Sepatutnya kenaikan kos minyak hari ini tidak memberikan keresahan kepada pengguna sekiranya pihak-pihak tertentu mengambil langkah segera melicinkan sistem pengangkutan awam.

Di Kuala Lumpur misalnya sistem pengangkutan awam masih belum memuaskan sekalipun terbaik berbanding bandar-bandar besar yang lain. Ini kerana pengangkutan awam belum mampu mengambil alih keperluan kenderaan persendirian sebagai pengangkutan.

Kita boleh berkempen atau menyeru kakitangan awam dan swasta misalnya menggunakan pengangkutan awam. Tetapi sebelum itu perlu dilihat apakah sistem pengangkutan awam sudah mencapai tahap memuaskan supaya kenderaan persendirian tidak perlu lagi berpusu-pusu di tengah bandar-bandar besar.

Penarikan balik subsidi 30 sen seliter itu memberikan penjimatan dalam bentuk subsidi sebanyak RM4.4 bilion. Ini adalah sumbangan dalam bentuk pemulangan subsidi pengguna-pengguna minyak di negara ini.

Untuk meringankan beban kenaikan harga minyak pada masa akan datang, sebahagian daripada RM4.4 bilion tentunya boleh digunakan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di seluruh negara. Maknanya kalau subsidi minyak dinaikkan tahun depan, rakyat sudah tidak mengeluh lagi kerana pengangkutan awam mengambil alih keperluan kenderaan persendirian.

Kuala Lumpur dianggap mempunyai sistem pengangkutan awam yang selesa apabila Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) membelanjakan kira-kira RM240 juta. Kos ini ialah untuk membabitkan penggunaan 138 bas yang dijangka meningkat kepada 600 buah pada September depan.

Siapa kata orang tidak berminat menggunakan pengangkutan awam kalau sistem pengangkutan itu memberikan keselesaan dan memenuhi keperluan? Di Kuala Lumpur projek bas pengantara di pusat bandar telah mencatatkan peningkatan sekali ganda pengguna menjadi setengah juta orang sehari.

Maknanya projek ini berjaya mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sebagai pengangkutan harian. Ini juga meringankan beban rakyat apabila penggunaan minyak menjadi kecil berbanding sebelum ini.

Tetapi ini cerita Kuala Lumpur yang menjadi ibu bagi segala-galanya bagi negara ini. Bukan semua bandar besar mengalami nasib sebaik Kuala Lumpur dari aspek sistem pengangkutan awamnya. Kos minyak akan tetap menjadi beban kerana mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur tidak mempunyai alternatif kecuali menggunakan kenderaan sendiri.

Bagaimanapun penarikan subsidi 30 sen seliter ini memberikan petunjuk baik apabila Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy mengumumkan kerajaan menubuhkan Dana Amanah Pengangkutan. Dana ini akan menggunakan sebahagian daripada penjimatan RM4.4 bilion untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di seluruh negara.

Dengan minda yang jernih, penarikan balik subsidi 30 sen seliter itu menjadi satu anjakan untuk mengubah wajah bandar-bandar besar kita. Apabila terlaksana usaha menaik taraf pengangkutan awam, bandar kita tidak lagi menjadi ``bandar kereta'' dengan kualiti udara yang sangat buruk.

Inilah pendekatan terbaik mendepani kenaikan harga minyak. Malah inilah yang perlu diisi dalam minda kita dan bukan merungut supaya harga minyak kembali murah.