Makna penutupan Abu Gharib

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Mac 2006


AMERIKA Syarikat (AS) mengumumkan penutupan penjara Abu Gharib, terletak di barat Baghdad yang terkenal sebagai tempat di mana tenteranya mendera tahanan Iraq.

Pada satu masa Abu Gharib menjadi simbol kediktatoran Saddam Hussain kerana di situlah tempatnya presiden Iraq itu menyeksa dan membunuh penentang-penentangnya.

Tetapi ketakutan itu berbentuk nasional dan apa yang berlaku tidak banyak diketahui oleh dunia.

Bagaimanapun pendudukan AS ke atas Iraq dan skandal penderaan tenteranya ke atas tahanan itu menggegarkan dunia dan ia menjadi terkenal dan menyentak hati budi manusia seluruh dunia.

Ini kerana ia dilakukan oleh tentera AS sedangkan kalau apa yang dibuat oleh pihak Saddam adalah seolah-olah dapat difahami. Ini kerana Saddam adalah seorang diktator zalim sementara AS merupakan negara demokratik yang bertindak sebagai polis dunia.

Kini Abu Gharib menjadi simbol kezaliman AS dan bukannya Saddam.

Tetapi adakah adil menyamakan AS dengan Iraq pada zaman Saddam? Begitu juga adakah adil menyamakan George W. Bush dengan Saddam? Tentunya tidak.

AS adalah sebuah negara bebas, demokratik dan bertamadun. Iraq pada zaman Saddam pula adalah negara terkongkong, autokratik dan pelik.

Bush pula dipilih secara demokratik dalam sistem politik yang mengamalkan perdebatan umum. Saddam memimpin melalui kekuatan senjata yang lahir daripada sistem politik penuh ketakutan.

Simbol

Maka kelihatan bercanggah di antara satu sama lain, malah bermusuhan dan akhirnya bertemu dalam peperangan.

Tetapi lihatlah Abu Gharib. Apabila tentera AS masuk ke Baghdad, mereka tidak menutup atau meruntuhkan simbol kezaliman Saddam itu, tetapi sebaliknya meneruskannya untuk dijadikan penjara bagi mereka yang menentang AS, dan akhirnya apabila skandal penderaan itu berlaku, ia menjadi kesinambungan kepada kezaliman Saddam.

AS dan Iraq pada zaman Saddam mempunyai hubungan. Bush dan Saddam juga mempunyai kaitan.

Sememangnya Saddam berbahaya kepada jiran-jirannya. Sebab itu dia pernah terlibat dalam peperangan dengan Iran dan Kuwait. Tetapi apa kurangnya AS. Dalam zaman George W. Bush saja, negara itu sudah terlibat dengan dua peperangan, iaitu di Afghanistan dan Iraq. Banyak orang awam yang tidak bersalah mati begitu saja.

Kedua-dua AS dan Iraq adalah republik. Mereka menolak raja. George Washington yang memimpin perang kemerdekaan AS pada tahun 1776 menentang raja Inggeris yang ketika itu kuasa besar. Tetapi Saddam bersama dengan anggota Baathis dalam tentera di bawah pimpinan Presiden Abdul Karim Kassim telah menggulingkan Al-Malik Faisal II, raja Iraq ketika itu pada tahun 1958.

Raja Iraq dari keluarga Hashim yang pernah mentadbir Mekah pada zaman Khalifah Uthmaniah mendapat kedudukan itu selepas pemberontakan Arab yang didukung oleh T. E. Lawrence, pegawai penjajah British.

Kedua-dua AS dan Iraq di bawah Saddam adalah republik sekular. Walaupun Saddam berada dalam kem Kesatuan Soviet pada Perang Dingin tetapi selepas revolusi Islam Iran pada tahun 1979, AS dan kuasa-kuasa Eropah membantu Iraq dalam peperangannya menentang Iran.

Semua senjata Saddam dibeli dari negara-negara Barat atas restu AS. Kezaliman yang dilakukan oleh Saddam bukan saja di Abu Gharib tetapi juga menggunakan bom kimia di Halabja, yang mana kes ini sedang dibicarakan ke atas Saddam adalah kesemuanya datang daripada senjata bekalan dari barat.

Dari manakah Saddam memperoleh wang untuk membeli pelbagai senjata itu? Tentunya dari hasil jualan minyak yang dibekalkan ke AS dan Eropah.

Peperangan AS ke atas Iraq adalah sebahagian daripada agenda neokonservatif yang mahu mewujudkan demokrasi di negara itu. Demokrasi di Iraq dalam erti kata yang luas meliputi kedudukannya sebagai sebuah negara yang menjadi sekutu kuat kepada AS dan menjadi sahabat Israel.

Antara perkara pertama yang dicadangkan apabila Saddam tumbang ialah untuk mereka bentuk bendera baru Iraq menggantikan bendera negara itu pada zaman Saddam.

Seorang pereka bentuk Iraq, Rifat al-Chadirchi yang bermastautin di Britain mencadangkan supaya bendera baru negaranya adalah berwarna putih dengan bulan sabit biru dan dua jalur biru di bawah mengapit satu jalur kuning.

Bulan sabit menandakan Islam dan dua jalur biru di bawah melambangkan Sungai Furat (Tigris) dan Sungai Dajlah (Euphrates) dengan jalur kuning bagi mewakili etnik Kurdis.

Bendera ini diterima oleh Majlis Pemerintah Iraq (IGC) pada tahun 2004 yang anggotanya dilantik oleh AS. Reka bentuk bendera baru ini dibakar oleh pejuang Iraq dan ia ditolak oleh rakyat yang menyifatkannya seperti bendera Israel.

Maka kerajaan Iraq membuat keputusan untuk mengekalkan bendera Iraq zaman Saddam tetapi hanya mengubah khat kalimah takbir yang diapit oleh tiga bintang hijau.

Kalimah takbir di bendera Iraq itu diperkenalkan oleh Saddam ketika peperangannya menceroboh Kuwait. Khat yang digunakan di atas bendera itu ialah tulisan tangan Saddam. Maka perubahan yang dilakukan oleh rejim baru Iraq ialah dengan mengubah khat itu kepada jenis Kufi, yang secara tradisi berasal dari sebuah bandar di Iraq iaitu Kufa.

Pengekalan dan pengenalan kalimah takbir di atas bendera Iraq itu menunjukkan tiga perkara.

Pertama hubungan kuat sentimen agama di negara itu.

Kedua, penolakan rakyat negara itu terhadap Israel, dan ketiga, rejim baru Iraq akan mengubah suai matlamat mereka menurut tuntutan rakyat Iraq semasa.

Mungkin pada mulanya, aspirasi neokonservatif terhadap Iraq adalah untuk mewujudkan sebuah negara demokratik, pro-AS dan mesra Israel telah terpaksa menerima penyesuaian baru.

AS dan kerajaan baru Iraq sedang menghadapi tentangan keras daripada pemberontak, penentang dan antaranya pengganas yang ada kaitan dengan Al-Qaeda. Tiga fahaman elemen yang mereka perjuangkan iaitu nasionalisme, fundamentalisme Islam, mazhab Sunni dengan unsur Wahabbi.

Justeru, apa yang AS perlu lakukan ialah meningkatkan elemen-elemen ini dalam kerajaan baru Iraq. Baghdad mesti memiliki kedaulatan, kemerdekaan dan Islam Sunni.

Implikasi daripada skandal penjara abu Gharib ialah bukan saja tentera negara demokratik seperti AS berupaya melakukan penderaan seperti tentera diktator tetapi juga ia memaparkan bagaimana penghinaan telah dilakukan terhadap umat Islam.

Dalam zaman Bush ini, dua negara Islam diperangi iaitu Afghanistan dan Iraq, yang menghasilkan dua penjara berbentuk penghinaan terhadap Islam, iaitu Abu Gharib dan Guantanamo.

Tatapan

Secara berterusan, Iraq, Afghanistan, Abu Gharib dan Guantanamo akan terus menjadi simbol penghinaan terhadap umat Islam.

Maka tidak hairanlah gambar terbaru yang dilepaskan untuk tatapan dunia ialah kawasan Camp Redemption (Penebusan) dalam kompleks penjara Abu Gharib yang menunjukkan beberapa orang tahanan Iraq sedang sujud ketika melakukan solat.

Mesej ini mahu menampilkan bahawa tahanan Islam diberi layanan baik dengan dibenarkan melakukan ibadat.

Jeneral Peter Pace, pengerusi Ketua Turus Tentera AS dilaporkan memberitahu kompleks itu akan diserahkan kepada pihak pentadbiran Iraq yang kini ditadbir di bawah kerajaan baru Baghdad pilihan rakyat Iraq secara demokratik.

Keputusan untuk menutup kompleks penjara itu adalah ekoran daripada perbicaraan di Senat tetapi pelaksanaannya dijangka akan mengambil masa berbulan dengan tidak ada tarikh tepat untuknya.

Daripada laporan tentera dinyatakan bahawa langkah AS itu adalah ekoran daripada serangan daripada pemberontak Iraq yang kian meningkat ke atasnya. Akibatnya, pihak tentera terpaksa memberikan lebih perlindungan kepadanya dan ini menimbulkan tekanan kepada pasukan itu.

Laporan seumpama ini hanya menambah berita-berita sebelumnya yang menunjukkan bahawa serangan daripada pemberontak semakin bertambah dan Iraq menjadi amat kurang selamat.

Serangan terbaru ke atas masjid Syiah, masjid Askariya menunjukkan petanda bahawa Iraq sedang menuju ke kancah peperangan mazhab, suatu keadaan berbahaya kerana kerajaan yang didominasi Syiah tidak akan diterima.

Dapat dibayangkan bahawa setelah pengunduran tentera AS, berkemungkinan kerajaan demokratik ini tidak dapat bertahan dengan penyusunan semula politik negara untuk membuka ruang kepada kembalinya dominasi Sunni.

Ia juga bermakna aspirasi neokonservatif untuk Iraq tidak tercapai.

Dari segi lain, dinyatakan bahawa skandal Abu Gharib yang menunjukkan penderaan dan penghinaan seks terhadap tahanan Iraq dan menimbulkan kemarahan besar dunia Islam pada tahun 2004, dikatakan menjadi alat bagi pengganas mendapatkan pejuang baru.

Maka Abu Gharib muncul sebagai simbol penentangan orang Islam terhadap AS.

Seorang bekas menteri luar dan anggota parlimen baru Iraq, Adnan Pachachi mencadangkan supaya ia dijadikan sekolah atau hospital. Baginya, Abu Gharib melambangkan semua perkara yang salah pada zaman Saddam dan kemudian ia menjadi simbol kepada semua benda yang salah pada zaman pendudukan.

Ini menunjukkan Abu Gharib merupakan simbol hubungan antara kejahatan Iraq dan AS.

Dalam keadaan ini, apa yang diperlukan oleh Iraq adalah satu aliran dan kekuatan baru yang berkecuali serta bebas daripada kepentingan neokonservatif AS, kelompok dan gerakan pemberontak ganas.

Membantu

Umat Islam dan sahabat-sahabat progresif yang mengambil berat tentang Iraq wajar menyusun tenaga membantu rakyat dan negara Iraq untuk keluar daripada cengkaman AS dan anasir-anasir berkepentingan kelompok.

Dipercayai masalah-masalah Iraq banyak dikaji oleh AS dan negara-negara barat yang lain, tetapi kurang dilakukan oleh dunia Islam sendiri.

Iraq bukan saja amat penting bagi umat Islam tetapi dunia juga. Perhatian dan fikiran harus diberikan padanya. Ingatlah betapa tamadun Sumeria, Babylon dan Mesopotamia memberi sumbangan besar pada manusia. Peninggalan arkeologi dan artifak banyak dimusnahkan oleh tentera AS yang mengebom di sana sini di negara malang itu.

Ingatlah Baghdad pernah menjadi kota gemilang umat Islam pada zaman Khalifah Abasiah. Selain itu, di situlah tempat-tempat suci Syiah yang dikaitkan dengan Saidina Ali r.a. dan ahlul bait.

Khazanah sejarah bumi Iraq jauh lebih berharga daripada minyak yang menjadi rebutan AS.

Perhatian kepada soal-soal ini menuntut wujudnya institusi dan agensi-agensi pemikir yang benar-benar berdedikasi untuk membentuk negara baru Iraq yang merdeka, berdaulat dan mencerminkan sebagai sebuah negara pewaris tamadun gemilang silam.

Malah di kalangan cendekiawan Malaysia, mereka juga wajar menunjukkan minat terhadap Iraq supaya dokumentasi dan kajian terhadapnya dapat dilakukan oleh anak-anak negara ini.

Mengapa pula intelektual AS saja yang membuat kajian dan penyelidikan mengenai Iraq hinggakan golongan neokonservatifnya menjadikannya medan politik mereka.

Negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) lebih berhak untuk mengkaji tentang Iraq dan selanjutnya memperakukan jalan-jalan penyelesaian kepada masalah di sana dengan benar-benar menurut kepentingan rakyatnya dan tamadun sejagat.