Nuklear jadi simbol kemerdekaan Iran

Oleh: ZIN MAHMUD
SUmber: Utusan Malaysia 5 Mac 2006


PADA pagi Jumaat lepas, kerusi dalam dewan besar Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur penuh. Hadirin menampakkan minat besar untuk mendengar apa yang hendak disampaikan oleh Dr. Mahmoud Ahmedinejad, Presiden Iran dalam syarahan umumnya atas tajuk Isu-isu antarabangsa tertunggak dan peranan dunia Islam.

Syarahan anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Asing (IDFR) yang dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar itu diadakan sempena lawatan rasmi tiga hari Mahmoud ke negara ini.

Hadirin tentunya daripada kalangan para diplomat, ahli-ahli dalam bidang hubungan asing, khususnya Asia Barat dan ahli-ahli perniagaan yang mempunyai kepentingan.

Tetapi selain wajah-wajah biasa itu, turut hadir ialah segolongan yang merupakan generasi Mahmoud sendiri di kalangan rakyat Malaysia.

Perlu diingat bahawa Mahmoud yang dipilih menjadi Presiden Republik Iran pada Jun tahun lalu merupakan generasi mahasiswa yang terlibat secara langsung dengan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Mereka menjadi penggerak kepada demonstrasi dengan tindakan politik di bawah pimpinan Allahyarham Ayatullah Khomeini yang berjaya menumbangkan rejim pro-Amerika Syarikat, Shah Iran.

Maka apabila presiden keenam Republik Islam Iran dipilih, ini bermakna ia sampai kepada generasi mahasiswa yang menjadi penggerak kepada kebangkitan revolusi itu. Mahmoud bukan saja mewakili generasi anak-anak muda ini, tetapi ia turut menjadi pewaris dan penyambung kepada fahaman politik Khomeini.

Sepanjang kerjaya politiknya, Mahmoud dikenali sebagai pendukung garis keras yang setia, iaitu merujuk kepada fahaman Khomeini itu sendiri.

Dalam sejarah Iran pascarevolusi, negara itu mengalami cabaran daripada tuntutan untuk perubahan. Dalam keadaan ini, timbul dua aliran yang bertentangan dikenali sebagai konservatif dan reformis. Khomeini dan pendukung-pendukungnya termasuk Mahmoud yang dahulunya dianggap sebagai radikal dan revolusioner tiba-tiba dilabel sebagai konservatif oleh dunia. Sementara golongan yang mahukan perubahan kepada sistem lebih terbuka dan arus perdana dilabel sebagai reformis.

Kemuncak kejayaan reformis ialah apabila Mohamad Khatami dipilih sebagai presiden kelima. Di situlah tanda-tanda akan berlakunya perubahan besar di Iran, malah di kalangan pemerhati Barat, ia dianggap sebagai revolusi kedua.

Bagaimanapun senario begini berubah tiba-tiba dengan kemenangan mengejut yang tidak disangka dunia apabila Mahmoud menang. Ini bermakna Iran kembali kepada garis keras fahaman Khomeini.

Perkembangan di Iran ini tentu mengelirukan pemerhati khususnya generasi pengagum Iran yang muncul pada awal 80-an.

Perlu diingat bahawa Revolusi Islam Iran telah memberi impak besar bukan saja kepada politik Asia Barat tetapi juga dunia Islam keseluruhan. Fenomena revolusi itu menjadi pendorong kepada suasana kebangkitan Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Khomeini dilihat pada banyak pengagumnya di dunia Islam sebagai tokoh yang berani mencabar AS. Maknanya sikap menolak hegemoni AS dan mempertahan kemerdekaan dan kedaulatan negara Islam merupakan inti penting fahaman politik Khomeini.

Seperti di negara-negara lain, peminat Khomeini juga muncul di Malaysia, khususnya di kalangan mahasiswa aktivis Islam. Mereka inilah segenerasi dengan Mahmoud.

Sejak Mahmoud memimpin Iran, dasar dan sikapnya mencerminkan apa yang diajar Khomeini. Beliau mempertahankan hak Iran untuk memiliki tenaga nuklear. Mahmoud berani mencabar AS dan mempertikaikan Zionisme dan Israel. Dasar luar beliau benar-benar mengikuti ajaran Khomeini dan ia menyentap perasaan generasi beliau di seluruh dunia, yang menyokong revolusi itu.

Generasi beliau inilah yang turut muncul ketika beliau menyampaikan syarahannya di Kuala Lumpur. Ia seolah-olah menjadi pertemuan semula alumni pengagum fahaman Khomeini.

Menjawab satu soalan daripada hadirin, Mahmoud menekankan tentang soal kemerdekaan Iran. Beliau mempersoalkan mengapakah negara-negara asing mahu Iran mengikut telunjuk mereka. Iran wajar memelihara kepentingannya sendiri. Menurut beliau, Iran tidak mahu berkelahi dengan mana-mana negara tetapi janganlah ada pihak luar yang mahu memaksa negara itu mengikut kehendak mereka.

Beliau menggambarkan betapa pihak Barat menetapkan peraturan dan kemudian mahu dunia berfungsi menurut sistem yang dicipta untuk kepentingan mereka.

Beliau memberi contoh tentang Agensi Antarabangsa Tenaga Atom (EAIA) yang majoriti ahlinya terdiri daripada wakil Barat dan sudah tentu cenderung untuk memusuhi Iran.

Pada hari Mahmoud mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Khamis lalu, Presiden AS, George W. Bush berunding dengan Perdana Menteri India, Manmohan Singh dan bersetuju untuk mengadakan kerjasama nuklear.

Lawatan Bush ke Asia Selatan juga meliputi Pakistan dan Afghanistan.

Tentu persoalan yang timbul ialah mengapakah AS izinkan India dan Pakistan memiliki senjata nuklear tetapi membantah Iran membangunkan sumber tenaga nuklear?

Bagi Mahmoud, sejak dari dahulu AS mahu menguasai Iran. Mereka sanggup menyokong rejim Shah Iran yang melanggar hak asasi manusia dan demokrasi asalkan mereka mengikut kehendak Washington.

Gambaran yang diberikan oleh Mahmoud ialah Barat tidak jujur dalam soal demokrasi dan hak asasi manusia. Mereka mempunyai agenda dan kepentingan politik untuk menjadi hegemoni atas negara-negara lain.

Melihat peta Iran, dapat disaksikan betapa kehadiran AS di timur dan barat Iran. Di sebelah timur, AS dan sekutunya berada di Afghanistan dengan Pakistan dan India adalah sekutunya. Begitu juga di sebelah Barat di mana kehadiran AS adalah di Iraq. Sekutu AS di situ ialah Israel dan Turki yang menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tetapi dalam keadaan begini, AS yang berada jauh dari Asia Barat mendakwa bahawa Iran merupakan ancaman kepada keselamatan. Bagaimana pula dengan AS sendiri. Tidakkah AS menjadi ancaman kepada Iran?

AS mengalu-alukan pilihan raya yang dianggap sebagai kejayaan demokratik di Afghanistan dan Iraq. Ini kerana mereka yang memenangi pilihan raya itu menyokong AS. Tetapi andai kata parti yang menang dalam pilihan raya itu bersikap anti-AS, mungkin berbeza, itulah yang berlaku ke atas Hamas di Palestin.

Sikap AS terhadap demokrasi dan hak asasi itu boleh disifatkan sebagai berbentuk selektif. Maknanya demokrasi disokong selagi ia memenuhi kepentingan politik AS.

Mahmoud dalam syarahan itu menunjukkan komitmennya untuk mempertahankan kemerdekaan negaranya dan terus mengikuti ajaran Khomeini berhubung dengan dasar luar, iaitu menentang AS.

Tetapi mendengar keseluruhan syarahan itu, serta jawapannya kepada soalan yang dibangkitkan timbul juga kebimbangan kalau-kalau apa yang diucapkannya itu hanya bertaraf retorik dan penyelesaian kepada masalah kompleks dunia berbentuk simplistik.

Mahmoud menyimpulkan fahamannya tentang politik antarabangsa di akhir syarahannya. Ia berbunyi: Tauhid dan keadilan adalah asas kepada keamanan. Dengan keadilan, akan datang perdamaian. Dengan perdamaian akan datang keselamatan.

Kata-kata ini adalah simplistik yang sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk dasar.

Bagaimanakah harus diterjemahkan konsep tauhid dan keadilan untuk dijadikan asas perdamaian?

Iran merupakan negara berbudaya tinggi dan mewariskan satu tamadun silam yang besar, seperti juga China dan India. Perbahasan falsafah yang berasaskan tamadun ini seronok untuk dibicarakan dan boleh menjadi kompleks, kaya dan indah. Bukan saja falsafah Parsi sedemikian rupa tetapi juga falsafah tamadun lain seperti China dan India.

Tetapi kehebatan latar belakang ini tidak menjamin kestabilan, pembangunan dan kemakmuran.

Berdepan dengan AS pada zaman ini memerlukan kelicikan politik di samping kemahiran dalam membuat keputusan berhubung dengan soal-soal ekonomi.

Beberapa bidang seperti sains, teknologi dan kewangan mencabar nilai-nilai seperti keadilan dan konsep tauhid sendiri.

Dari segi latihannya, Mahmoud adalah seorang jurutera peringkat sarjana. Tetapi minat beliau terhadap politik dan agama yang akhirnya membawa kepada jawatan presiden.

Cabaran yang dihadapi beliau ialah bagaimana hendak menuai hasil revolusi untuk generasi akan datang supaya Iran bukan saja berjaya dalam soal ideologi Islam tetapi juga rakyatnya dapat menikmati kehidupan setara dengan apa yang dihayati oleh negara-negara maju.