AS–Libya pulih hubungan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 21 Mei 2006


ADA sekurang-kurangnya tiga makna daripada pemulihan hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Libya yang berlaku minggu lalu.

Pertama, mesej AS kepada Iran dan Korea Utara bahawa inilah nikmat yang akan diperoleh oleh mereka jika menurut jejak langkah Libya.

Kedua, Washington tidak berminat untuk menukar kerajaan, iaitu perubahan rejim berhubung dengan soal demokrasi. Apa yang penting bagi AS ialah terima permintaannya dalam soal hal-ehwal luar dan pertahanan. Ini sebenarnya yang penting.

Ketiga, penyusunan semula pola sekutu politik antarabangsa di Timur Tengah.

Banyak pihak melihat pemulihan hubungan diplomatik antara AS dan Libya menguntungkan kedua-dua pihak, iaitu Washington dan Tripoli. Bagi Presiden George W. Bush, penerimaan AS terhadap Libya bermakna negaranya menguatkan kedudukan diplomatiknya di Timur Tengah dengan menjadikan Tripoli sebagai negara sahabat. Hubungan diplomatik bermakna sahabat.

Di pihak Libya, Presiden Muammar Gaddafi mengambil kesempatan ini sebagai cara menyelamatkan rejimnya daripada terus ditekan oleh AS.

Dalam keadaan hubungan tegang antara AS dan Iran, Washington perlu mencari sahabat baru bagi mengukuhkan kedudukan diplomatiknya lebih-lebih lagi apabila Iran beroleh sokongan moral dari Rusia yang mana presidennya, Vladimir Putin terang-terang memberi amaran kepada Washington supaya tidak menyerang Teheran.

Kejayaan Washington mendapatkan Gaddafi sebagai sahabat perlu dilihat dalam konteks bahawa Libya adalah sebuah negara Arab, Islam dan Afrika. Ia menganggotai Liga Arab, Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan bagi Perpaduan Afrika (OAU).

Dalam hal ini, perlu dilihat betapa Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad telah mengunjungi Malaysia dan Indonesia serta mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mencerminkan bahawa OIC dan NAM berada di pihak Teheran.

Jadi dari segi imbangan persaingan diplomatik, pemulihan hubungan AS-Libya meningkatkan tahap kedudukan Washington. Di pihak Libya pula, perkembangan ini memberikannya dua kelebihan.

Pertama, ia mengukuhkan kedudukan rejim Gaddafi yang berhadapan dengan tekanan dalam negara supaya berubah. Maknanya kalau beliau juga terpaksa berhadapan dengan tekanan dari AS dan Barat maka rejim itu berada dalam kedudukan yang lebih sukar.

Dalam negara, rejim Gaddafi berdepan dengan dua bentuk pembangkang. Pertama yang berasaskan fahaman fundamentalis Islam; dan kedua, aliran demokratik yang beranggapan rejim Gaddafi sudah terlalu lama dan perlu diubah untuk digantikan dengan pemerintahan yang demokratik serta boleh diterima dunia.

Selama ini, kedua-dua aliran ini mendapat dukungan dari Barat yang mahu menggulingkan Gaddafi. Tetapi pemulihan hubungan Tripoli-Washington akan menghentikan sokongan Barat kepada kedua-dua aliran ini. Mungkin aliran fundamentalisme Islam beralih kepada Iran untuk mendapatkan sokongan politik asing.

Bagi mendapatkan kedudukan ini, Gaddafi telah menerima tuntutan-tuntutan AS, antaranya menghentikan sebarang usaha membangun senjata pemusnah besar-besaran, WMD serta menamatkan sebarang kaitannya dengan apa yang Barat sifatkan sebagai keganasan, termasuklah memberi sokongan kepada perjuangan bersenjata Palestin.

Beliau juga menunjukkan kepada rakyatnya bahawa Libya boleh kembali kepada masyarakat antarabangsa pimpinan Barat dengan segala pemulihan kemudahan ekonomi global tanpa perlu mengubah amalan politik dalam negara.

Maknanya Libya tidak perlu demokratik dan Gaddafi tidak perlu diganti bagi negara itu menikmati kemajuan yang dapat diperoleh melalui aktiviti komersial yang disokong Barat.

Mesej ini juga yang boleh disampaikan oleh AS kepada Iran dan Korea Utara. Kedua-dua negara yang dianggap sebagai jahat oleh Washington tidak perlu berubah rejim atau mengamalkan demokrasi untuk diterima oleh Barat.

Mereka hanya perlu menghentikan sebarang program dan mematikan sebarang niat untuk membangunkan senjata WMD seperti nuklear. Selepas itu, negara-negara itu tidak akan dipencilkan dan mereka dapat menikmati kelebihan hubungan ekonomi yang menguntungkan.

Perlu diingat betapa kedudukan Libya sebelum ini pada kaca mata AS adalah lebih buruk daripada Iran dan Korea Utara. Melalui letupan bom yang mengakibatkan pesawat Pan America jatuh di atas Lockerbie di Britain, Libya telah secara langsung dianggap terlibat dengan keganasan.

Perkara ini tidak berlaku terhadap Iran walaupun negara itu merupakan penyokong kuat Hizbullah, Lebanon yang disifatkan oleh AS sebagai pengganas. Begitu juga dengan Korea Utara walaupun negara itu pernah terlibat dengan serangan ke atas pemimpin-pemimpin Korea Selatan di Burma beberapa dekad lalu.

Ideologi

AS sendiri pernah melancarkan serangan ke atas Libya. Begitu juga dengan Israel, sesuatu yang tidak dilakukan ke atas Iran, kecuali untuk usaha membebaskan tebusan AS yang gagal. Selepas Perang Korea, AS tidak pernah menyerang Korea Utara.

Dari segi ideologi, Libya telah mengubahnya dengan besar berbanding ketika mula-mula Gaddafi memegang kuasa.

Rejim Gaddafi amat radikal, lebih daripada Revolusi Islam Iran dan fahaman komunis Korea Utara.

Malah selepas Gaddafi merampas kuasa daripada Al-Malik Idris pada tahun 1969, ia mengutarakan sebuah gagasan nasionalisme radikal yang tidak ada tolok bandingnya di dunia. Nama rasmi Libya ialah Jamahariya Sosialis Rakyat Arab Libya yang dari segi konsepnya lebih radikal daripada Republik Islam Iran dan Republik Demokratik rakyat korea (DPRK) iaitu nama rasmi Korea Utara.

Jamahariya yang lebih kurang bermaksud republik dari segi teori adalah lebih radikal mana-mana bentuk negara yang pernah diwujudkan di dunia. Gaddafi bermaksudkan jamahariya sebagai melangkaui konsep republik rakyat yang diwujudkan di negara-negara komunis. Tetapi ini dari segi teori saja. Dari segi amalannya, ia merupakan rejim Gaddafi.

Ideologi jamahariya ini berasakan kepada sebuah buku dinamakan Buku Hijau mengandungi fahaman sosialisme dan demokrasi yang cuba disebarkan oleh Gaddafi sebagai perjuangan revolusinya. Revolusi Gaddafi bermaksud rampasan kuasa yang dilakukan terhadap Libya dan mengubahnya dari sebuah negara beraja kepada republik rakyat.

Pada asalnya, fahaman Gaddafi adalah berserta dengan nasionalisme radikal yang dibawa oleh Gamal Nasser. Sebagai golongan Nasseriyun, Gaddafi turut mengimpikan negara Arab besar yang bersatu dari Maghribi ke Yemen. Maka ia pernah berarak ke sempadan Mesir bagi mengisytiharkan penyatuan Libya dengan negara pimpinan Presiden Anwar Sadat itu.

Tentunya perkara itu tidak praktikal tetapi Libya menjadi salah sebuah negara Arab radikal didukung Soviet seperti Mesir, Iraq, Syria, Sudan dan Yemen Selatan pada tahun-tahun 70-an itu.

Bagaimanapun Gaddafi tidak puas hati dengan dunia Arab kiri pimpinan Kaherah lebih-lebih lagi apabila Sadat beralih arah dan menjadi pro-AS serta mengiktiraf Israel selepas Perang ramadan 1973.

Maka dilancarkan satu revolusi seperti revolusi kebudayaan dengan mengemukakan ideologi Buku Hijau. Menurut laporan, fahaman ini digubal oleh panel yang turut disertai oleh penasihat dari negara komunis Jerman Timur. Namun begitu Buku Hijau menggabungkan tiga ciri ideologi: nasionalisme Arab, sosialisme kiri dan Islam radikal.

Beliau menolak konsep negara bangsa dan diisytiharkannya sebagai jamahariya. Dibuangnya segala simbol pada bendera negara yang dijadikannya hanya warna hijau. Kedutaan Libya ditukar namanya kepada biro rakyat, termasuk di Malaysia. Juga ditubuhkan Pusat Kebudayaan Libya bagi memberikan kefahaman tentang pegangan ini.

Melihat bagaimana Gaddafi menggabungkan nasionalisme, Islam dan sosialisme mengingatkan banyak pemerhati terhadap gagasan Nasakom yang pernah diutarakan oleh Sukarno apabila beliau mencirikan ideologi negara sebagai gabungan nasionalisme, agama dan komunisme.

Pun begitu, Gaddafi telah memulakan gerakan fahaman politik Islam, beberapa tahun awal sebelum Revolusi Islam Iran.

Malah seminar politik antarabangsa yang dianjurkan beliau menjadi perintis kepada usaha menggagaskan politik Islam global. Umpamanya, Dr. Kalim Siddiqui yang mengasaskan Institut Muslim berpusat di London memulakan gagasan tentang politik Islam ketika membentangkan kertas kerja dalam seminar politik seumpama ini. Institut itu kemudian menjadi jurucakap fahaman Revolusi Islam Iran untuk dunia berbahasa Inggeris.

Dari segi dasar luarnya, fahaman Gaddafi membawanya menjadi penyokong aktif gerakan pembebasan golongan terpinggir dunia khususnya di kalangan orang Islam. Maka Libya menjadi penyokong aktif kepada perjuangan Moro di Filipina Selatan. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) turut mempunyai markas di Tripoli apabila dihalau dari Beirut, Lebanon atas desakan Israel.

Gaddafi membantu minoriti Islam dunia melalui Liga Muslim Sedunia (WML).

Tetapi kegiatan Libya yang campur tangan secara ketenteraan di Chad, Mesir, Sudan serta kegiatan keganasan di Eropah menyebabkan AS membekukan asetnya pada tahun 1986. Libya dan AS bermusuhan lebih-lebih lagi selepas letupan kapal terbang Pan Am di Lockerbie pada tahun 1988.

Libya menunjukkan langkah untuk berbaik dengan Barat apabila ia menyerahkan pengebom Lockerbie pada tahun 1999. Ini diikuti dengan penyerahan senjata WMD yang sudah tidak boleh digunakan pada tahun 2003. Ini diikuti dengan pemberhentian pengiriman senjata kepada Tentera Pembebasan Ireland (IRA).

Ia kemudian menghantar militan Palestin, Abu Nidal ke Baghdad. Gaddafi pernah menyatakan bahawa Israel dan Palestin patut bergabung dalam sebuah negara bernama Isratin.

Itu dari segi dasar luar. Dalam negara, Gaddafi mula memperkenalkan pembaharuan yang bersifat membuka negara itu kepada perniagaan luar. Libya mula menggalakkan industri pelancongan dan juga mempelawa pelabur asing.

Pemulihan hubungan AS-Libya ini merupakan langkah akhir menunjukkan bahawa kini Gaddafi bersama dengan negara-negara Arab lain yang berada di pihak As.

Tetapi di satu pihak pula, apa yang disebut oleh Washington tentang perjuangannya untuk menukar rejim dan menggalakkan demokrasi tanpa syarat bukanlah realiti sebenarnya.

Mereka hanya mahu dasar luar yang tunduk pada AS dengan pasaran terbuka kepada kapitalisme global. Kalau rejim tidak bertukar pun tidak mengapa.

Dapat dibayangkan andai kata Saddam Hussein menurut kehendak Washington, maka Parti Baath hingga ke hari ini masih memerintah Iraq.

Model jelas adalah China. Negara itu bersahabat dengan AS dalam dasar luar dan membuka ekonominya tanpa memerlukan perubahan kepada kuasa politik Parti Komunis China. Korea Utara patut mengikut jejak China, dan lebih baik lagi ialah seperti Libya. Maka AS pun tidak akan mengganggu.

Maka inilah yang diharapkan terhadap Iran. Teheran boleh terus mengamalkan sistem republik Islamnya tanpa gangguan AS, asalkan dasar luar dan pertahanannya menurut kehendak Washington.