Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 14 Mei 2006
SATU cadangan bagi menyelesaikan isu nuklear Iran ialah dengan meletakkan proses pengkayaan uranium negara itu di bumi Rusia. Maknanya, program nuklear Iran dibuat dalam wilayah Rusia, jadi ia berada di bawah pengawasan Moscow.
Teheran menunjukkan tanda setuju kerana ia tetap dapat meneruskan kehendaknya walaupun tidak berada di buminya. Di pihak lain pula, AS wajar menerimanya kerana proses itu berada dalam pengawasan Rusia.
Jika Washington boleh terima, maka krisis ini boleh berakhir. Tetapi adakah AS boleh terima kerana pada hakikatnya Iran dapat meneruskan programnya itu?
Apa yang berlaku antara AS, Rusia dan Iran amat kritikal kepada dunia. Rusia boleh menjadi orang tengah kepada konflik ini, malah ia boleh berkesan.
Tanpa penyelesaian, konflik ini akan mengheret dunia kepada keadaan yang tidak menentu dan menjadi penyebab kepada kenaikan harga minyak dunia.
Tetapi jika penyelesaian negatif yang berlaku iaitu peperangan, maka padah buruk akan menimpa dunia, bukan saja Iran tetapi juga AS.
Sejarah menunjukkan bahawa apabila tercetus peperangan, ia sukar hendak dihentikan dan terus menyusahkan dunia. Malah lebih mudah mengelak peperangan daripada berusaha untuk menghentikan setelah ia tercetus.
Perang di Iraq adalah contoh. Walaupun Saddam Hussein sudah kalah tetapi penderitaan, pembunuhan dan pertempuran terus berlangsung.
Apa yang berlaku di Iraq juga mendatangkan kesan kepada Iran. Dalam sejarah moden, Teheran bertembung dengan Baghdad. Bukan saja selepas tertubuhnya Republik Islam Iran. Sebelum itu, semasa zaman Shah Iran, ketegangan juga berlaku antara Teheran dan Baghdad.
Maka dari satu segi, pada masa ini berlaku ketegangan antara Teheran dengan Baghdad, dalam erti kata, Iraq sebagai negara yang berada di bawah pemerintahan AS.
Beberapa minggu lalu, penduduk Baghdad menyaksikan pembinaan kedutaan terbesar AS dunia di kota itu. Ia menunjukkan bukan saja AS mahu terus lama berada di Iraq tetapi juga kekuasaan sebenar di negara itu pada masa akan datang akan tetap pada Washington walaupun terdapat kerajaan demokratik di Baghdad.
Sememangnya Iran mampu menggunakan pengaruhnya di kalangan masyarakat Syiah di Iraq untuk memelihara kepentingan politiknya. Tetapi mereka tentu bimbang terhadap kehadiran AS di Iraq.
Di sinilah konteks krisis nuklear Iran. AS sudah bertambah kukuh di Asia Barat dan Iran mesti meningkatkan pertahanannya. Atau sekurang-kurangnya dapat menunjukkan sikap tegas terhadap sebarang niat hegemoni AS ke atas negara itu.
Tetapi pendirian ini digemari oleh Rusia. Secara tradisi sejarah, Rusia mesti hendakkan pengaruh ke atas Iran. Walaupun bukan menguasainya, tetapi Iran yang berkecuali dan tidak membenarkan kemasukan AS adalah sebahagian daripada kehendak geopolitik Iran sejak dari dulu.
Maka Moscow perlu berada di sebelah Iran. Sebab itu laporan-laporan yang menyatakan bahawa Rusia membantu program nuklear Iran yang dikeluarkan AS boleh disyaki benar.
Jika keadaan ini berlaku, maka mungkin konflik nuklear yang berlaku ini bukanlah antara AS dan Iran tetapi Washington dengan Moscow. Teheran hanya menjadi bidak dalam persaingan ini.
Di peringkat ini, apa yang ternyata Moscow tidak berhasrat untuk menguasai Iran. Yang menunjukkan tanda minat untuk menguasai Iran ialah AS.
Jika perang benar-benar berlaku di mana tentera AS memasuki Iran, maka senario yang dilihat ialah pencerobohan Washington seperti berlaku di Iraq.
Dalam sejarah moden, Iran tidak pernah dikuasai Rusia. Tetapi AS pernah berbuat demikian pada zaman Shah Iran. Bagaimanapun Iran mempunyai kepentingan nasionalnya sendiri dari segi mahu kemerdekaan dan kedaulatan. Sama ada mereka mahu melancarkan program nuklear, untuk keamanan atau peperangan, terpulang kepada mereka. Ini bukan soal tenaga atau senjata, tetapi hakikatnya ialah soal martabat dan maruah.
Iran mahu kemerdekaan penuh, tidak dikuasai oleh AS atau Rusia, walaupun kedua- duanya mempunyai keinginan strategik untuk mempengaruhnya.
Perjuangan nasionalisme moden pimpinan Ahmad Mossadegh pada tahun 50-an dahulu adalah di atas landasan kesedaran untuk merdeka.
Ketika itu, Iran yang dikenali sebagai Parsi baru keluar dari zaman feudal. Bagi Mossadegh yang mendapat sokongan rakyat melalui proses demokrasi, Iran perlu muncul sebagai negara merdeka, bebas dari Rusia mahupun British.
Dari segi ideologi sememangnya beliau mengambil aliran kiri kerana ia serasi dengan semangat nasionalisme berkecuali.
Tetapi di mana-mana negara pun dunia, nasibnya bergantung kepada kedudukan geografi. Geopolitik membentuk sejarah dan seterusnya menentukan masa depan negara.
Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, Iran menjadi rebutan antara Moscow yang mahu meluaskan pengaruhnya hingga ke Teluk Parsi dan Lautan Hindi, dan London yang menghalangnya.
Cita-cita Moscow zaman Czar diteruskan pada masa Soviet. Tetapi lepas Perang Dunia Kedua, peranan Britain digantikan dengan AS.
Maka Mossadegh hidup pada zaman nasionalisme kiri sedang muncul di negara-negara dunia ketiga. Mereka mahu kemerdekaan dan kedaulatan tetapi berkecuali bebas dari Washington dan Moscow. Mossadegh memiliki semangat sama dengan Gamal Nasser, Jawaharlal Nehru, Broz Tito dan Sukarno.
Tetapi bagi AS, apabila berkecuali bermakna pro-Moscow. Maka Mossadegh ditumbangkan dan digantikan dengan Shah Iran yang pro-AS. Hakikatnya ketika itu Washington sudah menguasai Teheran.
Moscow sudah kalah di Iran. Parti Komunis Iran, Tudeh yang pro-Moscow ditekan habis.
Pada tahun 70-an, bukan saja Iran dipengaruhi AS tetapi juga Pakistan. Kepungan ini menjadi faktor kepada kemasukan Soviet ke Afghanistan.
Terdapat banyak faktor yang mendorong kepada tercetusnya Revolusi Islam Iran tetapi sifat bangsa Parsi yang mahu merdeka perlu juga diambil kira.
Maka inilah sentimen yang ada pada Mahmoud, pendukung kuat Ayatollah Khomeini. Aliran kemerdekaan Mossadegh dan Khomeini dalam soal kemerdekaan negara adalah serupa. Bezanya Mossadegh berfahaman sekular kiri tetapi Khomeini berlandaskan agama Islam.
Tetapi kedua-duanya mencerminkan keadaan zaman masing-masing. Kalau pada zaman Mossadegh, beliau muncul bersama dengan kehadiran Nasser, Nehru dan Sukarno; Khomeini pula mencerminkan kebangkitan Islam yang ditandai di seluruh dunia Islam, dari Ikhwanul Muslimin di dunia Arab hingga ke dunia Melayu.
AS menggunakan kebangkitan ini untuk mengusir Soviet dari Afghanistan. Kekalahan Moscow ini boleh dikatakan sebagai turut menyumbangkan kepada kejatuhan komunisme.
Tetapi pada waktu yang sama, Afghanistan menyediakan satu ruang yang kemudian digunakan oleh kumpulan-kumpulan Islam yang menggunakan keganasan untuk menentang AS.
Kemunculan Taliban dan penglibatan Pakistan yang juga berkaitan dengan polisi di negara-negara Arab membawa kepada gejala keganasan bagi menentang AS.
Ketika Taliban yang dibantu Pakistan dan Arab Saudi menguasai Kabul, Mujahidin yang pernah dibantu AS menerima tekanan teruk hingga berundur ke sebelah utara negara itu.
Pemimpin Mujahidin, Ahmad Massoud pernah berkempen hingga ke Eropah dan mengingatkan AS bahawa jika Washington tidak menghalang Taliban, maka akhirnya ia akan memakan diri kuasa besar itu.
Massoud yang faham benar tentang ideologi Islam seleweng Taliban itu menjangkakan bahawa akan muncul pengganas yang menyalahgunakan Islam mengancam keselamatan AS sendiri.
Kesanggupan Al-Qaeda melancarkan serangan pengganas di luar kefahaman manusia telah diingatkan oleh Massoud lama sebelum berlaku peristiwa 11 September.
Tetapi AS tidak peduli, ia terus benarkan Pakistan dan Arab Saudi membantu Taliban. Sementara Massoud bersama kumpulan Mujahidin lain, dan bekas penyokong komunis mewujudkan Perikatan Utara. Kumpulan ini disokong oleh Rusia dan Iran yang faham tentang bahaya Taliban.
AS hanya masuk setelah peristiwa 11 September yang mengubah aturan politik dunia.
Bagaimanapun pertimbangan AS menjadi pelik apabila terdapat sentimen Islamofobia dengan menggolongkan semua gerakan politik Islam dengan fahaman Taliban dan Al- Qaeda.
Maka keganasan Al-Qaeda turut dikaitkan dengan Iraq Saddam Hussein dan Iran. Sedangkan Saddam dan Iran bercanggah dengan fahaman Taliban dan Al-Qaeda.
Semua kerajaan negara Islam di dunia menolak fahaman Taliban dan Al-Qaeda. Begitu juga dengan keseluruhan kumpulan Islam di dunia. Hanya segelintir kecil yang boleh dianggap sesat dan seleweng mendukung keganasan bunuh diri. Tetapi AS dan Barat tidak melihat dari sudut demikian. Akibatnya berlaku Islamofobia yang meluas. Maka pertimbangan sesat mendorong kepada peperangan di Iraq dan ancamannya terhadap Iran.
Perang ke atas Iraq juga mendorong persoalan betapa dasar unipolar AS mengancam kepentingan negara-negara lain. Maka Eropah pimpinan Perancis dan Jerman, berserta Rusia turut mempersoalkan kaedah AS.
Kini konflik nuklear di Iran membawa dimensi baru kepada kedudukan politik sejagat. Tekanan AS terhadap Iran dilihat di Moscow sebagai ancaman kepadanya.
Lebih-lebih lagi pada masa pemerintahan Vladimir Putin yang mempunyai pendekatan untuk mengembalikan kewibawaan Rusia sebagai kuasa besar.
Kedudukan Rusia sebagai kuasa besar tumbang semasa Soviet berpecah dan ia diteraju oleh Boris Yeltsin. Dari segi politik global, Rusia gagal mengekalkan kedudukannya sebagai pengimbang kepada AS. Ini terbukti dengan tindakan mudah AS untuk menyerang Iraq.
Tetapi pengaruh AS yang semakin kuat di negara-negara bekas Soviet di Asia Tengah, Caucasus dan Eropah Timur memencilkannya lagi. Sedangkan masalah Chechnya menyebabkan ia seolah-olah tidak bermaya.
Putin sedar tentang perkara ini dan sedikit demi sedikit perubahan dilakukan untuk mengembalikan kedudukan Rusia sebagai kuasa besar.
Cabaran untuk kembali kepada kedudukan itu amat besar. Kedudukan ekonominya yang masih lemah dengan masih terlalu bergantung kepada AS menjadikan Moscow tidak dapat keluar daripada kekangan kelemahan.
Berbanding dengan China, Rusia sudah ketinggalan. Tetapi Putin tetap berusaha. Suasana politik berhubung konflik nuklear Iran memberikan peluang baru dan cabaran bagi Moscow.
Segala faktor ini akan menyumbang kepada percaturan baru dalam politik Asia Barat dan dunia. Malah nada perang dingin mula disuarakan antara Moscow dan Washington.
Dalam keadaan begini, Iran boleh menjadi sahabat kepada Rusia. Untuk mengimbangi sebarang pengaruh baru Moscow, Iran perlu kukuhkan hubungan dengan negara-negara yang menentang hegemoni AS.
Baik di kalangan negara-negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia mahupun negara-negara Amerika Latin yang condong untuk menentang AS.
Akhirnya dapat disaksikan bahawa perkembangan yang berlaku tidak akan terlepas daripada geografi sesebuah negara yang dikaitkan dengan sejarah politik masing-masing. Inilah geopolitik yang menentukan masa depan dunia.