Oleh: Datuk Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 24 Mei 2006
TIBA-tiba sahaja perkataan Little Napoleon atau Napolean Kecil menghiasi dada-dada akhbar Malaysia.
Perdana Menteri dilaporkan mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan supaya jangan berlagak seperti Napoleon Kecil. Menariknya, kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih Napoleon dan tidak pemimpin-pemimpin dunia lainnya. Hanya beliau sahaja yang tahu.
Tetapi mengikut sejarah Napoleon dari segi fizikal merupakan antara rakyat Perancis yang pendek dan kecil tubuh badannya. Namun beliau mempunyai kepakaran dalam ilmu ketenteraan. Bagaimanapun, keegoan dan nafsu ingin menjadi orang besar menyebabkan Perancis dan negara-negara yang ditakluknya punah.
Kepada saya Napoleon Kecil ini terdapat di mana-mana, di pelbagai lapisan masyarakat asalkan mereka mempunyai kuasa.
Kurang dari tiga tahun lalu, Abdullah menggunakan cogan kata “bekerja dengan saya” dan bukan “bekerja untuk saya”. Kenapa nada beliau tiba-tiba berubah. Mungkin Perdana Menteri tidak puas hati tentang banyak perkara sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.
Lantaran itu ramai yang tertanya-tanya sama ada cogan kata “bekerja dengan saya” gagal mencapai matlamatnya.
Isu Napoleon Kecil ini juga mendapat perhatian beberapa orang kawan yang masih bertugas dan yang telah bersara. Ada yang mempertahankan penjawat awam dan ada juga bersetuju dengan Perdana Menteri.
Beberapa orang kawan meluahkan kekecewaan kerana sering diketepikan untuk kenaikan pangkat. Sedangkan ramai kawan-kawan yang sama kumpulan yang telah naik pangkat hingga ke peringkat JUSA.
Beberapa orang teman yang telah bersara pula menceritakan tentang nasib mereka selepas bersara. Layanan yang diterima amat menyedihkan. Seolah-olah mereka merupakan beban kepada masyarakat dan negara.
Apakah rungutan kawan-kawan yang tidak naik pangkat, yang tidak mendapat layanan sepatutnya berpunca dari tindakan Napoleon Kecil. Mungkin ia atau tidak.
Tetapi mungkinkah kelewatan-kelewatan dan kurang daya antara agensi kerajaan ada kaitan dengan beberapa peraturan lama yang dikira lapuk, tetapi masih digunakan lagi. Beberapa minggu lalu Perdana Menteri sendiri pernah menyentuh tentang isu peraturan-peraturan lapuk ini.
Banyak perkara yang boleh dikategorikan sebagai peraturan lapuk. Ketika kita mula memasuki era ICT dulu, kita sering diingatkan dengan e-kerajaan. Pentadbiran tanpa kertas. Segala-galanya pantas dan cepat. Tidak perlu lagi buang wang untuk kertas dan lain-lain.
Lantaran itu kerajaan memberi tumpuan kepada ICT. Ribuan pelajar diberi biasiswa di bidang tersebut oleh agensi-agensi kerajaan. Setiap kementerian mempunyai bahagian ICT sendiri dengan pegawai dan kakitangan cukup ramai. Hingga ada yang membuat empayar mereka sendiri.
Hasilnya, cuba layari laman web beberapa kementerian. Ada antara maklumat yang tidak dikemas kini berbulan-bulan lamanya.
Kelewatan
Beberapa tahun berselang. Rungutan-rungutan tentang kelewatan dan peraturan-peraturan lapuk seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri masih berlaku. Penggunaan kertas terus berleluasa. Malahan ada antara sesuatu aktiviti memerlukan penggunaan kertas (mengisi borang) yang cukup banyak.
Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pengisian borang yang semakin rumit dan memeningkan kepala. Bahasa dan istilah yang digunakan kadangkala terlalu sukar sehingga terpaksa diberi penjelasan lanjut (melibatkan kertas dan tenaga sia-sia). Apalah salahnya kalau digunakan bahasa yang mudah difahami.
Penggunaan bahasa yang sukar dan pelik ini semakin dirasai di sekolah-sekolah hari ini. Ada antara istilah sains, ekonomi dan terakhir sekali ICT yang dikira lebih mudah sekiranya menggunakan bahasa asal.
Apakah perkara seumpama ini juga disebabkan oleh Napoleon Kecil. Tetapi sebagai manusia biasa kita khususnya bila menjadi ketua cuba menunjuknunjuk kelebihan kita. Kita megah kalau orang lain tidak tahu apa yang kita maksudkan ataupun bila orang lain mengatakan kita bijak.
Lantaran itu tidak hairanlah kalau ada antara kita yang sentiasa cuba mereka-reka sesuatu yang kadangkala pelik dan menyusahkan orang lain semata-mata untuk menunjukkan kepandaian kita.
Bahasa adalah untuk dipraktikkan. Semasa di sekolah guru sering mengingatkan supaya menggunakan bahasa mudah supaya senang difahami oleh pembaca. Paling penting ketika menjawab soalan peperiksaan. Kalau pemeriksa pening kepala ketika membaca kertas jawapan, akibatnya nasib kurang baik.
Persoalannya kalau ada Napoleon Kecil mesti ada Napoleon Besar. Sayangnya Perdana Menteri tidak menyatakan dengan jelas. Mungkin beliau mahu rakyat yang semakin bijak ini memikirkannya.