Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 11 September 2006
APABILA dua kapal terbang penumpang merempuh runtuh dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York pada 11 September 2001, ia bukan saja memusnahkan simbol ekonomi tamadun Barat dan imej kebal Amerika Syarikat, ia juga menusuk maruah umat Islam.
Orang Islam boleh membuat pelbagai analisis terhadap apa jua yang berkaitan dengan peristiwa 11 September dengan mengaitkannya pada kezaliman pihak Barat terhadap dunia khususnya umat Islam.
Dari sudut sejarah, peristiwa ini dikaitkan dengan Perang Salib dipanjangkan hingga kepada masalah Palestin, minyak dan sikap Barat yang menzalimi umat Islam di seluruh dunia.
Seperti mana manusia biasa, umat Islam juga pastinya cenderung untuk mempertahankan diri dan menyalahkan pihak lain. Seperti juga orang Barat dan Yahudi. Mereka juga mempertahankan sikap pihak sendiri dan menyalahkan umat Islam.
Sikap begitu dapat dijangkakan tetapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Penyelesaian masalah hanya dapat dilakukan apabila mana-mana pihak berani melihat kesilapan dan kelemahan di pihak diri sendiri.
Justeru dalam memperingati peristiwa 11 September, sikap yang berani bagi umat Islam adalah untuk menilai dari sudut kelemahan dan kesilapan diri sendiri. Ini tidak bermakna pihak Barat itu betul.
Tetapi kaedah muhasabah ini mempunyai kelebihan dan mampu menjadi titik mula bagi cara fikir yang berbeza dan mungkin dapat merintis jalan lain bagi mencari penyelesaian masalah.
Melihat sejarah, dapat disenaraikan betapa umat Islam telah melakukan kesilapan demi kesilapan sejak pada zaman kemuncak pemerintahan Khalifah Uthmaniah di Istanbul, hinggalah kepada kejatuhannya, kegagalan mereka mempertahankan wilayah hingga Palestin terlepas ke tangan Britain.
Pihak Islam iaitu pemerintah-pemerintah Arab yang mempunyai kuasa di sekitar Asia Barat terus melakukan kesilapan demi kesilapan hinggalah Israel dapat diwujudkan dan menakluki Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis.
Ia tidak terhenti di situ, kesilapan umat Islam terus berlaku dalam pengurusan sumber minyak. Baik di Baghdad, Riyadh, Teheran atau kota-kota negara Teluk, pengurusan minyak mengakibatkan keadaan yang resah dan tidak seimbang di kalangan penduduk.
Bukan itu saja, kesilapan dan kelemahan kerajaan Islam di tempat lain juga akhirnya berkait dengan Asia Barat dan mendatangkan kesan yang tidak terbayang oleh manusia sejagat apabila berlaku peristiwa 11 September.
Kegagalan Raja Afghanistan, Zahir Shah dalam mempertahankan negaranya daripada penyusupan komunis berakhir dengan kacau-bilau yang dahsyat.
Maka akhirnya berlakulah jihad di Afghanistan. Tetapi setelah tumbang komunis, giliran pihak Mujahidin pula yang melakukan kesilapan.
Ia merintis kepada penguasaan oleh Taliban. Golongan ini yang dibantu oleh negara-negara asing juga melakukan kesilapan.
Gabungan kesilapan yang berlaku di Afghanistan, Pakistan, Arab Saudi dan negara-negara Islam yang lain akhirnya melahirkan rangkaian Al-Qaeda.
Kesilapan
Begitu juga dengan kesilapan besar Saddam Hussein. Daripada melancarkan perang ke atas Iran, menakluki Kuwait dan akhirnya membuka ruang bagi pencerobohan AS ke atas negaranya.
Kesemuanya itu membuka medan bagi percambahan rangkaian pengganas di negara yang malang itu.
Apakah kelemahan dan kesilapan umat Islam? Terdapat sebilangan besar umat Islam yang berpegang teguh pada agama memberi kesimpulan yang simplistik. Iaitu umat Islam tidak berpegang kepada ajaran Islam sebenar.
Kepercayaan ini membawa kepada penubuhan gerakan Islam yang disifatkan sebagai fundamentalis. Ia sampai kemuncak kepada penubuhan sistem pemerintahan seperti di Iran.
Tetapi cara ini juga tidak menyelesaikan masalah. Apabila disebut bahawa umat Islam perlu mengikuti ajaran Islam untuk kuat dan berjaya, maka bayangan yang timbul adalah pelaksanaan syariah, dalam erti kata undang-undang dan hukum-hakam.
Sedangkan ia tidak semudah itu. Pelaksanaan undang-undang dan hukum-hakam tidak menjamin kejayaan dan kekuatan. Ajaran Islam juga mempunyai teras yang lebih penting dan jelas, iaitu keadilan.
Pemerintahan yang adil pula bermaksud bukan dalam erti kata undang-undang tetapi soal pembelaan kepada rakyat, khususnya dari segi ekonomi dan kemudahan kehidupan seharian.
Cuba menilai setiap negara-negara Islam, pastinya soal keadilan sosial ini tidak benar-benar dapat ditangani dan diatasi.
Bukan mudah untuk mengatasinya kerana ia memerlukan kepimpinan yang cemerlang. Untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkesan pula, ia memerlukan proses atau institusi politik yang begitu demokratik hingga dapat memunculkan pemimpin terbaik melalui ambilan daripada bilangan warganegara yang luas.
Di sinilah timbul gerakan demokrasi dan masyarakat sivil atau madani bagi negara-negara Islam yang menjadi kepercayaan sebilangan umat Islam terdidik daripada ilmu pengetahuan berpunca Barat.
Bagi mereka, masalah umat Islam ini terletak pada kelemahan ilmu pengetahuan dalam erti kata yang luas.
Maknanya, kalaulah umat Islam mempunyai ilmu pengetahuan setanding dengan Barat, mungkin muncul masyarakat yang maju, makmur dan demokratik – iaitu seperti Barat.
Pandangan ini turut dipegang oleh banyak pemikir Barat. Mereka juga melihat betapa masyarakat Islam yang mundur dari segi ilmu pengetahuan membawa kepada kelemahan ekonomi dan kegagalan amalan demokratik.
Tetapi adakah jika umat Islam berpakat dengan kepimpinan yang cemerlang bangkit dan meraih ilmu pengetahuan akhirnya akan dapat mengatasi kelemahan dan kegagalan?
Melihat daripada perspektif peristiwa 11 September, terdapat kecenderungan memahami dunia dari sudut Barat lawan Islam.
Tetapi hakikatnya tidak demikian. Dunia termasuk umat Islam mesti melihat jauh melangkaui peristiwa 11 September.
Dunia Islam dan Barat adalah satu. Kemajuan dan kekuatan Barat berdiri di atas kelemahan umat Islam.
Tamadun Barat digerakkan oleh minyak dunia Islam. Untuk menguasainya, dunia Barat terpaksa mengetepikan nilai-nilai demokrasi dan kebebasan yang diamalkan di negara sendiri.
Umat Islam wajar membebaskan diri daripada peristiwa 11 September dan melihat tamadun Barat sebagai sebahagian daripada mereka.
Hanya dengan ilmu pengetahuan dalam erti kata yang luas, masyarakat Islam dapat melahirkan kepimpinan yang baik dan cemerlang. Dalam keadaan sekarang, ilmu itu perlu ditimba dari Barat.
Dengan memiliki kepandaian kepimpinan, pemerintahan dan pengurusan, barulah umat Islam kurang melakukan kesilapan. Maka segala punca masalah seperti Palestin dapat dihindarkan jika umat Islam memiliki kekuatan ilmu pengetahuan.