Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 25 Januari 2007
KEMENANGAN Keith Ellison dalam pilihan raya Kongres Amerika November lalu menempa sejarah dan kontroversi. Dari segi sejarah beliau merupakan orang Islam pertama pernah memenangi kerusi ke Dewan Perwakilan. Beliau mengundang kontroversi ekoran tindakannya menggunakan al-Quran untuk mengangkat sumpah jawatan 4 Januari lalu.
Majlis angkat sumpah tidak rasmi itu disaksikan antara lain keluarga terdekat dan wakil-wakil dari konstituensinya.
Paling menarik Ellison menggunakan al-Quran yang berusia lebih 200 tahun kepunyaan Thomas Jefferson, Presiden Amerika Syarikat yang ketiga (1801-09). Al-Quran tersebut terjemahan dalam bahasa Inggeris merupakan antara 6,000 buku dan bahan bacaan koleksi Thomas Jefferson.
Sejarah al-Quran tersebut juga amat menarik. Dicetak dalam dua jilid kira-kira tahun 1750-an, al-Quran ini beserta dengan bahan bacaan lain dijual oleh Thomas Jefferson kepada Library of Congress yang baru ditubuhkan setelah perpustakaan beliau musnah apabila British menyerang Washington pada tahun 1812. Sebahagian besar daripada koleksi ini pula musnah apabila Library of Congress terbakar pada tahun 1851.
Bagaimanapun, dengan kuasa Allah al-Quran ini berjaya diselamatkan. Asal usul al-Quran ini juga masih menjadi tanda tanya.
Ramai umat Islam di Amerika tidak mengetahui tentang kewujudan al-Quran ini. Ellison sendiri mengetahuinya daripada pihak berkuasa Library of Congress ketika beliau menyatakan hasrat menggunakan al-Quran semasa mengangkat sumpah.
Beberapa pihak mengecam Keith Ellison kerana menggunakan al-Quran ketika mengangkat sumpah. Kecaman paling keras datangnya dari ahli Dewan Perwakilan Vigil Goode dari parti Republikan. Goode mewakili konstituensi dari negeri Virginia dan secara kebetulan Thomas Jefferson juga mewakili konstituensi yang sama lebih dua ratus tahun lalu.
Goode mendakwa tindakan Ellison (menggunakan al-Quran) merupakan bukti tentang perlunya reformasi imigresen bertujuan menyekat orang-orang Islam memasuki Amerika. Tanpa sekatan ini lebih ramai orang Islam akan memenangi kerusi kongres dan menuntut untuk menggunakan al-Quran.
Ternyata tidak semua rakyat Amerika menyenangi kenyataan seumpama itu. Sekumpulan 20 orang pemimpin agama mewakili Kristian, Yahudi dan Islam melancarkan bantahan secara dalam talian mendesak Goode supaya menarik balik bangkangannya.
Bantahan tersebut antara lain menyatakan hak rakyat Amerika mengamalkan kepercayaan dan agama masing-masing. Rakyat Amerika tanpa mengira warna kulit dan agama boleh dipilih dan mengangkat sumpah jawatan menggunakan apa jua jenis kitab suci berdasarkan agama masing-masing. Tambahan pula ramai rakyat Amerika termasuk kulit putih yang memeluk agama Islam seperti Ellison.
Ellison, 43, keturunan Afro-Amerika sebelum memenangi kerusi ke Dewan Perwakilan Amerika menjadi ahli Dewan Perundangan Negeri Minnesota. Berkelulusan undang-undang beliau memeluk Islam ketika belajar di universiti.
Kemenangan Ellison dengan meraih lebih dari 60 peratus undi dari konstituensi berbilang kaum dianggap satu trend baru dalam politik Amerika. Ianya juga merupakan kesinambungan American dream.
Beliau memilih mengangkat sumpah menggunakan al-Quran untuk membuktikan bahawa perbezaan agama bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti.
Ternyata Ellison banyak menempa sejarah. Selain daripada orang Islam pertama menjadi ahli Dewan Perwakilan dan menggunakan al-Quran mengangkat sumpah jawatan, beliau juga merupakan calon Afro-Amerika pertama memenangi kerusi Dewan Perwakilan dari Minnesota.
Dewasa ini terdapat 42 orang ahli Dewan Perwakilan dari kaum Afro-Amerika dan seorang senator - Barack Obama.
Apa yang menarik dalam kontroversi ini ialah tuntutan supaya Amerika mengetatkan kemasukan orang Islam tidak ada kena-mengena dengan Keith Ellison. Susur galur keluarganya bermula pada tahun 1741, lebih daripada 30 tahun sebelum Amerika mencapai kemerdekaan.
Dalam lain perkataan keturunan Ellison telah terpahat di Amerika Syarikat lebih dari 200 tahun.
Jelaslah Ellison bukan pendatang baru di Amerika. Malahan jika bandingkan dengan Barack Obama yang beberapa hari lalu mengisytiharkan dirinya sebagai calon Presiden 2008 dari parti Demokrat.
Faktor-faktor Ellison memilih al-Quran bersejarah dan dipunyai oleh Thomas Jefferson masih menjadi tanda tanya. Apa yang jelas Thomas Jefferson merupakan pendraf asal dan salah seorang yang menandatangani Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat 4 Julai 1776. Deklarasi tersebut terkenal dengan ayat all men are created equal.