Rancangan akhir tundukkan Iraq

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 14 Januari 2007


RABU lalu, Presiden George W. Bush mengumumkan penghantaran tambahan 21,500 tentera Amerika Syarikat (AS) sebagai tambahan kepada 132,000 yang sudah berada di Iraq.

Matlamatnya ialah untuk menundukkan penentang- penentang AS di Iraq dan menyerahkan urusan keselamatan kepada tentera Iraq, iaitu sebelum kuasa besar itu meninggalkan negara itu.

Buat masa ini hanya tiga wilayah Iraq berada di bawah penguasaan tentera Baghdad: Najaf, Munthanna dan Dhi Qar, kesemuanya kawasan Syiah. Tujuh lagi wilayah termasuk Basra berada dalam kekuasaan Syiah.

Apabila disebut berada di bawah Syiah, ia belum lagi bermakna terletak pada penguasaan Baghdad.

Sementara di sebelah utara, iaitu kawasan Kurdis, golongan itu yang menguasainya.

Tumpuan tentera AS adalah kepada 18 wilayah termasuk Anbar di mana menjadi pusat kegiatan penentang-penentang tentera AS.

Satu briged tentera AS dengan mempunyai 4,000 anggota akan dihantar ke wilayah Anbar untuk menundukkan kebangkitan militan daripada kalangan Sunni. sasarannya ialah bulan November ini.

Selepas berjaya menundukkan penentang-penentang itu, AS berharap akan dapat menyerahkan kesemua wilayah Iraq kepada tentera Baghdad. Mungkin hanya terdapat sekumpulan tentera Iraq bagi mempertahankan kepentingan AS di negara itu.

Jadi, apa yang dilakukan oleh AS adalah satu cara penyelesaian berbentuk tentera, dan bukannya politik. Itulah pendapat parti Demokratik yang menentang Bush. Bagi mereka, cara penyelesaiannya ialah politik.

Parti Demokratik mahukan tentera AS terus berundur dan membiarkan kerajaan Iraq menyelesaikan masalah mereka sendiri, dan mengakhiri perang saudara.

Masa sememangnya suntuk bagi Bush. Beliau perlu mencapai kejayaan supaya apabila pilihan raya presiden yang akan datang kelak boleh memberi peluang kepada calon daripada parti Republikan.

Bush yang sudah dalam penggal kedua tidak lagi boleh bertanding dan banyak beranggapan bahawa kali ini, rakyat AS akan memilih calon Demokratik kerana kecewa dengan kegagalan Washington di Iraq.

Petanda kebangkitan Demokratik jelas dengan kemenangan parti dalam pilihan raya Kongres baru-baru ini.

Dalam keadaan ini, wajarlah dibuat suatu andaian bahawa AS sebenarnya sudah gagal. dan akan gagal lagi. Maknanya Bush dan parti Republikan sudah gagal, seperti gagalnya mereka di Vietnam.

Justeru, yang akan membersihkan ialah parti Demokratik dan calon presidennya kelak. Mungkinkah Hillary Clinton? Itu cerita lain.

Tetapi sistem politik AS menyediakan proses seperti itu. Rakyatnya memilih parti Republikan dan calon presidennya iaitu Bush untuk menakluki Iraq dan menyelesaikan masalah daripada Saddam Hussein.

Saddam pun sudah digantung. Maka tugasnya terhadap Iraq sudah selesai. Kekacauan dan porak-peranda yang berlaku di Iraq diserahkan kepada pihak lain untuk membersihkannya.

Maka rakyat AS akan menyerahkan tugas itu kepada parti Demokratik dan calon presidennya. Mereka akan membersihkan kekotoran yang ditinggalkan oleh Bush.

Tetapi mampukah parti Demokratik? Apa yang telah dilakukan oleh Bush dan parti Republikan memberikan impak besar dan berpanjangan.

Pada masa ini kekuatan dan kemahiran tentera AS akan digunakan untuk menundukkan pejuang-pejuang Iraq khususnya di kawasan Sunni.

Adakah ia akan berjaya sepenuhnya? Kalau tidak pun 100 peratus, adakah ia dapat sekurang-kurangnya dapat mengecilkan penentangannya?

Pada peringkat sekarang, daripada pandangan jauh, dapat ditanggapi bahawa AS tidak akan berjaya sepenuhnya. Mungkin ia akan memperoleh sedikit kejayaan, tetapi tidak sepenuhnya.

Maka ketika penggal kepresidenan berakhir, Bush tidak akan menyelesaikan masalahnya. Ia terpaksa menyerahkan kekuasaan kepada pihak parti Demokratik, iaitu andai kata, mereka menang pilihan raya presiden kelak.

Tetapi apakah parti Demokratik akan lakukan? Seperti kata Clinton, mereka akan mencari penyelesaian politik. Maka ini dapat dibayangkan bahawa kaedah ketenteraan akan dihentikan.

Mereka akan menarik balik tentera AS, tidak kiralah sama ada tugas mereka menundukkan Iraq selesai atau tidak.

Tanpa tentera AS, dapat dibayangkan bahawa Iraq terbuka kepada perang saudara. Maka AS yang dikuasai parti Demokratik akan mencari jalan penyelesaian politik. Iraq akan terus terheret dengan kancah peperangan tiga segi: Sunni, Syiah dan Kurdis.

Merdeka

Golongan Kurdis berazam untuk merdeka dan menubuhkan Kurdistan. Tetapi cita-cita mereka akan dihalang oleh Baghdad yang kini dikuasai oleh golongan Syiah. Sementara dominasi golongan Syiah dalam kerajaan Baghdad ditentang oleh pejuang-pejuang Sunni, yang pelbagai jenis.

Mereka pula disokong dan dibantu oleh negara-negara Sunni lain khususnya Arab Saudi.

Iran pula akan campur tangan dan memihak kepada Baghdad dan golongan Syiah.

Pertembungan sengit pasti berlaku.

Peperangan akan berlanjutan dan juga tidak selesai. Rakyat AS pula akan melihat parti Demokratik juga gagal menyelesaikannya.

Tetapi selagi Iraq tidak mencabar kepentingan AS, maka rakyatnya tidak akan berasa apa-apa. Seperti sepanjang pemerintahan Presiden Bill Clinton dahulu.

Sepanjang pemerintahan Clinton, Saddam dibiarkan kerana dia tidak mengganggu AS secara langsung.

Banyak faktor yang dikatakan mendorong kepada pencerobohan oleh Bush ke atas Iraq yang berlaku sekarang.

Tetapi apa yang ternyata, ia dapat dilakukan dengan sokongan rakyat AS setelah berlaku peristiwa 11 September 2001. Atas nama perang menentang keganasan, AS menceroboh dan mengubah rejim di Afghanistan dan Iraq. Saddam menjadi kambing hitam kepada peristiwa 11 September.

Perang menentang keganasan kini meluas dengan meliputi banyak negara termasuk yang terbaru iaitu ke atas Somalia.

AS mendakwa Al-Qaeda berada di Somalia. Tetapi mereka juga ramai di Iraq dan masih berada di Afghanistan.

Iraq yang terus bergolak pasti tidak mendatangkan keselamatan kepada AS. Selagi tidak ada serangan yang besar ke atas AS, Iraq akan dibiarkan dengan pergolakan dan kesengsaraan, kerana ia tidak mengancam kuasa besar itu.

Tetapi andai kata, ada satu lagi ancaman keselamatan kepada AS seperti peristiwa 11 September, maka mungkin Iraq sekali lagi diberi perhatian dan dicerobohi.

Bagaimanapun, cuba fikir sudut lain di mana Al-Qaeda atau mana-mana kumpulan tidak lagi berupaya menentang AS. Maka tidak akan ada lagi pencerobohan seperti ke atas Afghanistan dan Iraq,

Kecuali cuba lihat senario di Somalia. Walaupun didakwa bahawa Al-Qaeda berpangkalan di situ, tetapi apa yang mendorong kepada andaian demikian hingga membawa kepada serangan dan pencerobohan AS ke atas negara itu adalah apabila kumpulan yang dinamakan oleh Washington sebagai Islamis memegang kuasa.

Mereka yang digelar sebagai Kesatuan Mahkamah Islam (ICU) menawan Mogadishu daripada kerajaan sementara. Ini yang mendorong kepada usaha AS untuk menceroboh Somalia

Pada mulanya digunakan tentera Habsyah, tetapi kemudian ia sendiri memasukinya atas alasan untuk menundukkan Al-Qaeda. maka dikaitkan ICU dengan Al-qaeda yang keseluruhannya digelar sebagai Islamis.

Senario yang serupa boleh berlaku di Iraq. Andai kata, Baghdad jatuh ke tangan Islamis, sesuatu yang tidak mustahil dan kerajaan dukungan AS hari ini pun dianggotai sebahagiannya daripada apa yang boleh dinamakan sebagai Islamis.

Islamis Syiah ini pula dikaitkan dengan Iran yang sememangnya menjadi musuh AS. Atau katakanlah golongan Sunni berjaya menawan Baghdad.

Oleh kerana sifat mereka yang Sunni, maka dikaitkan pula dengan Al-Qaeda. Jika ini berlaku, AS mungkin masuk lagi ke Iraq.

Tetapi keadaan ini mungkin tidak berlaku pada zaman presiden daripada kalangan parti Demokratik. Mungkin suasana politik di AS berubah dengan rakyatnya menganggap bahawa pihak Demokratik terlalu lemah untuk menghadapi keganasan. Imej Demokratik sememangnya begitu.

Maka apabila parti Republikan menang atas pilihan rakyat AS yang mahu tindakan tegas kepada keadaan politik Baghdad yang berubah, maka sekali lagi AS akan melancarkan serangan ke atas Iraq.

Namun begitu suasana sekarang untuk melihat golongan Islamis Sunni menguasai Baghdad adalah sukar. Ini kerana imbangan yang ada dari pihak Syiah.

Akan tetapi andai kata, kedua-dua golongan yang dinamakan barat sebagai Islamis, baik daripada kalangan Sunni mahupun Syiah bersatu dan mendapat sokongan Iran.

Maka keadaan ini membawa kepada perubahan politik yang berbeza. pada masa-masa akan datang dapat dilihat bahawa Iraq akan terus bergolak dalam perang saudara.

Harapan penyokong-penyokong demokrasi di dunia Barat yang mahu melihat sebuah Iraq baru yang demokratik adalah semakin menuju kepada kehampaan.

Bush akan meninggalkan Iraq bukan sebagai sebuah negara demokratik dan membangun, tetapi sebuah negara yang hancur dengan perbalahan antara mazhab.

Dalam keadaan ini, semboyan demokrasi yang dilaungkan oleh AS untuk Iran dan Syria tidak akan dapat diterima dengan baik oleh rakyat kedua-dua negara.

Tidak berkesan

Akhirnya senario yang ditinggalkan oleh Bush ialah keadaan yang terus tidak berubah di Iraq, Palestin. Lebanon dan Syria.

Maka persoalan akan timbul, adakah sememangnya AS mahu mengekalkan banyak bahagian dunia seperti yang ada sekarang? Peperangan dan penderitaan di dunia terus berkekalan dan kepimpinan AS tidak berkesan.

Melihat bagaimana Eropah dapat mengamalkan demokrasi dan membangun dari segi ekonomi dan sosial, maka menjadi kesedihan bagi manusia di seluruh dunia untuk menyaksikan perkara yang sama tidak berlaku di Asia.

Dalam hal ini, bukan saja Bush dan parti Republikan telah gagal, tetapi kepimpinan dunia oleh Washington wajar dipersoalkan.

Melihat segala isu keselamatan di dunia, maka sukar untuk memahami bahawa keamanan apatah lagi demokrasi dapat diwujudkan jika masalah Palestin tidak dapat diselesaikan.

Palestin dan pendudukan Israel merupakan kunci kepada masalah keselamatan yang utama di dunia.

Kalau semasa Perang Dingin, banyak pihak melihat bagaimana kunci keselamatan di dunia berada pada sistem menindas yang diamalkan oleh Moscow, maka kali ini perhatian perlu diberikan kepada rejim Tel Aviv.

Kejatuhan Kesatuan Soviet telah mengubah paradigma konflik dunia khususnya di Eropah dan kini mereka menikmati demokrasi dan kemakmuran.

Kini, andai kata, masalah Palestin dapat diselesaikan, maka perubahan paradigma boleh berlaku dan memberi kemakmuran kepada Asia Barat.

Penyelesaian Palestin boleh membawa kepada terlerai kekusutan yang ada di Lebanon, Syria, Iraq dan Iran. Barulah boleh disebut idealisme muluk-muluk seperti demokrasi di Iraq, Syria dan Iran.

Tetapi untuk menyelesaikan masalah Palestin pula, kuncinya berada di minda rejim Tel Aviv dan lobi Yahudi di New York. Kebanyakan daripada mereka menyokong parti Demokratik.

Maka akhirnya manusia hanya mampu menunggu pemimpin-pemimpin berjiwa besar yang terus tidak kunjung tiba.