Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Utusan Malaysia 7 Januari 2007
PERTAMA kali penulis melawat Iraq iaitu pada tahun 1984, Saddam Hussein sedang berada di kemuncak pemerintahannya. Ketika itu, beliau sedang bersiap-siap menyediakan Baghdad untuk menjadi tuan rumah Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Badan dunia itu telah memilih beliau sebagai pengerusi NAM dan ia merupakan pencapaian Iraq bukan saja sebagai pemimpin dunia Arab yang sedang membangun pesat, tetapi juga berazam menjadi aktif dalam politik dunia.
Saddam telah membina pelbagai infrastruktur dan monumen-monumen hebat di Baghdad sebagai menyambut para perwakilan anggota-anggota NAM. Antaranya ialah lapangan terbang baru bernama Lapangan Terbang Antarabangsa Saddam, lebuh raya bertingkat memasuki ke bawah tanah menuju ke dewan persidangan antarabangsa. Di depan dewan itu, dibangunkan sebuah hotel lima bintang bernama Hotel Rasheed, mengambil sempena nama Khalifah Abasiah, Harun Al-Rashid.
Penulis menaiki kapal terbang Iraq Air yang terbang terus dari Kuala Lumpur ke Baghdad. Kehebatan Lapangan Terbang Antarabangsa Saddam menyerlahkan kekayaan minyak Iraq.
Dari lapangan terbang hingga ke Hotel Rasheed, dapat dilihat bangunan-bangunan hebat yang seni binanya mencerminkan ideologi Baathis, iaitu gabungan nasionalisme, Arabisme, modenisme, militarisme, sosialisme dan megalomania Saddam sebagai seorang diktator, yang bercita-cita besar. Iaitu untuk mengembalikan kegemilangan kekuasaan politik Arab dalam dunia moden melalui disiplin ketenteraan.
Saddam ingin menggantikan Gamal Nasser sebagai pemimpin utama dunia Arab. Setelah Mesir mengiktiraf Israel dan dipecat daripada Liga Arab, maka Saddam berazam mahu menjadikan Iraq sebagai negara yang memimpin dunia Arab.
Biarlah Baghdad kembali pada zaman Khalifah Abasiah di mana ia menjadi kota politik utama dunia Arab. Saddam mahu mewarisi visi yang disediakan oleh Gamal sebelumnya iaitu penubuhan sebuah kuasa besar menggabungkan semua negara Arab.
Sememangnya andai kata negara-negara Arab bersatu di bawah kedaulatan tunggal, ia mampu muncul sebagai kuasa besar, lebih-lebih lagi dengan kehadiran minyak di wilayah Arab.
Gamal berjaya di satu peringkat apabila ia berusaha menubuhkan Republik Arab Bersatu (UAR) bagi menggabungkan negara-negara Arab. Beliau setakat berjaya menyatukan Mesir, Syria dan Yemen Selatan. Bagaimanapun, usaha ini gagal kerana keengganan pemimpin- pemimpin Arab itu untuk menerima kedaulatan Kaherah. Namun begitu, idea pan-Arab terus tersemai di Sudan, Libya, Syria dan juga Iraq.
Bagaimanapun, Saddam berpendapat bahawa kegagalan Gamal adalah kerana kelemahan tentera Mesir. Kaherah gagal dalam peperangan untuk membebaskan Palestin daripada Israel. Malah wilayah-wilayahnya di Sinai ditakluk rejim Tel Aviv. Bagi Saddam, untuk mendapatkan penerimaan bangsa Arab, seseorang pemimpin Iraq mesti membuktikan kekuatannya sendiri. Baginya Iraq yang mempunyai kekayaan minyak mampu berbuat demikian. Langkah pertamanya ialah membina kekuatan tenteranya.
Jika tentera Iraq kuat, maka barulah ia mampu bukan saja mempertahankan negara itu tetapi membebaskan wilayah-wilayah Arab yang diduduki oleh rejim Tel Aviv. Baginya, tugas utama sesebuah negara Arab yang kuat ialah membebaskan Palestin. Iraq mendukung perjuangan Palestin dan kumpulan yang berkongsi fahaman dengannya ialah Barisan Pembebasan Rakyat Palestin (PFLP) yang turut menganggotai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Beliau memberikan bantuan dan kemudahan markas untuk PFLP supaya beroperasi di Baghdad. Rejim Tel Aviv menganggap PFLP sebagai kumpulan gerila pengganas, sama taraf dengan Hamas dan Jihad Islam.
Tetapi dalam pemikiran strategik Saddam, dunia Arab akan terus lemah dan tidak mampu bersatu jika terdapat negara-negara Arab yang bekerjasama dengan musuh mereka. Kepercayaan Saddam terhadap keutamaan kekuatan tentera mendorongnya berusaha untuk membangunkan senjata nuklear. Tetapi belum sempat ia beroperasi, jet Israel menyerang lojinya di Ossirak.
Bagi Saddam, ada tiga musuh bangsa Arab. Pertama Yahudi kerana merampas wilayah Palestin. Kedua, Parsi, yang dianggap sebagai musuh tradisi orang Arab. Ketiga, Kurdis yang dianggap cuba melemahkan dunia Arab dengan menuntut pemisahan daripada Iraq.
Perkiraannya ialah sesiapa yang menyokong Yahudi pastinya dianggap musuh. Penyokong utama Israel ialah Amerika Syarikat (AS). Sementara itu, negara-negara Arab yang bersekutu dengan AS dianggap membantu Israel.
Bagi Saddam, peperangan antara orang Arab dan Parsi telah berlaku sejak dahulu lagi. Ketika umum menganggap perang Al-Qadissiah yang menyaksikan kekalahan orang Parsi di tangan tentera Islam pada zaman Khalifaur Rasyidin sebagai kejayaan Islam, Saddam pula menyifatkannya sebagai kemenangan bangsa Arab mengatasi Parsi.
Beliau tidak mengiktiraf wilayah Khuzestan yang terdapat rakyat Iran berbahasa Arab sebagai milik Iran. Baginya, Khuzestan yang dipanggil sebagai Arabestan adalah milik dunia Arab, melalui Iraq. Sememangnya dalam pemahaman orang Arab, identiti Arab terletak kepada bahasa, dan bukannya agama dan keturunan.
Apabila berlaku Revolusi Islam di Iran, Saddam melihatnya sebagai ekspresi kebangkitan Parsi. Baginya, Iran di bawah kepimpinan Ayatullah Khomeini mengancam dunia Arab sementara Iran melihat Iraq di bawah Saddam perlu dibebaskan. Bagi mereka Iraq adalah negara yang patut diperintah oleh golongan Islam Syiah, dan bukannya nasionalis kiri seperti Saddam.
Maka peperangan Iran-Iraq seperti tidak boleh dielakkan. Di satu pihak, Khomeini mahu membebaskan Iraq daripada cengkaman diktator zalim. Bagi Saddam, Iran sebagai sebuah negara Parsi mahu menakluki Iraq, dan orang Arab Syiah yang menyokong Teheran dianggap pengkhianat.
Maka berlakulah peperangan yang mengorbankan banyak orang Islam di Iraq dan di Iran. Saddam meminta bantuan dari negara-negara Arab lain dengan menyifatkan negaranya sebagai medan depan mempertahankan dunia Arab daripada pencerobohan Parsi.
Banyak negara Arab termasuk negara-negara Teluk yang membantu beliau. Bukan saja mereka tetapi juga AS dan Eropah Barat.
Tetapi kedua-dua Iran dan Iraq adalah anggota NAM dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Akibat peperangan itu, NAM membatalkan cadangan asal untuk menjadikan Baghdad sebagai tuan rumah sidang kemuncaknya dan Saddam terlepas peluang menjadi Pengerusi NAM.
Ketika penulis berada di Baghdad itu, bangunan konvensyen sidang kemuncak NAM tersebut dijadikan tempat Persidangan Antarabangsa Rakyat Pendukung Perdamaian. Saddam mengundang pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia yang mahukan perang Iran-Iraq dihentikan.
Maka datanglah perwakilan dari seluruh dunia, kebanyakannya kumpulan-kumpulan yang menjadi pembangkang di negara masing-masing, termasuklah NGO Red Indian dari AS.
Walaupun pada mulanya Iraq mahu merampas Khuzestan daripada Iran, tetapi ketika itu Saddam sudah berasa tidak mampu dan mahu menghentikan peperangannya dengan Iran. Sebaliknya Iran yang berasa lebih bersemangat dengan revolusi dan pengunduran tentera Saddam mahu terus berperang hingga parti Baath tumbang.
Hanya beberapa tahun kemudian apabila didapati Iran juga tidak dapat menjatuhkan Saddam, dan warga Iran sudah banyak terkorban, Khomeini menghentikan peperangan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘‘menelan ubat pahit.”
Atas sebab-sebab agama, simpati penulis ketika itu adalah pada Iran walaupun sedang berkunjung ke Iraq atas undangan Saddam. Penulis dibawa melawat Najaf dan Karbala untuk melihat sendiri orang Syiah. Ketika di Masjid-Makam Imam Ali, kelihatan gambar-gambar Saddam sedang berdoa menghiasi penjuru-penjuru masjid. Kelihatan juga dari semasa ke semasa keranda dibalut bendera Iraq diusung masuk ke masjid. Mereka adalah tentera Iraq yang bermazhab Syiah terbunuh dalam peperangan dengan Iran.
Bagi penulis, kesilapan besar Saddam adalah melancarkan peperangan ke atas Iran. Sementara kesilapan Khomeini adalah tidak menghentikan peperangan dengan Iraq ketika Saddam telah menjerit mahu menghentikannya. Akibatnya banyak anak muda Islam dari Iran dan Iraq terbunuh dan cedera.
Selepas berdamai dengan Iran, nampaknya cita-cita Saddam untuk menjadi pemimpin utama Arab terjejas. Tetapi masih berpeluang dan mahu membangunkan balik negaranya setelah terjejas akibat perang dengan Iran.
Saddam mahukan bantuan dari negara-negara Arab lain kerana baginya peperangannya dengan Iran itu adalah bagi pihak dunia Arab. Maka sasarannya beralih kepada Kuwait dan itu membawa serangannya ke atas negara sekutu AS itu. Dalam geografi politik Saddam, Kuwait dianggap sebagai sebuah wilayah Iraq yang telah dipisahkan oleh penjajah-penjajah Arab. Maka penaklukannya ke atas Kuwait dianggap sebagai sah.
Inilah kesilapan kedua Saddam. Kuwait mungkin lemah di depan Saddam, tetapi di belakang Kuwait terdapat kuasa besar dunia.
Maka menjelang serangan AS ke atas Iraq, sekali lagi Saddam mengundang parti-parti politik dan NGO dari seluruh dunia untuk menagih simpati dan sokongan. Kali ini beliau berdiri di atas platfom Islam.
Penulis ditempatkan di Hotel Rasheed dan persidangan itu diadakan di bangunan konvensyen sidang kemuncak NAM yang tidak jadi itu.
Saddam berucap dalam persidangan itu dan bersalam dengan para perwakilan. Walaupun beliau menampilkan kehebatan dirinya sebagai pemimpin yang berani mencabar AS, tetapi terdetik rasa di hati bahawa impian Saddam sedang berada di penghujungnya.
Penerbangan Iraq Air dari Baghdad ke Amman, Jordan yang membawa penulis dan rombongan Malaysia adalah laluan akhir udara sebelum Perang Teluk Pertama itu bermula. Sehari selepas keluar dari Iraq, jet-jet AS masuk dan menyerang negara itu dan kedudukannya di Kuwait. Maknanya, apa yang penulis lihat di Iraq adalah wajah akhir negara itu sebelum dirosakkan oleh bom awal Presiden George Bush, bapa kepada Presiden AS sekarang, diikuti dengan sekatan ekonomi yang melumpuhkan ekonomi negara itu.
Ada lima kesilapan Saddam. Pertamanya, berlaku zalim ke atas penduduk Kurdis. Keduanya, menindas golongan Syiah. Ketiga, melancarkan perang ke atas Iran. Keempat, menceroboh dan menduduki Kuwait. Kelima, tidak bekerjasama rapat dengan pemeriksa dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jika Saddam mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan itu, beliau bukan saja dapat membina Iraq yang maju tetapi mampu memiliki pasukan tentera paling kuat di Asia Barat. Bangsa Arab akan menerima beliau sebagai pemimpin utama mereka. Kini Iraq berada di ambang perpecahan. Kesemua golongan Iraq menderita dan dunia Arab tidak lagi memiliki seorang pemimpin yang mampu membangun kekuatan ketenteraan mereka.