Jalan Davos selesaikan konflik

Oleh: ZIN MAHMUD (Di Davos, Switzerland)
Sumber: Mingguan Malaysia 28 Januari 2007


FORUM Ekonomi Dunia (WEF) yang mengadakan pertemuannya setiap tahun pada Januari di Davos, Switzerland bukannya institusi kerajaan atau memiliki kuasa politik serta pentadbiran bagi membentuk rancangan dan melaksanakannya.

Ia hanyalah sebuah badan bebas tetapi disokong oleh Berne, iaitu kerajaan Switzerland dengan bermatlamat kepada komitmen memperbaiki kedudukan dunia melalui perhimpunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi, sosial, akademik, budaya dari seluruh planet bumi untuk bertukar idea dan berbincang mencari penyelesaian masalah sejagat. Pentingnya WEF menyediakan platform dan menggalakkan rangkaian bagi tindakan-tindakan susulan.

Maka apabila disebut Davos, walaupun ia hanya tempat terpencil di penjuru pergunungan di Switzerland tetapi rujukannya adalah kepada WEF. Ia seperti seseorang menyebut mana-mana nama ibu kota sesebuah negara seperti Washington, maka rujukannya bermaksud kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Dengan perhimpunan begitu banyak tokoh di seluruh dunia yang membincangkan hampir semua segi berhubung kehidupan manusia, maka sudah tentu masalah besar tidak akan terlepas daripada perhatian Davos. Selain Davos, WEF juga menganjurkan forum-forum di peringkat serantau antaranya di Sharm el-Shekh, Mesir tahun lalu di mana perbincangannya mengenai isu-isu Asia Barat. Maka antara isu yang timbul ialah berhubung kepelbagaian budaya serta konflik Islam-Barat yang turut dihadiri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Maka Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Klaus Schwab mencadangkan, Davos 2007 membincangkan mengenai kejiranan global dalam kepelbagaian budaya dengan Perdana Menteri diberikan platform menyampaikan ucapan pembukaan. Walaupun tajuk yang disebut sebagai tatakejiranan global berhubung kepelbagaian budaya, tetapi intinya merujuk konflik Islam dan Barat.

Justeru pada Khamis lalu, sesi plenari ke-82 di bawah tajuk pelbagai tamadun, Perdana Menteri menyampaikan ucapan pembukaan dalam sidang berhubung tatakejiranan global dalam satu dunia pelbagai budaya. Antara mesej asas dalam ucapan Perdana Menteri itu ialah konflik antara Islam dan Barat terletak kepada politik. Politik di sini pula bermaksud bahawa mereka yang mempunyai kuasa melalui pelbagai kekuatan, khususnya ketenteraan iaitu Barat merampas tanah, harta dan maruah pihak lemah iaitu umat Islam.

Maka dapat difahami bahawa ketika dunia Barat, termasuk Israel dan umat Yahudi terus maju, memiliki tanah dan harta serta berilmu, kebanyakan orang Islam miskin, jahil dan terhina. Dalam keadaan terhina inilah muncul kumpulan-kumpulan ekstrem yang mengambil jalan keras dan menampilkan apa yang oleh Barat disifatkan sebagai keganasan.

Kunci kepada keseluruhan senario ini terletak pada masalah Palestin yang berlanjutan dan tidak diselesaikan. Israel menggunakan kekerasan dan keganasan ke atas Palestin. Maka pertembungan Islam dan Barat bukan soal tamadun, budaya atau agama; ia semata-mata berhubung dengan geopolitik.

Ada kebenarannya jika dilihat dari sudut sejarah dan geografi. Beratus-ratus tahun dalam pemerintahan khalifah Islam, umat Kristian, Yahudi dan Majusi serta lain-lain agama dapat hidup dan berkembang di bawah pemerintahan Islam. Konflik hanya berlaku dari sudut politik. Perang Salib bukan soal agama. Ia merupakan rebutan kota Baitulmaqdis dan adalah soal politik.

Kini, dalam konflik Islam dengan Barat, tidak timbul pula pertembungan dengan China, India dan Amerika Latin. Apa yang dilihat sebagai konflik antara Islam dan Hindu di India bukan soal agama. Ia adalah politik melibatkan isu Kashmir dan konsep negara Pakistan ketika India baru berusaha untuk mencapai kemerdekaan dahulu. Jadi, isunya politik.

Dalam ucapan Perdana Menteri itu, ditampilkan bahawa jika kunci masalah hubungan Islam dan Barat dapat diselesaikan, maka hubungan antara kedua tamadun ini akan lebih baik. Ucapan ini mendapat tepukan gemuruh para peserta, sebahagiannya beragama Islam dan lain-lain pihak yang cenderung untuk memihak kepada sudut pandangan orang Islam.

Tetapi pandangan ini mendapat reaksi keras daripada salah seorang ahli panel sesi yang mewakili Yahudi. Presiden Jawatankuasa Yahudi Antarabangsa bagi Hubungan Antara Agama AS, Ketua Rabbi David Rosen. Rosen membawa empat mesej. Rabbi ialah paderi bagi penganut Yahudi dan Rosen datang daripada mazhab Ortodoks Yahudi yang tegas dalam soal mengikut peraturan agamanya. Pertama, katanya, ada orang tidak jujur kepada diri sendiri. Maka cuba berbincang mengenai politik, menurutnya kecenderungan untuk tidak jujur itu wujud. Perkara ini dapat difahami bahawa dia menganggap umat Islam tidak jujur pada diri sendiri dalam mencari penyelesaian masalah yang dihadapi.

Ini membawa kepada persoalan kedua iaitu anggapannya bahawa isu Palestin dijadikan kambing hitam kepada segala masalah umat Islam. Apa yang ingin dinyatakan ialah walaupun isu Palestin selesai, masalah umat Islam lain seperti Algeria, Darfur tetap ada. Apa yang Rosen mahu tegaskan ialah masalah umat Islam seterusnya konflik Barat dan Islam adalah kerana kelemahan umat Islam sendiri. Soal Algeria dan Darfur umpamanya tidak ada kaitan dengan Palestin.

Soal ini membawa kepada perkara ketiga yang dibayangkan iaitu umat Islam wajar mengkritik diri sendiri daripada menyalahkan orang lain. Secara mudah, ia seolah-olah menyatakan bahawa Israel, Yahudi dan Barat tidak salah. Yang salah ialah orang Islam dan mengkritik diri sendiri akan menyelesaikan masalah.

Makna lain yang ingin disampaikan ialah jika umat Islam memperbaiki diri sendiri, tidak timbul konflik Barat dengan Islam. Rosen kemudian membawa perkara ketiga iaitu soal keberhalaan. Maksudnya tanah, iaitu wilayah sudah menjadi berhala baru. Manusia mengagungkannya dengan melakukan pelbagai kejahatan untuk mendapatkan dan mempertahankannya. Ulasannya mengenai keberhalaan yang dikaitkan pada tanah ini boleh ditujukan kepada Yahudi dan umat Islam sendiri. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa rebutan antara Israel dan Palestin adalah mengenai tanah dan itu merupakan berhala baru. Sebagai penganut Ortodoks Yahudi kuat, beliau juga menolak berhala.

Reaksi Rosen mendapat tepukan gemuruh di satu bahagian lain dalam Dewan Kongres di mana sesi plenari itu diadakan. Maka dapat dipercayai bahawa tepukan itu datang daripada kalangan orang Yahudi dan penyokong-penyokongnya. Sumber bunyi tepukan datang daripada bahagian yang lain dalam dewan berbanding ketika berakhirnya ucapan pembukaan itu menunjukkan adanya polarisasi antara Barat dan Islam di dewan itu.

Sentimen konflik antara Islam dan Barat itu tercermin daripada keadaan dunia sekarang.

Melihat senario ini, sukar juga mengharap konflik antara Islam dan Barat diredakan jika masalah politik dalam hal ini tidak diselesaikan. Namun begitu cuba lihat hujah-hujah Rosen. Pertama, adakah umat Islam tidak jujur melihat masalah ini? Anggapannya ialah kalau umat Islam jujur, mereka akan menerima sudut pandangan Barat. Tetapi perkara ini dapat dilihat dari sudut sebaliknya. Barat yang tidak jujur pada diri sendiri, jika jujur, pandangan umat Islam akan diterima.

Apabila menilai ketegasan mempertahankan kedudukan masing-masing, maka seolah-olah tidak ada harapan bagi penyelesaian konflik antara Islam dan Barat. Segala usaha dalam bentuk budaya termasuk agama hanya memperkayakan hubungan antara kedua pihak tetapi tidak dapat menyelesaikan konflik antara tamadun ini.

Soal kedua adalah mengenai Palestin. Adakah Palestin menjadi kambing hitam kepada segala masalah umat Islam? Sememangnya semua masalah mempunyai dinamik dan kompleksitinya tersendiri. Masalah Darfur adalah soal Sudan yang ada juga kaitan dengan dunia Barat. Dari segi kegagalan Khartoum hinggalah kepada agenda konspirasi Barat menyumbang kepada keadaan di Darfur. Bukan saja Darfur tetapi juga di Somalia.

Begitu juga di Algeria. Sememangnya ada masalah tempatan dan nasional yang perlu diselesaikan. Tetapi sikap Barat yang menerima pemerintahan keras sekular yang bersifat diktator untuk menghalang kebangkitan Islam juga merupakan faktor penting. Lebanon juga mempunyai kompleksiti masalah tersendiri. Tetapi ia tidak terlepas dalam masalah dengan Israel dan Barat.

Ada kecenderungan di sebahagian kalangan Barat yang percaya, masalah umat Islam adalah kerana kelemahan yang terkandung dalam ajaran agama itu. Maka apabila disebut mengenai konflik Islam dan Barat, mudah untuk mereka menyatakan bahawa terdapat nilai kejahatan dalam Islam dan ia merupakan mengapa barat menentang Islam, dan konflik akan berterusan hingga salah satu pihak kalah dan tunduk. Bagi mereka Islam perlu tunduk kepada Barat.

Untuk membuat perbandingan, cuba lihat bahagian-bahagian dunia lain dengan masalah masing-masing. Dari Korea Utara hingga ke Myanmar, masing-masing mempunyai masalah berhubung politik, ekonomi dan sosial. Begitu juga di Afrika dan Amerika Latin. Maka masalah orang Islam juga serupa seperti orang lain.

Bagaimanapun terdapat hakikat bahawa kuasa besar dunia ialah AS dan polisinya banyak menyusahkan negara lain. Ini tidak bermakna untuk menyalahkan AS semata-mata kerana di peringkat nasional dan tempatan, setiap tempat mempunyai dinamika tersendiri yang menyumbang kepada masalah masing-masing. Soalnya AS mempunyai kuasa besar dan mampu menentukan keadaan. Maka tanggungjawab perlu dipikul mereka.

Sementara di belakang AS pula ialah lobi Yahudi yang kuat. Begitu juga di Eropah. Maka Barat merangkumi Yahudi dan mencorak keadaan politik dunia. Di atas segala masalah ini ialah Palestin. Mana ada konflik yang memakan masa begitu lama selain daripada masalah Palestin? Ia adalah lanjutan kepada Perang Dunia Kedua. Maka dapat ditanggap bahawa di bawah runtuhan fasisme, yang muncul bukannya sosialisme dan kapitalisme tetapi Zionisme. Maka abad ini, sejak tahun 1947 iaitu tahun Israel ditubuhkan, sudah 70 tahun masalah tidak diselesaikan. Ia bukanlah pertembungan dua komuniti antara Israel dan Palestin. Kalau komuniti kecil seperti Rwanda dan Burundi, maka ia boleh diselesaikan dengan cepat. Tetapi di belakang Israel ialah barat, dan di belakang Palestin ialah umat Islam.

Masalah Palestin bukan kambing hitam bagi umat Islam. Konflik Islam dan barat dapat diselesaikan dengan berakhirnya masalah Palestin dan Israel. Benar seperti kata Perdana Menteri. Maka respons beliau kepada kenyataan Rosen adalah tepat. Soal budaya dan agama tidak menjadi masalah bagi orang Islam. Di Malaysia umpamanya, rakyatnya boleh terima kehidupan bersama dalam kepelbagaian budaya.

Tetapi apabila Israel yang merampas tanah Palestin dan memusnahkan Lebanon, maka tidakkah umat Islam patut berdiam diri saja? Kini setelah Lebanon dimusnahkan, AS mengajak banyak pihak di dunia memberi sumbangan dana membangun balik Beirut. Sedangkan yang merosakkan ialah Israel. Siapa yang merosakkannya, dialah patut membinanya balik. Israel wajar bertanggungjawab membina semula Beirut. Malangnya perkara itu tidak berlaku.

Penganut Yahudi dan Islam boleh berjumpa, berdialog tentang apa saja di dunia sama ada mengenai budaya, ekonomi atau sains. Sumbangan intelektual Yahudi kepada manusia adalah besar. Umat Islam tidak terhalang untuk menghargai dan menikmati karya-karya Yahudi. Dalam kalangan tamadun Islam, peranan Yahudi diiktiraf. Tetapi soal penjajahan tidak ada kompromi.

Asas kepada fahaman Zionisme ialah tanah dan wilayah yang dianggap sebagai hak mereka. Kalau tanah itu dianggap berhala, maka Zionisme sendiri sudah bercanggah dengan teras agama Yahudi. Tetapi perjuangan Palestin bukan soal tanah tetapi hak dan maruah bangsa. Tanah menjadi sebahagian daripada hak itu. Hak hanya boleh dinilai dari sudut etika.

Semasa pemerintahan Uthmaniah, Palestin sudah mempunyai penduduknya dengan pemilikan tanah yang turun-temurun. Israel berdiri daripada tanah rampasan yang diwujudkan atas rasa bersalah Barat kerana berlakunya Holocaust dalam Perang Dunia Kedua. Tetapi soal ini bukan masalah sejarah semata-mata. Ia juga soal geografi. Penduduk Palestin tidak dapat bekerja dan menikmati kehidupan yang dikecapi oleh warga Israel yang bebas untuk membangun dan maju.

Konflik Islam dan Barat semacam tidak ada harapan untuk berakhir. Tetapi kalau pemerintahan Khilafah boleh tumbang, begitu juga empayar Soviet, maka AS juga tidak dapat bertahan. Begitu juga Israel. Cuma umat Islam mesti bijak dan caranya adalah meningkatkan ilmu dan kemahiran serta berani menyertai ruang global. Biarlah akhirnya konsep Barat itu sendiri hilang apabila umat Islam menjadi sebahagiannya. Tetapi Barat perlu dihadapi secara berdepan, bukan semata-mata cara bersenjata tetapi lebih kuat lagi melalui penggunaan intelektual. Konflik Islam dan barat berakhir apabila tidak ada perbezaan antara Islam dan Barat.

Keunggulan Yahudi selama 70 tahun ini adalah kerana kekuatan intelektual mereka. Maka pada masa-masa akan datang tokoh-tokoh Islam wajar menampilkan kehadirannya di Davos, bukan atas platform politik semata-mata tetapi juga dalam bidang lain khususnya ekonomi, sains, teknologi dan budaya.