Usaha memecah belah Arab

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 21 Januari 2007


LIMA tahun lalu, George W. Bush dari Washington mempunyai sebuah mimpi yang indah untuk Asia Barat. Satu rantau yang aman dan makmur, meliputi wilayah-wilayah dari pesisir pantai timur Laut Mediterranean hinggalah ke Teluk Parsi.

Keamanan yang meliputi negara-negara Palestin, Israel, Lebanon, Syria, Iraq dan Iran. Mimpi Bush ialah penyelesaian masalah Palestin apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk mengiktiraf antara satu sama lain. Hidup aman dan berkembang dalam meningkatkan kedudukan ekonomi masing-masing melalui perdagangan di antara satu sama lain.

Palestin dan Israel yang merdeka akan memiliki ibu negara di Baitulmaqdis. Kota Baitulmaqdis Timur adalah ibu negara Palestin sementara Baitulmaqdis Barat ialah ibu negara Israel.

Rakyat Palestin yang berada di luar dibenarkan kembali ke tanah airnya tetapi tidak boleh menuntut tanah-tanah mereka yang telah dirampas oleh penguasa Zionis sejak tahun 1946.

Palestin, tidak seperti banyak negara Arab lain akan mengamalkan sistem demokrasi. Dua parti utama akan bertanding iaitu Fatah dan Hamas, seperti di Amerika Syarikat (AS) yang juga mempunyai sistem dwiparti.

Israel juga memiliki dua parti utama, Parti Buruh dan Parti Likud dengan warga Arab di Israel bebas terlibat dengan politik negara itu. Mereka yang sering kali cenderung kepada aliran kiri khususnya parti komunis akan mengundi Parti Buruh.

Sistem demokrasi dwiparti yang berjalan lancar ini dianggap stabil. Dengan masalah di Palestin selesai, maka tidak ada sebab bagi pertembungan antara Israel dengan Lebanon dalam isu itu.

Dalam mimpi itu, Lebanon akan stabil kerana dengan ketiadaan ancaman Israel, tentera Syria juga berundur. Dalam hal ini, Bukit Golan yang strategik akan ditadbir bersama oleh Israel dan Syria. Kedua-duanya akan bertolak ansur dan wilayah itu dibahagi antara Israel dan Syria walaupun asalnya Golan milik Damsyik.

Maka proses demokrasi juga diharapkan berjalan lancar dengan kemunculan dua parti utama, mungkin dalam bentuk yang lahir daripada dua golongan, pro dan anti-Syria. Hizbullah mungkin muncul sebagai sebuah parti utama dalam satu gabungan dengan pihak-pihak lain.

Tetapi demokrasi tidak akan terhenti di Lebanon saja. Parti-parti Lebanon yang pro-Syria dan pro-Iran dalam atmosfera demokratik mungkin akan mempengaruhi politik di Syria dan malah di Iran.

Tetapi untuk Syria menjadi demokratik, sebuah lagi negara Arab yang penting wajar bergerak maju dengan menyempurnakan proses seumpama itu. Negara itu ialah Mesir.

Mesir, Syria, Sudan dan Libya adalah seangkatan sebagai negara-negara yang pernah bersemangat progresif berfahaman pan-Arab yang diberi semangat oleh Gamal Nasser.

Maka jika berlaku pendemokrasian di dunia Arab, Mesir juga harus dimulai dan ini wajar diikuti oleh Syria, Sudan dan Libya.

Jika berlaku pendemokrasian, dwiparti yang akan muncul ialah di negara-negara Arab ini ialah pihak liberal dan aliran Islam.

Maka di Mesir umpamanya, akan muncul Parti Nasionalis Demokratik (NDP) pimpinan Hosni Mubarak dan Ikhwanul Muslimin. Di Syria, Parti Baath akan berhadapan dengan Ikhwanul Muslimin juga yang anggotanya pernah dibunuh oleh Presiden Hafez Assad.

Sebuah negara yang pernah pro pan-Arab, malah digolongkan sebagai negara komunis ialah Yemen Selatan. Tetapi apabila Kesatuan Soviet, ia dengan mudah meninggalkan sistem kediktatoran Marxis dan menyatu dengan Yemen Utara yang mempunyai pemerintah pro-Saudi.

Kini ia menjadi negara demokratik dengan parti politik bebas bertanding dan menang dalam pilihan raya.

Pendemokrasian di negara-negara bekas kediktatoran kiri perlu diimbangi dengan proses yang serupa di negara-negara yang secara tradisinya merupakan sekutu AS.

Umpamanya Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah bergerak menuju ke demokrasi sedikit demi sedikit.

Bagi Washington, apabila tidak ada ancaman dari negara-negara radikal di Asia Barat iaitu seperti Syria dan Iran, maka negara-negara konservatif termasuk Arab Saudi akan mudah berubah untuk menjadi demokratik.

Dengan berjayanya mewujudkan penyelesaian kepada semua masalah politik di negara-negara Arab, Washington juga yakin bahawa Iran akan mudah beralih menjadi demokratik.

Jadi, dalam keseluruhan senario impian ini, AS melihat Iraq sebagai kuncinya. Itulah janji Bush lima tahun lalu selepas AS dihinakan dengan Peristiwa 11 September yang dibalas dengan serangan ke atas Afghanistan dan kemudiannya Iraq.

Bush menjanjikan Iraq Baru yang bukan saja demokratik tetapi menjadi pusat tamadun maju dan progresif menyebarkan nilai-nilai kebebasan kepada dunia Arab dan Asia Barat, termasuk Iran.

Lebih-lebih lagi golongan Syiah di Iraq yang ditindas oleh Saddam Hussein menyokong AS di samping turut menjadi sekutu kepada Iran.

Dengan kedua-dua golongan Syiah dan Kurdis di Iraq yang menjadi sekutu AS, Washington berharap ia menjadi pendorong kepada penyelesaian semua masalah politik di Asia Barat khususnya berhubung dengan Palestin dan Israel.

Akhirnya AS berharap demokrasi juga akan meletakkan rantau Asia Barat sebagai wilayah pengaruhnya seperti yang berlaku ke atas Eropah. Israel akan diintegrasikan ke dalam Asia Barat dan muncul sebagai pemimpin kepada rantau itu.

Tetapi itu hanyalah impian AS. Keganasan yang berterusan di Iraq mengganggu impian Bush ini.

Iraq bukan saja tidak dapat mengamalkan demokrasi yang diidamkan tetapi terjerumus ke dalam anarki hingga di luar kawalan AS.

Bukan itu saja, sekutu-sekutu AS di kalangan Syiah dan Kurdis sudah mula kecewa. Sementara masalah Palestin tidak dapat diselesaikan dan Iran memilih Mahmoud Ahmedinejad sebagai presiden mereka, yang ternyata mencabar Bush dan AS.

Bukan itu saja, dunia Arab dan Islam juga melihat Hizbullah yang pro-Iran dan pro-Syria muncul sebagai wira.

Kini setelah mengakui kegagalannya di Iraq, dunia mengharapkan AS berundur saja dari Iraq. Begitu jugalah harapan rakyat negara kuasa besar itu yang tidak mahu terkorban lagi di Iraq.

Bukan saja AS gagal mewujudkan demokrasi di Iraq, ia juga tidak membawa keselamatan ke Asia Barat dan dunia Arab. Kemunculan Iran sebagai kuasa nuklear menggugat keselamatan rantau itu. Tetapi puncanya pula terletak pada Israel yang mengancam dunia Arab dan Islam.

Maka Bush mempercepatkan hukuman gantung ke atas Saddam. Antara mesej yang boleh ditafsirkan daripada penggantungan itu ialah misinya untuk menamatkan era kediktatoran Saddam dan menampilkan kekuatan AS.

Tetapi kesan daripada penggantungan Saddam adalah meningkatnya perasaan anti-AS di kalangan dunia Arab dan Islam. Mereka yang menyokong penggantungan Saddam adalah umumnya dari kalangan Barat dan golongan Syiah, termasuk Iran.

Namun begitu, majoriti umat Islam adalah Sunni dan mereka bersimpati kepada Saddam. Walaupun umat Islam bukan Arab seperti di India dan Indonesia boleh menganggap Ahmedinejad dan Hizbullah sebagai wira, tetapi mereka tidak dapat menerima tindakan golongan Syiah menekan golongan Sunni di Iraq.

Di pihak rakyat AS, mereka boleh melihat bahawa tugas negaranya sudah selesai di Iraq. Walaupun demokrasi dan keselamatan tidak dapat diwujudkan oleh AS di negara itu, tetapi Saddam berjaya dihapuskan.

Maka tidak hairanlah sokongan rakyat AS adalah kepada Parti Demokratik dan bukannya Republikan. Mereka melihat tugas Bush dan partinya sudah selesai. Mereka mahukan tentera AS dipanggil pulang.

Tetapi tiba-tiba Bush mengeluarkan rancangan baru iaitu untuk menambahkan tenteranya di Iraq. Sebelum itu tentera AS menyerang kedutaan Iran di Baghdad.

Bagi Bush, AS mahu menstabilkan Iraq sebelum ia pulang. Untuk itu, dalam kegagalannya, beliau bukan mahu memanggil pulang tentera AS tetapi sebaliknya menambahkan lagi tenteranya di negara itu.

Maknanya, itu merupakan usaha terakhir Bush untuk meraih kejayaan sebelum dia meninggalkan jawatan presiden.

Tetapi tindakannya ini mendatangkan implikasi kepada dua pihak; pertama kepada golongan Sunni, kedua kepada Syiah.

Bagi pihak Sunni, kehadiran tentera AS yang lebih banyak bertujuan untuk mengurangkan kalau tidak pun menghapuskan pengaruh Sunni di Iraq.

Tidak ada negara Sunni yang dapat menerima Iraq didominasi oleh Syiah. Tetapi di pihak Syiah, tafsirannya pula berbeza.

Tujuan peningkatan bilangan tentera AS di Iraq bukanlah dihalakan kepada Sunni tetapi sebenarnya kepada pihak Syiah. Bukan keseluruhan Syiah, tetapi Syiah yang pro-Iran dan seterusnya kepada Iran sendiri.

Malah terdapat penganalisis yang melihat kehadiran lebih banyak tentera AS adalah untuk persiapan bagi menyerang Iran. Sebelum itu mereka mahu menghapuskan pengaruh dan kekuatan Syiah radikal di Iraq.

Maka Syiah radikal, baik Iran, Iraq mahupun Lebanon dianggap sebagai musuh AS dan juga Israel.

Dalam keadaan ini pula, penggantungan pemimpin-pemimpin tertinggi Baath diteruskan, dan ada yang dilakukan secara kejam dengan terputusnya kepala daripada badan. Ia dilakukan oleh pihak Syiah dengan izin AS.

Akibatnya, kemarahan yang bertambah meningkat di kalangan golongan Sunni kepada bukan saja AS tetapi Syiah. Untuk apakah ini semua?

Sukar untuk mengelak daripada mengesyaki bahawa penggantungan Saddam dan pegawai-pegawai tingginya yang dilakukan secara tidak bermaruah adalah dengan jelas bertujuan untuk memecahbelahkan orang Islam, iaitu antara Sunni dan Syiah.

Untuk apa perpecahan ini? Tentu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melemahkan umat Islam, khususnya dari kalangan golongan radikal.

Banyak peringkat yang mahu dipecahkan. Hakikatnya ialah dunia Arab dan dunia Islam adalah satu. Tergolong dalam dunia Arab dan dunia Islam adalah orang Arab yang beragama Kristian.

Tetapi kuasa besar mahu memecahbelahkan hakikat ini. Dunia Arab dipecahkan antara Islam dengan Kristian. Itulah yang berlaku di kalangan rakyat Lebanon dan Israel.

Sementara itu, dunia Islam dipecahkan dalam dua bentuk. Satu menurut etnik, dan satu lagi mazhab.

Maka digalakkan perbezaan antara dunia Arab dengan bukan Arab. Kurdis dan Turki dipisahkan daripada Arab walaupun kedua-duanya Sunni.

Begitu juga dikatakan Islam yang dinauti oleh rakyat Indonesia dan Malaysia adalah sederhana dan lembut berbanding dengan orang Arab.

Sedangkan mazhab Syafii yang diamalkan oleh orang Indonesia, Malaysia dan Kerala, India adalah serupa dengan amalan orang Arab Yemen.

Tetapi paling jelas ialah penekanan kepada perbezaan antara Arab dan Parsi. Sementara perbezaan mazhab Sunni dan Syiah diperbesarkan dan dilagakan hingga akhirnya umat Islam menjadi lemah.

Tetapi pihak AS bukanlah bersatu sangat. Parti Demokratik menolak usaha Bush dan partinya Republikan menambahkan tenteranya di Iraq.

Tetapi kedua-dua parti itu bersatu dari segi mempertahankan kepentingan Amerika dan Israel. Maka umat Islam patut berbuat perkara yang sama.

Mereka mesti bersatu, Arab dan bukan Arab, Sunni dan Syiah, Arab Islam dan Arab Kristian mempertahankan kepentingan Arab dan Islam tanpa mengira parti.

Demi kepentingan negara Iraq, Sunni dan Syiah; Arab dan Kurdis di negara itu mesti bersatu.