Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 17 Julai 2006
Apa yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia lebih-lebih lagi mereka yang berjauhan daripada tempat konflik di Lebanon?
Sebagai tanda sokongan kepada mangsa-mangsa kekejaman Israel di Lebanon, cara paling kurang ialah dengan mengikuti perkembangan di Asia Barat secara terperinci bagi menunjukkan rasa prihatin terhadap nasib mereka yang dizalimi itu.
Umat Islam wajar mengikuti berita di media massa, sama ada akhbar, televisyen atau Internet; daripada pelbagai sumber mengikut kemampuan masing-masing.
Walaupun pada umumnya laporan media massa banyak bersumberkan agensi asing, sama ada Reuters, AFP, AP, BBC dan CNN yang kebanyakannya bersifat berat sebelah cenderung pada Israel, tetapi maklumat yang diterima itu wajar dicerna bagi menganggap apa yang sedang berlaku di kawasan-kawasan malang itu: Palestin dan Lebanon.
Bagi mereka yang berkemampuan, wajar mengikuti laporan daripada agensi-agensi Arab seperti Al-Jazeera. ternyata bukan saja umat Islam lemah dari segi ketenteraan bahkan juga maklumat.
Kezaliman
Namun begitu, dari segi pemerhatian apa yang sedang berlaku, pastinya umat Islam dapat melihat betapa kezaliman Israel itu berdiri di atas kelemahan umat Islam dalam pelbagai bentuk.
Ketika mana rakyat Lebanon dibelasah oleh Israel, terdapat serangan oleh kumpulan mazhab Sunah wal Jamaah yang menyerang dan membunuh pemimpin Syiah di Pakistan. Pada waktu yang sama juga kumpulan penentang kerajaan di Iraq menyerang dan melancarkan bom di kawasan penempatan Syiah di Iraq.
Walaupun ada andaian bahawa pembunuhan sesama Islam di Iraq dan Pakistan itu didalangi oleh kuasa-kuasa yang tidak diketahui tetapi tidak boleh dinafikan berlakunya kebencian di antara mazhab di kedua-dua negara yang perlu dilenyapkan.
Wajar serangan bertubi-tubi rejim Tel Aviv ke atas Palestin dan Lebanon mengejutkan umat Islam di seluruh dunia untuk menghentikan sebarang permusuhan sesama sendiri dan sebaliknya berusaha untuk bersatu bagi menghadapi Israel.
Di sinilah kelemahan terbesar umat Islam, iaitu perpecahan. Malah sebelum konflik ini pun, Hamas dan Al-Fatah bertempur sesama sendiri.
Dengan keadaan yang berlaku sekarang ini, tidak ada sebab Hamas dan Al-Fatah untuk saling bermusuhan. Perseteruan antara keduanya hanya menguntungkan pihak musuh.
Zionis
Lihatlah Israel, walaupun Parti Buruh dan Parti Likud tidak sealiran tetapi dalam soal memelihara kepentingan negara Zionis itu mereka bersatu. Malah orang Yahudi pada umumnya di seluruh dunia, baik di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sikap tunggal yang membolehkan sokongan penuh AS dan Britain terhadap rejim Tel Aviv.
Sebaliknya dalam konflik ini, Liga Arab tidak menunjukkan sikap tunggal dan tegas untuk menyokong Hamas dan Lebanon hinggakan kerajaan Beirut terpaksa menemui pemimpin-pemimpin Arab untuk meminta sokongan.
Selepas kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin tidak lama dahulu, negara-negara Arab juga tidak memberi sokongan padu kepada kerajaan yang dianggap sebagai pengganas oleh AS itu.
Sewajarnya Hamas tidak perlu bergerak seperti mengemis untuk mendapatkan bantuan. Malah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Al-Fatah patut segera menyokong Hamas yang memenangi hati rakyat Palestin itu.
Bukan saja Israel, AS dan EU memencilkan Hamas tetapi juga negara-negara Arab sendiri. Sebaliknya yang menyokong Hamas ialah Hizbullah Lebanon. Walaupun berlainan mazhab, iaitu Syiah, Hizbullah membantu Hamas.
Jadi apabila Israel sibuk menyerang Hamas, Hizbullah di sebelah utara membedil Israel. Ini menyebabkan rejim Tel Aviv melancarkan serangan ke atas Lebanon.
Hizbullah seperti juga Hamas adalah parti yang mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya negara itu. Ia menjadi sebahagian daripada kerajaan Beirut. Makanya, bagi Israel, kedua-dua pihak Palestin dan Lebanon adalah musuhnya kerana kedua-duanya memiliki kerajaan yang diterajui oleh kumpulan penentangnya, Hamas dan Hizbullah.
Israel mahu Hizbullah dilucutkan senjata. Tetapi Hizbullah adalah satu-satunya kumpulan yang memiliki kekuatan, walaupun sedikit untuk berdepan dengan Israel. Tentera Lebanon tidak mempunyai kekuatan. Syria dan Iran dikatakan membantu Hizbullah.
Maka sebab itu Syria dan Iran dianggap musuh oleh Israel. Tetapi jika Syria dan Iran tidak membantu Hizbullah, maka Lebanon hilang kedaulatannya dan seolah-olah menjadi negara jajahan Israel.
Atas sikap perpaduan dan kepentingan kedaulatan mereka, Syria dan Iran memberi sokongan dan bantuan kepada Hizbullah.
Umat Islam lemah dalam serba-serbi untuk berdepan dengan Israel. Tetapi perpaduan semua negara Islam merupakan senjata yang masih tidak dapat dimiliki dan digunakan.