Senjata perlu dihala ke Israel

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 23 Julai 2006


SERANGAN bertubi-tubi ke atas Lebanon tidak dibalas dengan setimpalnya. Apa yang dilakukan oleh Hizbullah tidak cukup kuat untuk mempertahankan Lebanon.

Lebanon perlukan kekuatan untuk mempertahankan diri sendiri daripada pencerobohan dan serangan Israel. Tetapi bukan saja sebagai sebuah negara biasa, Lebanon perlukan angkatan tentera yang kuat bagi mempertahankan diri tetapi Israel juga mahukan Beirut memiliki tentera berkesan.

Cumanya Israel mahu Lebanon mempunyai tentera yang dapat menundukkan Hizbullah dan selanjutnya melindungi negara Yahudi itu daripada serangan mana-mana kumpulan militan yang menentangnya.

Dalam hal inilah kerajaan Beirut pernah menyatakan bahawa Lebanon tidak mahu membangunkan sebuah tentera untuk mempertahankan Israel.

Bagi rejim Tel Aviv, serangannya ke atas Lebanon adalah untuk mengajar negara Arab itu supaya melucutkan senjata Hizbullah dan seterusnya menghalang sebarang serangan ke atas Israel. Inilah yang disebut oleh rejim Tel Aviv dan Washington sebagai hak Israel mempertahankan diri.

Tetapi persoalannya ialah siapa yang menyerang, dan pihak mana sedang mempertahankan diri? Melihat serangan bertubi-tubi pesawat Israel ke atas Lebanon dapat difahami bahawa rejim Tel Aviv itu menyerang negara Arab itu. Israel yang merupakan penyerang dan Lebanon patut bertindak mempertahankan diri. Tentera Lebanon pula tidak berupaya sedikit pun untuk mengangkat jari menghalang serangan Israel.

Pihak yang mampu ialah Hizbullah. Itu pun sekadar serangan kecil-kecilan. Maka tindakan Hizbullah melancarkan roket ke atas Tel Aviv adalah langkah mempertahankan diri. Lebanon merupakan pihak yang berhak mempertahankan diri. Itulah hak Hizbullah sementara Israel tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyerang Lebanon.

Tetapi lihatlah hujah pihak Israel pula. Tujuan serangan bertubi-tubi itu adalah untuk menghancurkan Hizbullah atau mana-mana pihak yang mempunyai niat untuk menyerang Israel. Baginya kerajaan Beirut bersubahat dengan Hizbullah dan perlu dihukum dan dilemahkan.

Maka persoalan mungkin timbul mengapakah Hizbullah menahan tentera Israel dan kemudiannya mencetuskan kemarahan Israel hingga seluruh Lebanon menjadi sasaran kekejaman tentera Yahudi itu?

Perlu diingat, tindakan Hizbullah itu adalah sebagai langkahnya untuk mendapat kebebasan banyak orang Lebanon yang diculik dan ditahan oleh pihak israel. Terdapat beratus-ratus orang Lebanon ditahan di Israel yang dianggap sebagai mengancam keselamatannya.

Jadi langkah Hizbullah itu bukan soal membalas dendam tetapi taktiknya untuk membebaskan anggota-anggotanya. Hizbullah hanya melakukan sesuatu yang bersifat mempertahankan diri.

Bagaimanapun, bagi Israel, Hizbullah mengancam keselamatannya kerana sudah menjadi perisytiharan kumpulan itu bahawa mereka tidak mengiktiraf Israel dan mahu menghancurkannya.

Justeru bagi Israel, Hizbullah perlu dihancurkan, dan turut terheret sama ialah Lebanon kerana menampungnya.

Maka timbul di sini, mengapakah Hizbullah tidak mahu mengiktiraf Israel dan menghentikan sebarang ancaman terhadap negara Yahudi itu?

Sering kali Israel, AS dan dunia Barat menekankan keperluan Hizbullah dan Hamas mengiktiraf Israel dan menolak penggunaan keganasan.

Tetapi bagi pihak Arab dan Islam, persoalan yang mahu ditimbulkan ialah Israel perlu berundur dari Palestin. Rejim Tel Aviv sering kali menyatakan jika Hamas mengiktiraf Israel dan menghentikan keganasan, barulah Israel mengiktiraf Hamas dan jalan untuk pengundurannya dari Gaza dan Tebing Barat dapat dilakukan.

Jadi, mana yang patut didahulukan? Langkah mengiktiraf Israel atau rejim Tel Aviv berundur dari Gaza dan Tebing Barat?

Justeru untuk menyelesaikan persoalan ini, rejim Tel Aviv menggunakan kekerasan. Baginya, serangan ke atas Hamas dan Hizbullah bertujuan melemahkan mereka dan akhirnya kumpulan ini akan mengiktiraf Israel dan barulah rejim Tel Aviv berundur dari Palestin dan negara itu dapat diwujudkan.

Tetapi persoalannya pula, rejim Tel Aviv masih mahu menguasai sebarang negara merdeka Palestin. Mungkin ia sanggup berundur dan membenarkan kewujudan negara Palestin, tetapi ia tidak mahu negara itu menjadi kuat dan mengancam dirinya. Maknanya, Israel mahu terus menguasai soal pertahanan, keselamatan, dasar luar, malah politik Palestin, andai kata negara itu ditubuhkan.

Palestin merdeka yang dibenarkan oleh Israel hanyalah pada nama tetapi sebenarnya terus menjadi tanah jajahan Israel. Inilah yang membuatkan Hamas, Hizbullah dan banyak pihak daripada kalangan umat Islam terus enggan mengiktiraf Israel.

Dengan kesedaran ini, Hamas dan Hizbullah terus enggan mengiktiraf Israel dan mahu memperjuangkannya secara kekuatan tentera. Malangnya Hamas dan Hizbullah tidak berupaya untuk mempunyai kekuatan bagi mendapatkan semula kemerdekaan negaranya.

Di sini timbul persoalan mengapakah Israel tidak mempercayai Palestin yang merdeka tidak akan mengancamnya? Mengapa ia mahu terus menguasai Palestin andai kata ia mencapai kemerdekaan?

Jawapannya ialah Israel berdiri di atas kepalsuan dan rampasan wilayah Palestin. Orang Arab dan Israel sentiasa ingat bahawa Palestin merupakan sebahagian daripada dunia Arab dan Islam yang mana telah dirampas oleh Yahudi Zionis berasal dari Barat dengan sokongan AS dan Eropah juga.

Bagi Zionis, Israel adalah milik mereka walaupun dillakukan secara rampasan kerana kekuatan dan kemenangan perang menentukan pemilikannya. Maknanya di sini, Israel telah menang dalam perangnya dengan Arab dan pihak Arab mesti menerima hakikat kekalahan dan mengiktiraf Israel.

Di sinilah terletaknya kekuatan rakyat Palestin. Mereka tidak mengiktiraf kemenangan Israel. Mungkin mereka boleh menerima kekalahan Arab bagi wilayah yang dirampas pada tahun 1948, tetapi bukan perang tahun 1967 dan 1973. Gaza, Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Golan adalah milik Arab.

Tidak ada jalan lain untuk mendapatkan kemerdekaan Palestin selain daripada perpaduan dan kekuatan tentera. Justeru Hamas mesti disokong dan dibantu oleh semua orang Arab dan Islam di seluruh dunia, termasuk yang tinggal di AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Di peringkat Palestin juga, perpaduan mesti diutamakan. Hamas dan Fatah mesti bekerjasama dan bersatu walaupun mereka berlainan aliran dan pendapat.

Di peringkat kedua, Lebanon juga mesti bersatu dan membina kekuatan sendiri jika hendak mempertahankan diri daripada pencerobohan Israel.

Maka semua aliran di Lebanon mesti bersatu suara apabila berdepan dengan Israel. Tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau Kristian. Tidak kira mazhab mereka apa, sama ada Syiah atau Sunnah. Tidak kira ideologi jenis apa, sama ada liberal, sosialis, konservatif mahupun fundamentalis, mereka mestilah bersatu dalam soal menghadapi Israel.

Justeru, dalam konteks yang luas, dunia Arab mesti bersatu tidak kira apa agama mereka, sama ada Islam atau Kristian. Ini jelas dalam gerakan politik Palestin dan Lebanon. Ia juga kemudian harus tercermin dalam dunia Arab iaitu Liga Arab.

Kemudian perpaduan Arab ini dikukuhkan dengan perpaduan Islam. Umat Islam mesti bersatu menyokong Hamas dan Hizbullah. Bukan saja Syria dan Iran yang patut menyokong dan membantu Hizbullah tetapi keseluruhan dunia Islam.

Kelihatan perkara ini hanya sekadar pada peringkat kata-kata. Tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan. Kalau orang Yahudi di seluruh dunia boleh bersatu menyokong Israel, mengapa tidak umat Arab dan Islam yang jumlahnya jauh lebih besar?

Dari sini, soal membangunkan kekuatan tentera dan senjata di kalangan negara Islam mesti dimula dan disegerakan. Negara-negara Islam tidak wajar bergantung pada AS dan dunia Barat. Senjata mesti dicipta dan dibuat sendiri.

Apa yang Iran lakukan dengan membina senjata sendiri mesti dicontohi oleh negara-negara Islam yang lain. Memang sukar untuk menandingi dan menyaingi Israel dan AS. Tetapi perkara itu tidak mustahil.

Pada suatu masa dahulu, tentera Israel tidaklah secanggih sekarang. Dengan bantuan AS, negara Yahudi itu dapat membina kekuatan besar. Tetapi AS sendiri juga tidak membina kekuatannya sekelip mata.

Menjelang Perang Dunia Kedua, tentera paling kuat dunia ialah Jerman. Tetapi akhirnya AS dapat mengatasinya. Senjata juga tidak mustahil untuk dibuat oleh negara-negara bukan Barat. Jepun pernah membuat senjata sendiri sebelum Perang Dunia Kedua. Kemajuan persenjataan Rusia juga tidak bergantung pada AS atau Eropah Barat.

Amalan membeli senjata dari negara-negara Barat wajar diubah. Bekalan senjata negara-negara Islam mesti juga meliputi teknologi yang dibangun sendiri. Negara-negara Islam mesti merdeka dalam hal ini.

Maka dalam berdepan dengan Israel, terdapat negara-negara Islam yang dianggap sebagai pihak yang berada di medan tempur. Lebanon dan Jordan adalah negara-negara kecil yang perlu mengubah suai bentuk pertahanannya sesuai dengan kedudukan mereka.

Tetapi negara-negara besar di medan depan dengan Israel adalah Mesir, Iraq, Syria, Iran dan Turki. Dengan melihat negara-negara itu sudah tergambar bahawa tidak semua yang masih mampu berdepan dengan Israel.

Mesir dan Turki mempunyai perjanjian dengan Israel dan pengiktirafan telah dibuat ke atas negara Zionis itu. Iraq pula sedang berada dalam pemerintahan AS. Maka yang tinggal ialah Syria dan Iran.

Maka merekalah yang menjadi sasaran Israel dan AS. Bagi mempertahankan Lebanon dan membebaskan Israel, tidak ada pilihan lain bagi Syria dan Iran untuk menguatkan kedudukan negara masing-masing, baik dari segi politik, ekonomi mahupun sains dan teknologi.

Tetapi pada waktu ini, peta politik Asia Barat berubah ekoran serangan Israel yang bertubi-tubi itu. Keyakinan Lebanon untuk membangun musnah dan ia akan mengambil masa lama untuk memulihkan kedudukannya.

Bukan itu saja, Palestin, Hizbullah dan Hamas turut menerima padah yang parah daripada serangan keras itu. Tetapi ia meningkatkan keyakinan kepada Iran untuk membangunkan senjata nuklear. Ia juga menunjukkan pertempuran sesama Islam di Iraq adalah sesia. Senjata harus ditujukan pada Israel.