Israel amalkan hukuman kolektif

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 9 Julai 2006


MELAKUKAN hukuman kolektif merupakan suatu kezaliman, pastinya bercanggah dengan keadilan. Ia menjadi amalan masyarakat primitif dan malangnya masih dilakukan pada zaman ini, khususnya oleh rejim Tel Aviv.

Serangan Tel Aviv secara besar-besaran ke atas Gaza hingga membunuh banyak orang sebagai hukuman ke atas tindakan kumpulan menawan seorang tentera Israel merupakan suatu amalan hukuman kolektif.

Apa yang dimaksudkan dengan hukuman kolektif ialah jika seseorang melakukan perbuatan jenayah, maka kumpulan berkenaan dihukum sama. Umpamanya seorang penduduk sesebuah kampung membunuh, maka semua orang di kampung itu dikenakan hukuman. Contoh lain ialah apabila seorang individu daripada bangsa tertentu melakukan kesalahan maka keseluruhan bangsa itu dijatuhkan hukuman.

Itulah yang menimpa Palestin hari ini. Setiap serangan yang dilakukan oleh kumpulan militan ke atas pihak Israel, maka akan dibalas dengan warga Palestin menjadi sasaran maut kereta kebal Israel. Bukan itu saja, kerajaan pilihan rakyat Palestin pimpinan Hamas juga menjadi sasaran.

Israel tidak berhak menyerang dan membunuh orang awam Palestin yang tidak terlibat pun dengan serangan ke atas mereka. Ia hanya menonjolkan secara jelas kezaliman mereka.

Isu hukuman kolektif turut dikemukakan oleh Kementerian Luar Switzerland. Ini kerana hukuman kolektif diharamkan oleh Konvensyen Geneva yang ditandatangani pada tahun 1949. Ia termaktub dalam konvensyen keempat. Switzerland sebagai pemegang konvensyen-konvensyen itu bertanggungjawab untuk memanggil persidangan apabila masalah timbul berhubung konvensyen itu.

Konvensyen Geneva digubal selepas dunia keluar daripada Perang Dunia Kedua di mana berlaku banyak kesengsaraan akibat peperangan. Antara kesengsaraan itu adalah Holocaust yang menyebabkan jutaan orang Yahudi dibunuh di loji-loji gas Nazi di Jerman. Tetapi bukan saja Yahudi, kaum-kaum lain turut menjadi mangsa. Ada yang menjadi mangsa bukan kerana bangsanya tetapi fahamannya umpamanya golongan kiri yang dimusuhi oleh Nazi dan fasis.

Bagaimanapun Yahudi dimusuhi oleh Adolf Hitler kerana agamanya. Mereka itu dikenakan hukuman kolektif. Oleh kerana Hitler menganggap Yahudi sebagai punca kelemahan Jerman, maka bangsa itu dibunuh. Hukuman kolektif terhadap Yahudi ini pernah dilakukan sepanjang penguasaan kerajan Katolik di Eropah. Ini kerana mereka menyifatkan bangsa Yahudi sebagai pembunuh Jesus Christ.

Tetapi bangsa Yahudi menjadi mangsa kepada hukuman kolektif bukan saja pada zaman selepas Masihi. Sebelum kemunculan Nabi Isa, orang Yahudi turut menjadi mangsa pelbagai bangsa yang lebih kuat sama ada Rom, Parsi dan Babylon. Tetapi amalan zaman itu yang membunuh secara borong di mana kampung-kampung dibakar serta sesuatu bangsa dimusnahkan secara kolektif merupakan amalan ganas apabila berlaku peperangan.

Bukan saja bangsa Yahudi menjadi mangsa hukuman kolektif, orang lain juga turut menerima nasib yang sama. Siapa kuat akan menguasai, sementara yang lemah pasti dihapuskan. Sungguhpun kelihatan peperangan dalam zaman pramoden begitu ganas dan zalim tetapi keupayaan senjata mereka terhad. Pada zaman-zaman dahulu senjata masih berbentuk besi yang melukakan mangsanya untuk membunuh. Walaupun berlaku kemusnahan dan kematian tetapi ia adalah kecil berbanding apa yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua lebih-lebih lagi apabila diambil kira dengan penggunaan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Damai

Kesengsaraan dahsyat itu mendorong kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan segala perjanjian kemanusiaan termasuk Konvensyen Geneva. Bagaimanapun banyak pelanggaran kepada perjanjian damai sejagat itu dilakukan selepas Perang Dunia Kedua.

Walaupun Piagam PBB memperjuangkan kemerdekaan tanah-tanah jajahan, kuasa- kuasa imperial sebelum Perang Dunia Kedua sukar melepaskan tanah-tanah jajahan mereka. Perang Dingin dan gerakan nasionalis yang dibayangi komunis menyumbang kepada dekolonialisasi dan kemerdekaan.

Tetapi itu pun kuasa-kuasa penjajah itu tidak rela untuk meninggalkan tanah-tanah jajahan mereka dengan mudah. Sememangnya sukar untuk membayangkan betapa negara-negara Eropah hari ini seperti Britain, Perancis dan Belanda yang kelihatan menjunjung hak asasi manusia dan bersifat lembut dan berperikemanusiaan merupakan kuasa-kuasa yang liat untuk keluar dari tanah-tanah jajahan mereka.

Sememangnya akhirnya kini semua kuasa penjajah itu keluar dari tanah jajahan masing-masing. Cuma ada satu tanah jajahan yang terus ditindas dan dikuasai dengan pelik. Bumi Palestin yang menjadi tanah mandat pihak Britain tidak mendapat kemerdekaan. Kini ia terus dijajah bukan oleh kuasa penjajah sebelum Perang Dunia Kedua, tetapi sebuah kuasa pelik yang wujud di atas rasa kesalahan benua Eropah. Rasa bersalah Jerman kerana membunuh Yahudi semasa Holocaust dan rasa bersalah Britain dan Perancis kerana tidak menghalang kemunculan Hitler dan Nazi.

Terdapat satu kesalahan dan rasa bersalah Britain dan Perancis kerana tidak menghalang kemaraan Hitler lebih-lebih lagi selepas penaklukannya ke atas Poland dan kegagalan mekanisme Liga Bangsa-Bangsa. Jadi rasa bersalah mereka terhadap bangsa Yahudi itu membawa kepada penerimaan Britain untuk menjadikan Palestin sebagai tapak kepada negara baru Israel.

Sebagai satu gagasan politik Zionisme, negara baru Israel berasaskan pada sebuah negara ideal yang memberi kebebasan dan maruah jati diri bangsa Yahudi. Dengan adanya Israel, bangsa Yahudi dapat memiliki sebuah negara seperti bangsa-bangsa lain di dunia.

Ada beberapa cadangan di mana negara itu perlu diletakkan. Antaranya ialah Uganda di Afrika. Pemilihan sebuah tanah jajahan kuasa Eropah untuk dijadikan negara Yahudi sudah menampakkan hipokrisi Barat. Tetapi dia perlu dilihat dalam konteks bahawa kuasa-kuasa Barat tidak mahu melepaskan tanah-tanah jajahan mereka. Maka walaupun mereka memperuntukkan satu wilayah untuk Israel tetapi tidaklah ia terletak di Eropah. Maknanya, tanah yang hendak diberikan kepada Yahudi adalah hak orang lain.

Bagaimanapun memandangkan bahawa Palestin berada dalam penguasaan Britain, maka Zionis lebih cenderung untuk mewujudkan Israel di bumi Palestin. Lebih-lebih lagi ketika itu sudah diperuntukkan zon Arab dan Yahudi. Gerakan pengganas Zionis pula terus merampas tanah-tanah Arab untuk meluaskan zon Yahudi.

Justeru, apabila kuasa-kuasa Eropah meninggalkan tanah-tanah jajahannya, ia melepaskan Palestin yang sebahagian wilayahnya dirampas oleh Zionis untuk dijadikan Israel. Pada awalnya Israel tidak kuat kerana tidak memiliki senjata atau peralatan tentera. Malah penduduk Yahudi juga belum begitu banyak.

Tetapi bantuan untuk Israel mencurah-curah datang khususnya dari Amerika Syariklat (AS) hinggalah kini ia memiliki kekuatan yang meliputi senjata nuklear. Negara-negara Arab berusaha untuk mengambil balik wilayah Palestin. Tiga peperangan dilancarkan iaitu pada tahun 1948, 1967 dan 1973, berakhir dengan kekalahan. Walaupun lebih ramai, tetapi tentera Arab tidak berupaya mengalahkan kekuatan ketenteraan Israel yang mendapat sokongan AS dan Eropah.

Hakikatnya Israel amat bergantung kepada AS dan Eropah. Sememangnya terdapat banyak pihak di AS dan Barat yang bersimpati kepada rakyat Palestin tetapi mereka tidak dapat mengalahkan pengaruh dan kuasa golongan pro-Israel. Setelah bertahun-tahun penubuhan Israel, kekuatannya bertambah dan mampu menguasai Palestin dan menghalang rakyat negara itu mengecapi kemerdekaan.

Penjara

Tetapi kemampuan Israel itu terhad kerana ia tidak boleh menghalang serangan-serangan berbentuk gerila ke atasnya. Maka apa yang dilakukannya ialah menjadikan keseluruhan wilayah Gaza dan Tebing Barat itu sebagai penjara besar, siap dengan tembok di kelilingnya. Tentera Israel pula bertindak sebagai pengawal penjara besar ini.

Maka apabila ada ‘banduan penjara besar’ ini berjaya menculik ‘pengawal’, maka rejim Tel Aviv melakukan serangan hingga membunuh ‘banduan-banduan’ ini. Layanan rejim Tel Aviv terhadap mereka ini adalah suatu hukuman kolektif. Rejim Tel Aviv tidak mengiktiraf hak rakyat Palestin, apatah lagi kerajaan yang mereka musuhi, iaitu dari kalangan Hamas yang dianggap sebagai pengganas.

Apa yang rejim Tel Aviv lakukan adalah suatu penghinaan bukan saja terhadap Palestin dan Hamas tetapi konsep negara moden, kemerdekaan dan kerajaan. Apa yang mereka sebut keganasan oleh rejim Tel Aviv itu ialah senjata Hamas.

Persoalan di sini ialah bagaimana Israel menjadi bertambah kuat dan sokongan yang diterima oleh mereka dari AS dan Eropah berterusan? Di sinilah yang cuba dipaparkan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad. Propaganda gerakan Zionis di AS dan Eropah yang terus-menerus mengingatkan warga Barat tentang ‘kesalahan’ mereka terhadap Holocaust menyebabkan Israel terus mendapat sokongan.

Apa yang Presiden Iran ingin utarakan ialah isu Holocaust walaupun amat penting dalam sejarah manusia harus diletakkan pada perspektif yang berpada-pada. Makannya kini AS dan Eropah dihukum secara kolektif oleh Zionis untuk terus menyokong Israel walaupun ternyata mereka melakukan kekejaman untuk bertahun-tahun lamanya membunuh, menindas dan menyusahkan rakyat Palestin.

Israel sedang menanggung hutang yang besar terhadap rakyat Palestin. Begitu juga dengan AS dan Eropah. Mereka kini berdosa terhadap rakyat Palestin. Penyokong Zionis di AS dan Eropah mesti diingatkan bahawa zaman menjadikan Hiolocausty sebagai alasan untuk menekan Palestin sudah berlalu. Rakyat Palestin sendiri yang sedang menghadapi Holocaust. Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin adalah Holocaust baru.

Tanpa syarat, Israel mesti berundur dan mengiktiraf hak kemerdekaan Palestin. Dari situ barulah perdamaian boleh bermula. Ini kerana mereka berada di pihak yang kuat dan menjadi ancaman kepada keselamatan rakyat Palestin. Rejim Tel Aviv adalah pengganas sebenar.