Daripada republik kepada empayar

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 5 Julai 2006


SEMALAM Amerika Syarikat (AS) merayakan Hari Kemerdekaannya yang ke-230. Revolusi Amerika yang membawa kepada Perisytiharan Kemerdekaannya pada 4 Julai 1776 menandakan era baru kepada tamadun manusia.

Perjuangan menuntut kemerdekaan dari Britain itu tercetus kerana tindakan Raja England, George III mengenakan cukai ke atas penduduk 13 tanah jajahannya di benua Amerika Utara tanpa memberikan hak perwakilan kepada mereka di Parlimen London.

Tercetusnya revolusi Amerika membawa idealisme baru berhubung kebebasan, demokrasi dan hak warganegara. Tokoh-tokoh pejuang kebebasan politik seperti Thomas Paine, Thomas Jefferson dan Benjamin Franklin mencorak pemikiran baru manusia sebagai lanjutan kepada gerakan Enlightenment di Eropah.

Kejayaan AS ini menyumbang kepada gerakan Revolusi Perancis yang mendatangkan kesan besar pada Eropah dan dunia.

Tiga belas tanah jajahan Britain yang bergabung sebagai AS berhasrat untuk muncul sebagai negara demokratik contoh mewarisi khazanah intelektual Eropah murni meliputi tamadun Yunani dan Rom.

Maka di Washington, dibinanya Congress, White House dan mahkamah dengan seni binanya mencerminkan warisan Yunani dan Rom.

Tetapi kemurnian fahaman politik demokrasi di kota-kota budaya Boston dan Philadelphia tercemar apabila republik ini berkembang menjadi empayar, yang akhirnya mewarisi imperialisme kuasa-kuasa Eropah, khususnya Britain, Perancis dan Sepanyol.

Itulah yang berlaku apabila AS mendapatkan tanah-tanah jajahan Perancis dan Sepanyol di benua Amerika Utara. Mereka membeli Louisiana dari Perancis dan menawan Florida, Texas, New Mexico dan California dari Sepanyol.

Fahaman kebebasan dan proses demokrasi berjalan dalam peluasan wilayah ini tetapi kekuasaan yang besar dimiliki Washington mendorongnya menjadi sebuah empayar dan bukannya republik murni seperti tujuan asalnya.

Gerakan koboi memusnahkan budaya peribumi Amerika dengan merampas tanah-tanah mereka. Hawaii menjadi batas akhir empayar ini apabila sistem beraja kepulauan itu dimansuhkan untuk menjadikannya negeri ke-51 AS.

Doktrin Monroe menggerakkan AS sebagai kuasa imperial menggantikan Sepanyol di benua Amerika. Maka tidak hairanlah Panama masih dikuasainya dan betapa satu wilayah kecil di Cuba, Teluk Guantanamo dijadikan penjara besar bagi tahanan tanpa perbicaraan.

Empayar AS kini menjajah dunia melalui ekonomi. Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Perdagangan Dunis (WTO) dan Persetujuan Perdagangan Bebas (FTA) menjadi alat beerkesan.