Makna Perang Saudara Sepanyol

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 11 Julai 2006


BULAN Julai ini adalah ulang tahun ke-70 Perang Saudara Sepanyol yang berlaku pada tahun 1936 hingga 1 April 1939. Perang itu adalah antara golongan kiri Republikan dan golongan kanan Nasionalis.

Ia adalah ekoran daripada kemenangan pakatan parti-parti kiri iaitu Barisan Rakyat dalam pilihan raya Februari 1936 pimpinan Perdana Menteri Largo Carballero. Tetapi perang bermula dengan pemberontakan tentera pimpinan Francisco Franco pada 17 Julai 1936.

Perang Saudara ini berakhir dengan kekalahan Republikan dan kemenangan Nasionalis yang menyebabkan Sepanyol diperintah oleh kediktatoran tentera sehingga tahun 1975.

Perang Saudara Sepanyol mempunyai makna kepada sejarah dunia kerana ia merupakan perang proksi antara gerakan Fasis dan Demokratik yang boleh dianggap sebagai persiapan kepada Perang Dunia Kedua.

Ini kerana pihak kerajaan iaitu Republikan disokong dan dibantu oleh gerakan demokratik Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sementara tentera pemberontak iaitu Nasionalis mendapat sokongan dan bantuan daripada pemimpin-pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler dan Fasis Itali, Bennito Mussolini.

Apa yang menjadikan Perang Saudara Sepanyol sebagai suatu yang romantik bagi para intelektual zaman itu ialah banyaknya golongan terpelajar, seniman dan intelektual yang berada di pihak Republikan. Mereka terdiri daripada pelbagai aliran kiri, sama ada komunis, sosialis mahupun anarkis.

Novelis Amerika, Ernest Hemingway, penulis Inggeris George Orwell dan penulis Perancis, Andre Malraux menyokong dan berjuang di pihak Republikan. Mereka mengabadikan pengalaman perang ini dalam novel-novel. Pelukis terkenal, Pablo Picasso turut mengabadikan perang ini dalam lukisannya, Guernica.

Dalam perang ini, kekejaman dilakukan di kedua-dua pihak dengan seramai satu juta terbunuh. Para intelektual yang menyertainya berasa kecewa kerana idealisme mereka terkorban oleh sifat kejahatan manusia.

Akhirnya golongan Nasionalis menang dengan bantuan besar-besaran senjata dan tentera Nazi dan Fasis. Kesannya adalah besar kepada Eropah.

Ini kerana Perang Saudara itu telah dijadikan medan bagi Hitler untuk menguji senjata dan kaedah perang mereka. Ia menambah keyakinan diri kepada Hitler dan Mussolini untuk kemudian menakluk negara-negara jirannya dan membawa kepada Perang D unia Kedua.

Ternyata idealisme dan intelektualisme dapat menghasilkan karya-karya seni tetapi gagal dalam mempertahankan kuasa walaupun majoriti rakyat menyokong mereka.

Mungkin dunia akan jadi berbeza jika Republikan menang dalam Perang Saudara itu. Mungkin sikap Hitler dan Mussolini untuk menguasai dunia akan terjejas dengan kekalahan mereka di Sepanyol.

Andai kata golongan Republikan menang, Sepanyol mungkin memberi sumbangan di pihak Berikat untuk menentang Jerman dan Itali dalam Perang Dunia Kedua. Sepanjang Perang Dunia Kedua, Franco mengambil sikap berkecuali.

Tetapi tanpa Perang Saudara Sepanyol, tidak akan lahir karya sastera For Whom the Bell Tolls (Untuk Siapa Genta Berbunyi) oleh Hemingway dan Homage to Catalonia oleh Orwell.